Rabu, 10 November 2010

Harapan Suami Dalam Perkahwinan

JODOH pertemuan adalah ketentuan Ilahi. Ikatan perkahwinan telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Justeru, jodoh seseorang itu, tidak dapat kita tentukan. Manusia hanya mampu merancang. Selebihnya ditentukan oleh Yang Maha Kuasa. Di dalam memilih jodoh, ada yang dirancang oleh muda-mudi itu sendiri dan ada juga yang dirancang oleh kedua ibu bapa.

Rata-rata setiap teruna mengharapkan bakal isterinya itu adalah seorang yang dapat memenuhi kehendak nalurinya. Begitu juga dengan seorang dara mengharapkan bakal suaminya sebagai araja di dalam sebuah rumah tangga, apakah sebenarnya yang dikendaki oleh seorang lelaki yang bergelar suami?

DAPUR BERASAP

Ada suami yang mengharapkan supaya isterinya pandai memasak dan masakannya itu hendaklah sama sebagaimana masakan ibunya. Oleh kerana terdapat sebahagian isteri yang bekerja, maka urusan memasak tidaklah dititikberatkan sangat oleh suami, kecuali bagi mereka yang menjadi suri rumah sepenuh masa. Bagaimanapun, ada sesetengah suami berkehendakkan juga isterinya memasak makanan setiap hari walaupun isterinya bekerja.

BIJAK KOMUNIKASI

Seorang suami mahukan seorang isteri yang pandai berkomunikasi khususnya dengan ibu bapa dan sandara mara suami. Sebagai isteri, jangan sesekali menyampuk atau memotong cakap semasa suami berbual dengan keluarganya.

Dalam urusan komunikasi, isteri perlu kurang bercakap atau membebel perkara yang remeh-temeh. Perkara-perkara kecil atau kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan oleh isi keluarga tidak perlulah diperbesarkan.

Suami tidak suka isteri yang banyak cakap dan anak-anak juga tidak suka ibu membebel. Ini sekaligus boleh membuatkan hubungan sesama suami isteri menjadi dingin. Manakala hubungan antara ibu dan anak-anak pula renggang dan tidak mesra.

BIJAK MENGAWAL PERBELANJAAN

Seorang suami mengharapkan isterinya berjimat cermat dalam menguruskan kewangan untuk perbelanjaan diri sendiri atau perbelanjaan urusan rumah tangga seperti makan minum dan peralatan rumah. Tidak kira sama ada isteri bekerja atau tidak.

Ada isteri yang suka berbelanja bahan makanan sehingga berlebihan dan sebahagiaannya akan dibuang apabila tidak habis dimakan. Ada juga isteri yang suka membeli barang-barang rumah yang tidak begitu diperlukan. Jadi sebagai isteri, perlulah bijak danfikirkan dahulu akan keperluan barang yang hendak dibeli.

KEBERSIHAN RUMAH TERPELIHARA

Seorang suami mengharapkan isterinya seorang yang pandai mengemas rumah. Ini kerana ia melibatkan maruah si suami, pada pandangan ibu bapa, saudara-mara dan kawan-kawan suami yang berkunjung ke rumah. Ada isteri yang tidak pandai menyidai kain di jemuran, di mana kain dijemur tanpa dikibas terlebih dahulu. Akibatnya, kain akan berkedut-kedut dan susah hendak dilipat. Selain itu, ada juga isteri yang tidak mahir dalam melipat kain. Kain dilipat macam digulung sahaja. Sebagai isteri, ambil tahulah keadaan kebersihan di dalam rumah.

Dalam urusan mengemas rumah, semua suami mahukan rumahnya kemas dan teratur seperti ruang tamu, bilik tidur, bilik air, ruang makan serta ruang dapur. Kebersihan di dalam rumah menggambarkan sifat yang ada pada seorang isteri. Kalau ruang di dalam rumah tidak kemas, ini menggambarkan personaliti isteri itu adalah seorang yang pengotor, pemalas dan terlalu ambil mudah.

ISTERI SUBUR

Harapan seorang suami adalah supaya hasil daripada perkahwinannya nanti, mereka berdua dikurniakan anak. Di dalam hal ini, ada suami yang mahukan beberapa orang anak sahaja. Ada pula suami yang tidak kisah berapa orang anak yang akan dilahirkan oleh isterinya. Ada isteri yang sanggup berkorban membenarkan suaminya berkahwin lain kerana perkahwinan mereka tidak dikurniakan anak. Tetapi isteri yang sedemikian tidaklah ramai bilangannya. Ada isteri yang sanggup diceraikan untuk memberi laluan kepada suaminya berkahwin lain, kerana isteri tersebut tidak sanggup hidup bermadu.

MEMBUKA PEKUNG RUMAH TANGGA

Tiada seorang suami pun yang mahu kisah kehidupan rumah tangganya diketahui oleh orang lain. Oleh yang demikian, sebagai isteri janganlah sesekali menceritakan kebaikan atau keburukan rumah tangga kepada orang lain termasuk keluarga isteri atau keluarga suami. Isteri juga tidak boleh menceritakan kehidupan rumah tangganya kepada kawan-kawan atau kawan-kawan suaminya.

BERPAKAIAN KEMAS

Suami mengharapkan supaya pakaian isterinya kemas semasa hendak keluar atau berada di rumah. Ada isteri yang berpakaian kain batik atau t-shirt semasa di rumah dengan rambut yang tidak bersikat. Keadaan isteri yang sebegini menjadikan suami kurang berminat untuk balik segera ke rumah apabila habis kerja. Kalau ada jurujual hendak menjual barang, mungkin disangkanya perempuan itu adalah orang gaji!

MURAH SENYUMAN

Suami mahukan isteri yang selalu senyum sama ada di rumah ataupun semasa berjalan-jalan di pusat membeli-belah. Isteri yang suka senyum adalah pembawa rezeki. Malah, kepenatan suami semasa pulang daripada bekerja akan hilang serta-merta apabila melihat isterinya tersenyum.

PANDAI MENDIDIK ANAK

Suami mengharapkan seorang isteri yang pandai mendidik anak-anak dalam bidang kerohanian, agama, disiplin dan pelajaran. Kelembutan sifat seorang isteri dalam mendidik anak-anak akan membawa kebahagiaan di dalam sesebuah rumah tangga terutamanya apabila anak-anak berjaya di dalam pelajaran.

Isteri hendaklah cepat menguruskan segala urusan. Suami mengharapkan isteri seorang yang cepat di dalam menguruskan sesuatu urusan. Contohnya urusan memasak, mengemas rumah dan menguruskan anak-anak. Jangan buat suami marah kerana menungggu lama di dalam kereta sebelum pergi ke mana-mana. Itulah beberapa pandangan sifat yang patut ada pada seorang yang bergelar isteri. Para isteri sekalian, cuba-cubalah intai dan tinjau diri sendiri, sama ada apa yang diperkatakan telah sedia dilakukan atau sebaliknya.

Setiap hari, kita akan melalui pelbagai perkara baru dalam kehidupan. Proses pembelajaran ini akan menambahkan pengalaman dan semakin mematangkan kita. Sebagai seorang isteri, usah sentiasa menuding jari mencari kelemahan suami, tetapi muhasabahlah diri dan cuba perbaiki kekurangan sendiri terlebih dahulu.

*Dipetik dari buku Tidur Sebantal, Terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd.

"Wahai Tuhan kami, berilah kami isteri-isteri dan zuriat keturunan kami yang baik dan menggembirakan hati melihatnya, dan jadikan kami imam dan contoh teladan bagi orang-orang yang bertakwa."

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

Catatan Popular