Sabtu, 11 Disember 2010

Aku Perlu Lebih Tabah

Kita hanya merancang dan Allah SWT yang menentukan. Pastinya pepatah ini cukup sininom dengan kehidupan seharian kita dan tidaklah menjadi masalah bagi sesiapa yang berpegang kata-kata ini untuk menerima suratan takdir meskipun hakikatnya sangat pahit. Memang menjadi lumrah manusia sering kali melatah apabila berdepan dengan ujian, apatah lagi sekiranya sesuatu kejadian itu berlaku di luar dugaan sama sekali. Hati mula berkata bahawa semuanya tidak masuk akal. Sedangkan kita lupa bahawa setiap sesuatu itu ada yang menguruskannya mengikut kehendak dan kasih sayang-Nya.


Allah Maha Kaya dengan segala anugerah serta nikmat yang tidak putus-putus diturunkan kepada semua hamba-Nya. Cuma percaturan Allah SWT sememangnya berbeza-beza mengikut kehendak-Nya Yang Maha Adil lagi Maha Mengasihi. Kita sebagai hamba, seharusnya akur dan redha serta percaya sepenuh hati bahawa ujian itu didatangkan dengan sejuta hikmah dan kita biasanya hanya menerima natijah setelah kita benar-benar pasti tentang apa yang sedang kita lalui. Sesungguhnya Allah SWT itu tidak pernah kejam ke atas hamba-hamba-Nya tanpa mengira siapa kita.


“... Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah: 286)


Musibah yang mungkin datang silih berganti sepatutnya dijadikan kayu pengukur kepada tahap iman dan taat kita terhadap Allah SWT. Mungkinkah selama ini kita leka dalam menjalani kehidupan sebagai hamba yang mengaku beriman, tetapi amalnya jauh sekali. Setiap nikmat yang diberi Allah SWT kita hirup hingga titusan terakhir tanpa segan silu. Namun perintah-Nya tidak sezarah pun menjejaskan sosio kehidupan, kita abaikan dengan rela hati tanpa rasa bersalah. Memang benar kita insan lemah yang punya banyak kekurangan, akan tetapi mengapa kekebalan doa tidak diguna pakai bagi menangkis godaan dan hasutan mereka yang sesat lagi menyesatkan kita, agar terus patah serta jatuh apabila berhadapan dengan dugaan yang kadang-kala mencabar kecekalan iman. Berdoalah wahai insan kerana itu saja senjata yang kita ada. Tanpa doa, kita mungkin akan tersasar jauh lantaran sifat lemah dan alpa.


“... Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat) seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.”

(Surah Yunus:12)

Rabu, 8 Disember 2010

Sabar Seorang Suami

Salah sebuah kisah rumah tangga yang saya petik dari buku bertajuk Indahnya Hidup Tanpa Derita, penulisan Noor Laila Aniza Zakaria, Perunding Professional Excel Training & Consultancy Sdn. Bhd. Mudah-mudahan kita semua dapat mengambil iktibar untuk menghisab diri dan menerima nasihat untuk pembaiki diri yang berterusan. InsyaAllah..

Lelaki berusia 40 tahun ini menghubungi saya pada jam lebih kurang 10.30 pagi ketika saya ingin bersarapan. Saya meminta izin untuk bersarapan terlebih dahulu dan meminta menghubungi saya 20 minit kemudian, kerana rakan-rakan sudah menunggu untuk bersarapan. Namun sebaik mendengar sebak suaranya merayau supaya diperuntukkan masa kepadanya walau untuk sebentar, saya akur dan tumpang simpati.


Beristerikan seorang wanita yang cukup banyak karenah, lelaki ini berkorban seluruh kehidupannya untuk membahagiakan keluarga. Dengan pendapatan yang tidak seberapa sebagai seorang anggota polis, lelaki ini berusaha keras memenuhi setiap keinginan si isteri.

Namun si isteri sedikit pun tidak menghormati dirinya sebagai suami. Memanggil namanya dengan panggilan ‘Oi’ sahaja dan kerap keli memaki hamun si suami dengan mengatakan bodoh, gila dan semua perkataan yang cukup melukan hatinya.


Sekiranya dia balik awal ke rumah, dikatakan pemalas dan curi tulang. Jika terlewat pulang dituduh pula ‘makan luar’. Sakit dan luka hati si suami hanya dipendam sendiri. Sedikit pun tidak pernah dia marahkan si isteri. Apabila diajak dan ditegur untuk bersembahyang bersama isterinya tidak mahu dan mengatakan, “Jaga saja kubur masing-masing”.


Lima belas tahun hidup bersama, selama itulah dia sering dimaki hamun dan semua urusan masak memasak diserahkan kepadanya bahkan mengemas rumah. Apa yang isterinya lakukan? Duduk di rumah dan kadang-kadang mengambil upah menjahit pakaian.


Selain dari memaki hamun suami, isterinya sering membuka rahsia rumah tangga mereka kepada jiran tetangga, dengan kata-kata suaminya tidak mampu itu dan ini, mendakwa keperluan di dalam rumah adalah daripada hasil titik peluhnya bahkan si suami sedikit pun tidak membantu.


Pada suatu hari pulang dari kerja, si isteri mengamuk tak tentu pasal. Dia mendengar cerita daripada seseorang mengatakan melihat suaminya makan bersama wanita lain di kedai. Memang benar perkara itu, namun wanita itu adalah teman lama si suami sewaktu di sekolah rendah. Mereka terserempak dan minum bersama untuk bertukar-tukar cerita. Itu sahaja.


Sebaik pulang, si suami dimaki hamun dan dibaling dengan pasu bunga hingga mengenai dadanya. Sakitnya amat sangat sehingga dia terduduk. Bukan itu sahaja, bahkan isteri mengatakan bahawa dia menyesal berkahwin dengannya yang papa kedana tetapi miang! Amat terluka dengan kata-kata isterinya, si suami terus keluar dari rumah.


Azan maghrib berkumandang ketika itu dan dia terus ke surau mengerjakan solat berjemaah. Dalam sebak dia memohon agar Allah ampunkan isterinya dan diberi petunjuk.


“Setibanya saya di rumah selepas solat Isyak, saya beri salam, tiada berjawab. Apabila saya masuk ke dalam rumah, saya lihat isteri saya sedang terperosok di tepi almari baju, dia kena strok. Tidak boleh berkata apa-apa. Saya lihat air matanya mengalir di pipi. Waktu itu saya menjerit memanggilnya, “Sayang!” dan terus dakap erat tubuhnya serta dukung dia bawa ke hospital. “Puan, kalaulah saya tidak berdoa sedemikian, tentu hal ini tidak akan terjadi. Saya sangat-sangat sedih. Dulu dia maki-maki saya, itu tanda dia sihat. Sekarang apabila dia senyap, saya rasa sunyi, lebih sakit berbanding kena maki dulu. Saya amat sayangkan dia puan!”


Luahan itu tersekat-sekat. Saya faham betapa terhiris hatinya melihat keadaan isterinya. Sudah tentu tidak ramai lelaki zaman sekarang yang memiliki sifat sabar begini. Beruntunglah dia diuji sedemikian dengan kesabaran yang begitu tebal di dalam dada.


***************************************


Memang benarlah kaum wanita ini fitnah. Rasulullah SAW bersabda:


“Sesungguhnya dunia ini manis dan hijau (menyegarkan). Dan sesungguhnya Allah menempatkan kamu di atas bumi, yang Allah melihat akan apa yang kamu kerjakan. Maka peliharalah dunia ini dan wanita, sesungguhnya pertama kali fitnah (bencana) yang jatuh kepada golongan Bani Israil (Yahudi) adalah dalam hal wanita.” – (Riwayat Muslim)


Justeru, setiap lelaki yang bergelar suami perlu sentiasa ingat akan pesan Rasulullah ini agar tidak tersasar dalam mengemudi rumah tangga.


Dakwah dalam Rumah Tangga

Kadang-kadang apabila isteri melakukan kesilapan seperti tidak menghormati, memaki hamun dan meninggikan suara, suami hanya berdiam kerana tidak mahu bertengkar panjang. Namun selepas keadaan reda, jarang suami berbincang dengan cara elok malah jarang menasihati isteri dengan mengingatkannya kepada pesanan-pesanan Rasulullah SAW dan al-Quran. Kadang-kadang yang di sebut adalah, “Saya kecil hati dengan apa yang awak buat tadi” atau “Awak sudah singgung hati saya tadi”. Itu bukan teguran. Itu hanyalah luahan perasaan. Kemudian isteri akan meminta maaf dan keadaan kembali seperti biasa. Namun itu bukan pendidikan kepada isteri.


Tip Mendidik Menggunakan Kuasa Ayat

Mungkin selepas ini pada ketika isteri telah berlemah lembut dengan anda, terus sebutkan ayat al-quran atau pesanan Nabi SAW kepadanya:


“Sayang, Nabi kata bahawa tempat isteri di sisi suami. Isteri yang baik adalah isteri yang apabila suami melihat kepadanya, dia akan buatkan suami senang hati. Tadi sayang maki-maki abang .... Sayang rasa itu ciri-ciri isteri yang bagaimana? Sayang sudah lukakan hati abang. Tapi abang sudah maafkan sayang.”


Pendidikan harus dimasukkan dengan kata-kata dan pesanan Rasulullah SAW dan al-Quran supaya hati mudah lembut. Pendidikan harus penuh hikmah. Pendidikan harus dengan bertanya, “Sayang rasa itu ciri-ciri isteri yang bagaimana? Dan meninggalkan dia dengan jawapan sendiri. Itu cara pendidikan terhadap isteri yang perlu diamalkan. Bukan membebel atau berceramah kepada isteri dengan ayat-ayat Quran yang panjang yang isteri tidak faham atau dengan luahan perasaan semata-mata.


Anda juga boleh katakan:


“Sayang, melalui ceramah yang abang dengar dari seorang ustaz, abang dapat tahu yang keredhaan Allah terhadap isteri bergantung kepada keredhaan suami. Abang selalu redha apa sahaja yang sayang buat dan abang harap, Allah akan redha kepada Sayang walaupun tadi Sayang maki abang. Sayang rasa Allah redha atau tidak perbuatan Sayang tadi terhadap abang?”


Kadang-kadang pendekatan pendidikan perlu memetik nama orang lain yang dihormati misalnya ustaz untuk membuatkan dia akur dengan nasihat tersebut.


Fasa Pendidikan Seterusnya

Setelah anda didik isteri dengan pendekatan nasihat namun berkali-kali juga dia masih ingkar, nusyuz dan tidak hormat kepada hak-hak anda, pisahkan tempat tidur sebagai pengajaran. Namun tempohnya hendaklah mengikut keperluan. Dan akhirnya pukullah dia. Nabi SAW menyifatkan pukulan itu ibarat memukul dengan kain sutera yang paling halus dan licin dan tidak boleh memukul di bahagian muka. Bererti pukulan itu hendaklah sehabis lembut dan bukan menyakiti. Bahkan membawa maksud sebenar, elakkan memukul isteri kecuali benar-benar terpaksa dan tiada jalan lain.


Setelah anda mendidik tetapi masih juga isteri melawan, tetaplah mendidik dan doakan semoga Allah beri hidayah dan petunjuk kepadanya. Usah berdiam diri menahan perasaan untuk mengelakkan pertengkaran sedangkan anda tidak menjalankan tanggungjawab mendidiknya.


Mendidik bukan menegur. Mendidik bukan menghukum. Mendidik itu bererti memenuhkan dadanya dengan ilmu dan menbuatkan dia faham dan melihat lantas dia mengamalkan ilmu tersebut sehingga berjaya. Jika sekadar menegur, boleh jadi ia akan masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga kiri. Jika menghukum, boleh jadi penuh dengan emosi lantaran melepaskan geram dan tidak telus.


Aku Menyesal Kahwin Dengan Kau!

Mana-mana isteri yang mengatakan “Aku menyesal berkahwin dengan engkau”, sekalipun suaminya sangat jahat, maka Nabi SAW menyifatkan pada saat kata-kata itu diungkapkan, secara automatik terpadamlah semua pahala amalan baik isteri sepanjang hidup berumah tangga.


Hendaklah dia kembali bertaubat dengan sebenar-benar taubat dan memohon keampunan serta keredhaan suaminya semula. Berhati-hatilah dengan kata-kata.


Dugaan Tanda Kasih Sayang Allah

Suatu ketika dahulu anda diduga dengan hari-hari dimaki isteri. Sekarang anda diduga dengan memiliki isteri yang sakit dan anda terpaksa menjaganya. Janganlah anda bersedih kerana itu tanda kasih sayang Allah. Allah tahu jika Allah tidak buatkan isteri anda lumpuh, mungkin sehingga ke akhir hayatnya dia akan melukakan hati anda dan tempatnya tidak layak di syurga.


Allah ingin menbersihkan dosa-dosanya. Allah ingin memberikan dia syurga. Allah bukan sahaja menguji kesabaran anda, bahkan isteri anda juga. Bersyukurlah.


Buat masa ini, didiklah isteri anda dengan mengajarkan dia bersolat dengan cara duduk/baring/dengan mata/hati, selagi dia faham kata-kata anda. Bacakan al-Quran ditelinga isteri sambil meribanya. Kesedihan yang anda lalui pasti tidak akan disia-siakan oleh Allah.


Sakit Itu Pembersih Dosa

Setiap kesakitan itu kata Nabi SAW adalah pembersih dosa. Maka banyakkan menyebut Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun - ‘Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.’


Setiap kali anda sedih atau tidak berdaya, lafazlah LaahaulaWalaQuwwataillabillah – ‘Tiada daya upaya melainkan dengan kekuatan Allah.’


Banyakkan membaca surah Yasin dan bawalah isteri bersiar-siar di luar. Sekurang-kurangnya dia masih ada menemani hari-hari anda, bukannya Allah mengambilnya terus. Maafkanlah dia. Lihatlah ini sebagai tanda kasih sayang Allah. Dan yakinlah anda telah berdoa dengan doa yang baik di sisi Allah. Usahlah risau. Tenangkan hati, tabahkan jiwa.


'Sabar itu indah, dan kepada Allahlah tempat memohon pertolongan.' - (Nabi Yusuf)

Isnin, 29 November 2010

Amalan-amalan Yang Boleh Dilakukan Dalam Proses Tarbiah Anak-anak Berdasarkan Peringkat Usia

Peringkat Awal Anak-anak (Sejak Lahir Hingga 7 Tahun)


Sigmind Freud, seorang pakar psikologi ada mengatakan bahawa struktur dasar keperibadiaan sudah terbentuk pada usia 5 tahun dan perkembangan keperibadian selepas usia 5 tahun. Sebahagian besarnya merupakan pengembangan dari sturuktur dasar tersebut. Ini bermakna untuk membina peribadi dan sahsiah yang mulia dalam diri anak-anak, di waktu usia begini sangat sesuai dan harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh setiap ibu bapa dalam mentarbiahkan atau mendidik anak-anak. Berikut adalah beberapa tip dan amalan yang boleh dipraktikkan dalam usia ini:


1. Sentiasa mengajar anak menyebut kalimah ‘La Ilaha Illallah’ sepertimana diajari Rasulullah SAW, Ibnu Abbas r.a telah meriwayatkan, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda:


“Mulakanlah ke atas anak-anakmu kalimat yang pertama dengan ‘Lailahaillallah’ dan talkinkan mereka ketika maut ‘Lailahaillallah’. – (Al-Hakim)


2. Memperdengarkan selalu anak-anak dengan nama Allah SWT dan rasul melalui cara berhibur dan menyanyi seperti nasyid Asmaul Husna, dua kalimah syahadah, 25 Rasul dan sebagainya.


3. Sentiasa bergurau mesra dan bermain-main dengan anak-anak, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.


4. Mengajar beberapa doa daripada potongan ayat-ayat al-Quran dan hadis seperti doa makan, doa naik kenderaan dan doa tidur supaya dapat dijadikan amalan sehariannya.


5. Menghidupkan budaya dan suasana Islam di dalam rumah. Sentiasa membudayakan pembacaan al-Quran seperti tadarus di hujung minggu atau menghidupkan budaya salam. Ini disebabkan anak-anak melihat dan akan mengikut apa yang berlaku di sekelilingnya. Oleh itu jiwa dan setiap pancaindera anak-anak harus sentiasa terdidik dengan disirami dan dibajai Nur dan roh Islami. Begitu juga dengan membiasakan mereka membaca surah-surah al-Quran yang mempunya banyak kelebihan dan fadilat sepertimana athar yang sahih. Contohnya surah al-Mulk di mana kelebihan membaca surah ini dapat melindungi orang yang mengamalkannya daripada azab dan siksa kubur. Abdullah Bin Abbas r.a pernah berkata pada seorang lelaki,


“Adakah kamu ingin aku hadiahkan sesuatu hadis yang mengembirakan kamu?” Jawab pemuda tersebut, “Semestinya!” Maka Ibn Abbas berkata, “Bacalah dan ajarlah ia kepada isterimu, sekelian anak-anakmu, kanak-kanak di rumahmu dan jiran tetanggamu. Sesungguhnya ia adalah penyelamat dan pembela bagi kamu.” - (HR Al-Hakim)


Peringkat Pertengahan (7 Tahun Hingga 12 Tahun)


1. Mula mengajar mengenai hukum-hakam Islam, seperti menyuruh solat dan berpuasa. Dari Abdullah Bin ‘Amr, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Suruhlah anak kamu mengerjakan solat apabila ia telah berumur 7 tahun dan pukullah mereka jika enggan mengerjakan solat, sedangkan mereka telah 10 tahun,” – (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Al-Hakim)


2. Menggalakkan anak-anak menghafal ayat-ayat al-Quran dan beberapa petikan hadis.


Peringkat Remaja (13 Tahun hingga 18 Tahun)


1. Ibu bapa mestilah lebih prihatin terhadap segala gerak geri anak-anak. Di tahap ini anak-anak sudah mula mengenal dunia luar yang penuh dengan cabaran.


2. Meluangkan masa bersama anak-anak mengadakan majlis ilmu bagi membincangkan ilmu seperti ilmu tafsir dan fekah. Dengan menyerapkan serba sedikit ilmu yang mereka pelajari di sekolah seperti ilmu Sains dan Matematik, agar mereka tahu bahawa setiap ilmu akademik yang mereka pelajari itu mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan ilmu yang diajarkan di dalam al-Quran dan sunah.


3. Menggalakkan anak melakukan senaman atau riadah agar dapat menbina fizikal yang sihat di samping menjadikan otak yang cerdas. Seperti kata pepatah Arab, “Akal yang cerdas datang dari badan yang sihat.” Oleh itu, anak-anak perlu digalakkan menyertai aktiviti lasak seperti sukan berenang dan memanah, sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Sabdanya yang bermaksud, “Ajarlah anakmu berenang dan memanah.” – (Hadis Riwayat Dailami). Tambahan pula, Islam sangat mencintai hambanya yang kuat berbanding yang lemah, sperti sabda nabi lagi yang bermaksud, “Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah.” – (Riwayat Muslim). Di samping itu, mukmin yang kuat sekali gus dapat memantapkan ummah kerana mempu menakutkan musuh Islam andai di medan perang. Sebagaimana firmn Allah SWT yabg bermaksud, “Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan. Dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” – (Al-Anfaal: 60)


4. Menanam dalam diri anak-anak agar mempunyai wawasan dan cita-cita tinggi. Sepertimana Allah SWT telah menyatakan di dalam al-Quran bahawa manusia adalah sebaik-baik makhluk yang diciptakan. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” – ( Ali-Imran: 110). Firman Allah SWT lagi, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” – (At-Tiin: 4). Oleh itu, janganlah keistimewaan ini disia-siakan begitu sahaja.


Dipetik dari buku “Hadirnya Permata Hatiku: Pedoman Membina Keluarga Bahagia”, terbitan Must Read Sdn. Bhd.


'Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.' - (Al-Baqarah:128)


'Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.' - (Ibrahim: 41)

Rabu, 10 November 2010

Harapan Suami Dalam Perkahwinan

JODOH pertemuan adalah ketentuan Ilahi. Ikatan perkahwinan telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Justeru, jodoh seseorang itu, tidak dapat kita tentukan. Manusia hanya mampu merancang. Selebihnya ditentukan oleh Yang Maha Kuasa. Di dalam memilih jodoh, ada yang dirancang oleh muda-mudi itu sendiri dan ada juga yang dirancang oleh kedua ibu bapa.

Rata-rata setiap teruna mengharapkan bakal isterinya itu adalah seorang yang dapat memenuhi kehendak nalurinya. Begitu juga dengan seorang dara mengharapkan bakal suaminya sebagai araja di dalam sebuah rumah tangga, apakah sebenarnya yang dikendaki oleh seorang lelaki yang bergelar suami?

DAPUR BERASAP

Ada suami yang mengharapkan supaya isterinya pandai memasak dan masakannya itu hendaklah sama sebagaimana masakan ibunya. Oleh kerana terdapat sebahagian isteri yang bekerja, maka urusan memasak tidaklah dititikberatkan sangat oleh suami, kecuali bagi mereka yang menjadi suri rumah sepenuh masa. Bagaimanapun, ada sesetengah suami berkehendakkan juga isterinya memasak makanan setiap hari walaupun isterinya bekerja.

BIJAK KOMUNIKASI

Seorang suami mahukan seorang isteri yang pandai berkomunikasi khususnya dengan ibu bapa dan sandara mara suami. Sebagai isteri, jangan sesekali menyampuk atau memotong cakap semasa suami berbual dengan keluarganya.

Dalam urusan komunikasi, isteri perlu kurang bercakap atau membebel perkara yang remeh-temeh. Perkara-perkara kecil atau kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan oleh isi keluarga tidak perlulah diperbesarkan.

Suami tidak suka isteri yang banyak cakap dan anak-anak juga tidak suka ibu membebel. Ini sekaligus boleh membuatkan hubungan sesama suami isteri menjadi dingin. Manakala hubungan antara ibu dan anak-anak pula renggang dan tidak mesra.

BIJAK MENGAWAL PERBELANJAAN

Seorang suami mengharapkan isterinya berjimat cermat dalam menguruskan kewangan untuk perbelanjaan diri sendiri atau perbelanjaan urusan rumah tangga seperti makan minum dan peralatan rumah. Tidak kira sama ada isteri bekerja atau tidak.

Ada isteri yang suka berbelanja bahan makanan sehingga berlebihan dan sebahagiaannya akan dibuang apabila tidak habis dimakan. Ada juga isteri yang suka membeli barang-barang rumah yang tidak begitu diperlukan. Jadi sebagai isteri, perlulah bijak danfikirkan dahulu akan keperluan barang yang hendak dibeli.

KEBERSIHAN RUMAH TERPELIHARA

Seorang suami mengharapkan isterinya seorang yang pandai mengemas rumah. Ini kerana ia melibatkan maruah si suami, pada pandangan ibu bapa, saudara-mara dan kawan-kawan suami yang berkunjung ke rumah. Ada isteri yang tidak pandai menyidai kain di jemuran, di mana kain dijemur tanpa dikibas terlebih dahulu. Akibatnya, kain akan berkedut-kedut dan susah hendak dilipat. Selain itu, ada juga isteri yang tidak mahir dalam melipat kain. Kain dilipat macam digulung sahaja. Sebagai isteri, ambil tahulah keadaan kebersihan di dalam rumah.

Dalam urusan mengemas rumah, semua suami mahukan rumahnya kemas dan teratur seperti ruang tamu, bilik tidur, bilik air, ruang makan serta ruang dapur. Kebersihan di dalam rumah menggambarkan sifat yang ada pada seorang isteri. Kalau ruang di dalam rumah tidak kemas, ini menggambarkan personaliti isteri itu adalah seorang yang pengotor, pemalas dan terlalu ambil mudah.

ISTERI SUBUR

Harapan seorang suami adalah supaya hasil daripada perkahwinannya nanti, mereka berdua dikurniakan anak. Di dalam hal ini, ada suami yang mahukan beberapa orang anak sahaja. Ada pula suami yang tidak kisah berapa orang anak yang akan dilahirkan oleh isterinya. Ada isteri yang sanggup berkorban membenarkan suaminya berkahwin lain kerana perkahwinan mereka tidak dikurniakan anak. Tetapi isteri yang sedemikian tidaklah ramai bilangannya. Ada isteri yang sanggup diceraikan untuk memberi laluan kepada suaminya berkahwin lain, kerana isteri tersebut tidak sanggup hidup bermadu.

MEMBUKA PEKUNG RUMAH TANGGA

Tiada seorang suami pun yang mahu kisah kehidupan rumah tangganya diketahui oleh orang lain. Oleh yang demikian, sebagai isteri janganlah sesekali menceritakan kebaikan atau keburukan rumah tangga kepada orang lain termasuk keluarga isteri atau keluarga suami. Isteri juga tidak boleh menceritakan kehidupan rumah tangganya kepada kawan-kawan atau kawan-kawan suaminya.

BERPAKAIAN KEMAS

Suami mengharapkan supaya pakaian isterinya kemas semasa hendak keluar atau berada di rumah. Ada isteri yang berpakaian kain batik atau t-shirt semasa di rumah dengan rambut yang tidak bersikat. Keadaan isteri yang sebegini menjadikan suami kurang berminat untuk balik segera ke rumah apabila habis kerja. Kalau ada jurujual hendak menjual barang, mungkin disangkanya perempuan itu adalah orang gaji!

MURAH SENYUMAN

Suami mahukan isteri yang selalu senyum sama ada di rumah ataupun semasa berjalan-jalan di pusat membeli-belah. Isteri yang suka senyum adalah pembawa rezeki. Malah, kepenatan suami semasa pulang daripada bekerja akan hilang serta-merta apabila melihat isterinya tersenyum.

PANDAI MENDIDIK ANAK

Suami mengharapkan seorang isteri yang pandai mendidik anak-anak dalam bidang kerohanian, agama, disiplin dan pelajaran. Kelembutan sifat seorang isteri dalam mendidik anak-anak akan membawa kebahagiaan di dalam sesebuah rumah tangga terutamanya apabila anak-anak berjaya di dalam pelajaran.

Isteri hendaklah cepat menguruskan segala urusan. Suami mengharapkan isteri seorang yang cepat di dalam menguruskan sesuatu urusan. Contohnya urusan memasak, mengemas rumah dan menguruskan anak-anak. Jangan buat suami marah kerana menungggu lama di dalam kereta sebelum pergi ke mana-mana. Itulah beberapa pandangan sifat yang patut ada pada seorang yang bergelar isteri. Para isteri sekalian, cuba-cubalah intai dan tinjau diri sendiri, sama ada apa yang diperkatakan telah sedia dilakukan atau sebaliknya.

Setiap hari, kita akan melalui pelbagai perkara baru dalam kehidupan. Proses pembelajaran ini akan menambahkan pengalaman dan semakin mematangkan kita. Sebagai seorang isteri, usah sentiasa menuding jari mencari kelemahan suami, tetapi muhasabahlah diri dan cuba perbaiki kekurangan sendiri terlebih dahulu.

*Dipetik dari buku Tidur Sebantal, Terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd.

"Wahai Tuhan kami, berilah kami isteri-isteri dan zuriat keturunan kami yang baik dan menggembirakan hati melihatnya, dan jadikan kami imam dan contoh teladan bagi orang-orang yang bertakwa."

Rabu, 27 Oktober 2010

~ Beristighfarlah selalu, sebab Allah memiliki kurniaan di malam dan siang hari. Semoga kita mendapat kurniaan itu yang dengannya kita akan berbahagia hingga hari kiamat ~


Rabu, 22 September 2010

Doaku Untukmu.

Ahmad dan Ali adalah dua orang sahabat karib dan mereka tinggal berjiran. Kedua-dua mereka hidup dalam kesempitan dan kemiskinan. Setelah seharian berusaha, masing-masing akan berdoa. Begitulah kelaziman mereka berdua. Mereka akan singgah di masjid setiap kali habis bekerja untuk solat dan berdoa.


Apa doamu pada hari ini?” tanya Ahmad kepada sahabatnya.


Aku pinta semoga esok hari aku dimurahkan rezeki. Bulan ini perbelanjaan aku lebih daripada biasa,” jawab Ali.


Doa kau?” Ali pula bertanya. Ahmad cuma tersenyum tanpa berkata apa-apa.


Keesokan hari, Ali memberitahu Ahmad berita gembira. “Alhamdulillah doa aku semalam dimakbulkan Allah. Majikanku beri bonus pada hari ini.”


“Alhamdulillah. Hari ini kau akan berdoa apa pula?” tanya Ahmad.


“Aku berdoa moga isteriku selamat bersalin,” jawab Ali.


Mereka berdua pun masuk dalam masjid, mengerjakan solat dan masing-masing berdoa. Sejurus usai berdoa, Ali bertanya, “Kau pula berdoa untuk apa hari ini?” Ahmad tersenyum masih tiada jawapan.


Beberapa hari kemudian Ali memberitahu berita gembira. “Syukur isteriku selamat bersalin malam td. Nampaknya doaku makbul, Mad.”


“Tahniah, Ali.” “Aku berdoa juga agar anakku selamat,” Kata Ahmad dengan wajah muram.


“Kenapa dengan anak kau?”


“Anakku yang bongsu sakit, Ali. Keadaannya amat membimbangkan.”


“InsyaAllah, kau doalah kuat-kuat sikit. Minta anakmu selamat,” kata Ali.


Beberapa hari kemudiaan, mereka berbual seusai solat seperti kebiasaanya. “Bagaimana dengan anak kau?” tanya Ali.


“Macam itu juga. Sudah beberapa hari tapi keadaannya Cuma bertambah baik sikit sahaja.”


“Doa banyak lagi Ahmad. Aku tidak sangka doaku sangat makbul. Hampir setiap yang aku doakan mustajab. Tapi kau....” kata Ali.


“Kenapa dengan aku?”


“Mad, aku lihat doamu tidak mustajab.” Ahmad tersenyum.


Melihat Ahmad tersenyum, Ali semakin hairan lalu bertanya lagi, “Aku hairan, doa kau tidak makbul tapi kau masih boleh senyum?”


“Sebenarnya doaku telah banyak dimakbulkan Allah. Syukur Alhamdulillah.”


“Doa yang mana? Sebab aku lihat tidak ada apa-apa perubahan pada kau.”


“Doaku sejak dulu hanya untuk kau, sahabatku. Setiap hari aku berdoa agar Allah makbulkan setiap apa yang kau doakan kepada-Nya!”


Pengajaran

Doa kita untuk sahabat, saudara mara dan orang lain sangat tinggi nilainya di sisi Allah. Apatah lagi jika kita berdoa tanpa pengetahuan orang yang kita doakan. Itulah keikhlasan. Sayangnya, ia jarang dibuat oleh kita. Manusia selalu mementingkan diri, sekalipun dalam doanya kepada Allah.

Dipetik dari Majalah Solusi Isu No.22

Isnin, 9 Ogos 2010

Berdoa

Setiap dari sesuatu yang dijadikan oleh-Nya pasti datang dengan sebab dan sifat. Begitu juga dengan hari-hari yang bakal kita lalui, belum tentu pahit manis yang menanti kita sebagai hamba-Nya. Kenapa harus dimulakan dengan doa? Kenapa mesti disudahkan juga dengan doa? Satu persoalan yang kadang-kadang sengaja kita lupakan. Doa itu bekal, doa itu senjata. Mana mungkin kita sebagai hamba yang lemah mampu mengatur langkah gagah tanpa bantuan dari-Nya, sedang nabi dan para rasul yang maksum saban malam bersengkang mata menadah tangan berdoa agar perjuangan dan hati mereka sentiasa di bawah kasih sayang dan rahmat-Nya. Apatah lagi kita insan lemah yang hina dina ini. Janganlah kita sombong dengan Khalik (pencipta).

“.... Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku (berdoa) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina dina..” (Surah al-Mukmin: 60)


Berlabuhnya malam, bersua subuh berwajah fajar, isyrak menyapa disambut dhuha. Itu satu peraturan yang diatur Allah SWT tanpa gagal dan tanpa cela. Peraturan yang sempurna ini alangkah indahnya, jika dimulakan dengan doa pembuka. Bukan susah malah jauh sekali sukar. Hanya bibir yang perlu memainkan peranan. Sekelumit mengingati-Nya, selaut kerahmatan dijanjikan-Nya. Ya Allah, betapa Engkau Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani. Cuma hamba-Mu yang seakan lupa diri hingga terpinggir dari kasih dan rezeki-Mu. Sedangkan Allah SWT lebih dulu memperingatkan hamba-Nya, bahawa Dia sentiasa ada untuk kita. Bergantunglah sepenuh hati kepada-Nya kerana demi sesungguhnya Dia tidak pernah jauh.



Isnin, 26 Julai 2010

Kamu Ramai Kawan Tetapi Yang Mana Boleh Dipanggil Sahabat?

  1. Kalau mereka berakhlak mulia:

Sebagaimana kamu, mereka jugaaa memiliki sifat penyayang, pemaaf dan lemah lembut.


  1. Kalau mereka gemar berbuat baik:

Sebaimana kamu, mereka juga cekal mengajak orang lain sembahyang, menolong mereka dan menasihati mereka walau kadang-kadang ajakan itu tidak diterima.


  1. Kalau mereka sudi mendengar kamu:

Sebagaimana kamu, mereka juga ikhlas menegur kamu atau sesiapa sahaja yang melakukan kesilapan.


  1. Kalau mereka bertanggungjawab:

Sebagaimana kamu, mereka juga berani mengaku dan bertanggungjawab apabila memikul sesuatu amanah.


  1. Kalau mereka murah hati:

Sebagaimana kamu, mereka juga tidak ter

agak-agak untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.


  1. Kalau mereka rela mengurangkan bebanan kamu:

Sebagaimana kamu juga, mereka sudi memikul susah senang kamu tanpa diminta.


  1. Kalau mereka ikhlas:

Sebagaimana kamu, mereka juga ikhlas dalam tindak tanduk.


  1. Kalau mereka simpan rahsia kamu:

Sebagaimana kamu, mereka juga sanggup menyembunyikan cacat cela kamu dari pengetahuan umum dan sanggup membela kamu kalau mereka mendengar ada orang mencela kamu.


  1. Kalau mereka mudah bertolak ansur:

Sebagaimana kamu, mereka juga pandai membuat pertimbangan dan mudah bertolak ansur demi menjaga persahabatan mereka dengan kamu.


  1. Kalau mereka sanggup menjaga hati kamu:

Sebagaimana kamu, mereka juga berusaha keras menjaga persahabatan yang telah terjalin.



"Carilah sahabat yang jujur. Dengan demikian anda terpelihara daripada bahaya dan dialah tempat kembali ketika datangnya bencana.." - Umar al-Khattab

Sabtu, 26 Jun 2010

Ada Hikmahnya

Tok Penghulu dengan anaknya membela seekor kuda. Mereka amat menyayangi kuda itu. Satu hari, kuda itu terlepas dan terus lari ke dalam hutan berhampiran. Orang kampng yang mengetahui akan hal tersebut berkata kepada Tok Penghulu, “Kami simpati atas kehilangan kuda Tok. Tentu Tok sedih...”


Sebaliknya, Tok Penghulu tersenyum lalu berkata, “Tak apalah. Mesti ada hikmahnya.”


“Apa hikmahnya Tok?”


“Tok Pun tak tahu tapi pasti ada hikmahnya.”


Beberapa minggu kemudian, kuda kesayangan Tok penghulu pulang semula dengan membawa beberapa ekor kuda liar. Orang kampung sangat kagum kerana sekarang bilangan kuda kepunyaan Tok Penghulu bertambah secara tiba-tiba. Sudah rezekinya.


“Tok bertuahlah. Untung,” Begitulah kata mereka.


Tok Penghulu sebaliknya berkata, “Belum tentu lagi. Tapi Tok yakin tentu ada hikmahnya.”


Anak lelaki Tok Penghulu begitu gembira dengan kuda-kudanya. Setiap hari dia menunggang kuda kesayangannya sambil menggembala kuda-kuda liar yang lain. Begitu sibuk dan tangkas sekali. Entah bagaimana pada satu petang, anak Tok penghulu itu jatuh daripada kudanya lalu patah tangan kanannya. Orang tahu dia adalah anak kesayangan Tok Penghulu. Mereka datang menziarahi anak Tok Penghulu yang terlantar.


“Malang benar nasib Tok. Baru dapat nikmat sekarang ditimpa bala pula,” Kata mereka.


Tok Penghulu tersenyum dan berkata: “Ini ujian Allah. Tentu ada hikmahnya.”


Tidak lama kemudian, kampung mereka didatangi oleh pegawai-pegawai atasan tentera negara itu. Orang kampung semuanya bimbang kerana raja mereka memang terkenal zalim dan tidak berperikemanusiaan.


“Raja memerintahkan semua anak muda lelaki dikumpulkan! Negara memerlukan tentera tambahan untuk dihantar ke medan perang!” arah ketua tentera.


Semua ibu bapa kampung itu risau dan sedih kerana terpaksa berpisah dengan anak-anak lelaki mereka. Para remaja lelaki dibariskan dihadapan ketua tentera, termasuk anak lelaki Tok Penghulu yang patah tangan itu.


“Kamu dikecualikan! Tidak ada gunanya membawa orang yang patah tangan!” kata ketua tentera sambil menuding jarinya kepada anak lelaki Tok Penghulu.


Pada ketika itu, dalam hati orang kampung terngiang-ngiang kata-kata dari mulut penghulu mereka, “Mesti ada hikmahnya.”



Pengajaran: Setiap apa yg berlaku ada buruk dan ada baiknya. Orang yang beriman sentiasa melihat sisi baik daripadanya. Mereka menerima yang buruk dengan sabar, namun di dalam hati sentiasa mengharap kebaikan di sebaliknya daripada Allah s.w.t..


Isnin, 14 Jun 2010

Nasihat Terakhir Untuk Anda

Terkadang manusia harus berhadapan dengan keadaan yang sulit dan sempit. Saat itu mereka akan merasakan tekanan, serangan perasaan dan kesedihan yang berlebihan yang pada akhirnya timbullah keinginan untuk menyendiri dan jauh daripada orang lain. Mereka merasakan seolah-olah menyendiri itu boleh mengembalikan ketenangan jiwa yang telah hilang. Padahal cara seperti ini akan mendekatkan lagi diri dengan kegagalan. Tidak diragukan lagi bahawa mempercayai orang lain dapat membantu kita dalam menghapuskan kesedihan yang membebani perasaan.

Di samping itu, kita harus menggunakan waktu sebaik mungkin agar tidak ada lagi waktu luang untuk merasakan kesedihan yang membelit perasaan kita. Jangan dibiarkan waktu luang itu menghanyutkan kita di lautan kesedihan yang tidak bertepian. Penuhi waktu terluang dengan aktiviti bermanfaat yang boleh menutup segala ruang kesedihan di hati.

Berikut ini ada beberapa cara lain yang dapat digunakan untuk membantu anda dalam menghilangkan kesedihan.

Berapa banyak waktu yang telah anda habiskan untuk meratapi masa lalu? Orang yang berjaya tidak akan berlebihan dalam mengingati apa yang pernah menimpanya di masa lalu. Sebab menghabiskan waktu untuk mengingati masa lalu akan hanya menbangkitkan kesedihan. Tetapi mengingati masa lalu dibolehkan jika tujuannya untuk mengambil pengajaran, hikmah, mengambil nilai-nilai positif yang ada dan meninggalkan nilai-nilai negatif.

Anda harus aktif. Tanamkan dalam fikiran bahawa masa depan harus lebih baik daripada keadaan sekarang. Jangan habiskan waktu anda untuk perkara-perkara yang tidak berguna. Akan tetapi gunakan waktu anda untuk kegiatan yang bermanfaat agar kelak akan memperoleh kejayaan yang dicita-citakan. Setelah itu anda tidak akan pernah mengalami tekanan jiwa untuk selamanya.

Senyumlah dengan senyuman yang indah dan merekah. Senyuman yang terukir dari dua bibir yang penuh bahagia adalah nikmat daripada Allah S.W.T. Senyuman yang anda berikan boleh memberikan kesejukan pada lawan bicara dan orang yang anda temui. Senyum bukan sahaja sebagai tanda bahawa orang tersebut lembut. Akan tetapi orang yang selalu tersenyum menandakan bahawa dia berada dalam ketenangan dan kebahagiaan. Cubalah untuk tersenyum untuk setiap anda bangun tidur. Senyum dapat menjadikan hidup anda kembali cerah dan merekah. Jika anda sudah terbiasa untuk tersenyum, maka orang lain akan mudah dekat dengan anda. Sebaliknya, orang yang selalu bermuka masam akan dijauhi oleh orang lain. Orang lain tidak mahu berinteraksi, bergaul dan menjalin urusan dengan orang yang selalu bermuka masam dan wajahnya selalu menampakkan kesedihan.

Terkadang seseorang mengalami kesedihan ketika dia merasa letih dalam menghadapi tugasan dan beban pekerjaannya yang banyak dan bertimbun. Oleh sebab itu, untuk menghilangkan rasa sedih dan perasaan tertekan – cubalah relaks setelah selesai menelaah pelajaran atau setelah melakukan satu pekerjaan. Gunakan beberapa minit saja untuk mengendurkan otot-otot anda. Bersihkan fikiran dan lapangkan dada anda sebelum memulai bahagian lain dari pelajaran ataupun pekerjaan anda.

Terakhir, berusahalah untuk menikmati hasil dari tugas dan pekerjaan anda.

Isnin, 31 Mei 2010

Saya Pernah Mendengar, Katanya Allah itu Sangat Dekat Dengan Kita , Kenapa Saya Tidak Tahu Kehadiran Dia?

Kadang-kadang, kamu juga tidak dapat melihat ayah ada dibelakang kamu, padahal kedudukan ayah dekat denganmu. Kamu pun tidak dapat melihat akar-akar rambutmu, padahal, bukankah dekat sekali akar rambutmu itu dengan dirimu? Agama mengajar kepada kita bahawa Allah itu lebih dekat daripada urat leher kita sendiri. Tetapi adakah kamu dapat melihat urat lehermu sendiri? Tidak kan? Lalu bagaimana kamu akan melihat Allah, jika urat lehermu sendiri saja tidak sanggup kamu lihat?


Allah itu dekat dengan kita, tidak dalam makna Allah itu bertempat, yakni tempatnya dekat dengan kita. Kamu harus terus memahami apa yang selalu ayah katakan kepadamu, yakni Allah tidak memerlukan tempat apa pun dan di mana pun. Makna Allah dekat dengan kita adalah bahawa Dia selalu menyertai langkah-langkah kita; selalu melihat apa yang kita kerjakan, selalu akan mengabulkan doa kita apabila kita bersungguh-sungguh dalam berdoa, dan selalu mendengar jerit-tangis, ucapan serta harapan kita.


Firman Allah:


١٦) ) وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ وَنَعۡلَمُ مَا تُوَسۡوِسُ بِهِۦ نَفۡسُهُ ۥ‌ۖ وَنَحۡنُ أَقۡرَبُ إِلَيۡهِ مِنۡ حَبۡلِ ٱلۡوَرِيد


“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya” - (Surah Qaf: 16)


Allah itu maujud (ada) tetapi tidak melalui fenomena muncul menjadi ada. Allah tidak muncul dari ketiadaan lalu menjadi ada. Allah mendahului ketiadaan itu sendiri. Oleh itu, Allah mendahului waktu dan mendahului tempat. Melalui kehendak serta perbuatan-Nya-lah ciptaan di adakan, sehingga kehendak dan perbuatan-Nya pun bersifat baru. Hanya Allah yang azali.


Allah bersama segala sesuatu, tetapi tidak dalam segala sesuatu. Kerana tidak dalam segala sesuatu, kebersamaan Allah dan segala sesuatu bukan kebersamaan yang berupa persamaan fizikal. Kebersamaan Allah dalam segala sesuatu juga mengandungi makna bahawa Dia berbeza dengan segala sesuatu tersebut, tetapi perbezaan ini bukan dalam keterpisahan fizik. Dia berbuat begitu tetapi tidak dalam bentuk gerakan dan alat.


Dengan demikian, hakikat Allah dekat dengan manusia bukanlah dalam makna kedekatan fizik, yakni zat Allah dalam diri manusia dalam bahasa al-Quran di atas disebut dengan istilah ‘lebih dekat dari urat nadi’ tetapi kedekatan dalam pengertian ghaib, yakni kedekatan dalam citra-Nya pada diri manusia, kedekatan dalam pengetahuan-Nya tentang manusia. Tidak ada sesuatu pun yang terlepas dari penglihatan-Nya.


Catatan bagi ibu bapa:


Adalah nyata bagi kita ibu bapa bahawa pertanyaan anak-anak yang di atas ini memiliki visi yang sama dengan pertanyaan-pertanyaan sebelum. Wujud Allah dalam diri anak-anak adalah wujud yang bersifat nyata dalam bentuk fizikal. Ketika mereka bertanya tentang kedekatan kita dengan Allah atau Allah itu lebih dekat dari urat leher kita sendiri, maka visi yang dimengertinya adalah kedekatan fizikal tersebut seakan-akan Zat itu lembut sekali, padahal Maha Lembut bukan Zat Allah tetapi sifat-Nya. Oleh kerana itu, ibu bapa perlu mengarahkan dan untuk kemudian mengubah visi nyata dalam bentuk fizikal Allah dalam pemikiran mereka.


*Soalan ke-16 yang dipetik dari buku ‘Bila Anak-anak Bertanya Tentang Allah dan Alam Ghaib: Inilah 48 Jawapannya.’

Related Posts with Thumbnails

Catatan Popular