Ahad, 27 September 2009

Berbuka Puasa



Majlis berbuka puasa semua staf perpustakaan (Langkawi) bertempat di Jai Island Cafe, Pekan Kuah..

Antara yang hadir Abg Sham & anak, Sha & suami, Mat Jon & isteri, Mat Lan & isteri, Miela & suami, Tijah, Som dan Halina.

Sabtu, 5 September 2009

Peristiwa Malam 14 & 15 Ramadhan 1430H

Alhamdulillah sudah 2 minggu umat Islam menunaikan ibadah puasa di bulan yang mulia, bulan yang penuh keberkatan ini. Sepanjang tempoh itu jugalah kita diuji dengan pelbagai dugaan umpamanya wabak H1N1 yang saban hari kian meruncing dengan angka yang semakin meningkat. Begitu juga dengan keadaan cuaca yang tidak menentu adakalanya tahap kepanasan yang agak melampau, dan ada ketikanya hujan mencurah tanpa henti beberapa hari sehingga menyebabkan beberapa kawasan di landa banjir termasuklah di Pulau Langkawi. Namun semua ujian tersebut adalah untuk mengingatkan kita kepada Kekuasaan-Nya, betapa kita sebagai manusia biasa seringkali lupa dan lalai dengan perintahnya. Jadi setiap apa jua kejadian ada hikmahnya.

Mengenai peristiwa pada malam 14 Ramadhan, aku seperti biasanya menunaikan solat tarawih di Masjid Al-Ehsan, masjid yang paling hampir dengan rumah sewaku. Tapi pada malam ini agak istimewa kerana solat dilakukan di masjid baru yang bersebelahan dengan masjid lama. Masjid baru ini tersergam indah dengan 95% sudah siap cuma kemudahan air untuk mengambil wuduk belum disalurkan sepenuhnya. Aku dapati ramai masyarakat setempat menunaikan solat tarawih, bermunajat padanya yang Esa. Alangkah indahnya andai setiap malam semua masjid diimarahkan dengan orang yang begitu ramai tidak hanya pada ramadhan sahaja.

Setelah selesai menunaikan 20 rakaat solat sunat tarawih beserta sunat witir. Bersurailah semua hamba Allah menuju pulang. Cuma aku masih berlegar-legar di tangga masjid mencari kasut. Ya Allah, memang tak ada. Hamba Allah mana la yang ambik ni. Bukan aku sahaja yang kehilangan kasut, malah beberapa orang yang pulang dengan berkaki ayam. Kenapa lah masih ada insan yang melakukan semua ini. Walaupun amarah masih bersarang dihati, aku memujuk hati agar tidak berperasangka dengan menganggap mungkin mereka tersilap memakai kasut. Kalau ikutkan hati mahu juga aku pakai je kasut sesapa yang ada kt situ. Tapi akalku tidak membenarkan aku berbuat demikian, yelah mungkin tuan empunya kasut juga akan mengalami nasib seperti aku. Dengan redha hati aku balik dengan berkaki ayam sahaja ke rumah. Nasib-nasib..

Siangnya buat pertama kali Solat Jumaat di masjid baru. Ya Allah betapa ramainya umat Islam menunaikannya. Tentunya ada masyarakat dari kariah lain yang sama ingin menunaikan solat di masjid baru tersebut. Saf penuh menghampiri tangga. Begitu juga di bahagian atas penuh dengan mereka yang ingin menunaikan solat jumaat pada hari ini. Kalau di masjid lama pastinya jumlah tersebut tidak dapat ditampung sepenuhnya.

Malam ke 15 Ramadhan juga ada istimewanya kerana ada majlis berbuka puasa bersama bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 iaitu Tun Mahathir Mohamad di masjid tersebut. Tapi aku tidak dapat menyertai majlis tersebut atas sebab yang tertentu. Sayup kedengaran suara muazin melaungkan azan insya' pada malamnya, lantas ku bergegas ke rumah Allah bagi menunaikan tanggungjawab sebagai hamba-Nya. Alhamdulillah masih ramai yang datang menunaikan solat di masjid ini. Tun Mahathir juga turut sama bersolat jemaah bersama hadirin. Selesai solat fardhu insya' diteruskan pula dengan solat sunat tarawih. Seperti kebiasaan aku menghabiskan 20 rakaat beserta 3 rakaat witir. Alhamdulillah..

Sejarah juga tercipta untuk diriku pada malam tersebut di mana aku sempat bersalaman dengan tokoh negarawan yang satu ketika dulu memimpin negara kita yang tercinta ini. Inilah pertama kalinya aku bertentang mata dengan Tun Mahathir. Sambil bersalam serta mencium tangan beliau. Alhamdulillah aku diberikan peluang bertemu dengan pemimpin yang telah memacu negara selama 22 tahun. Memang menjadi salah satu dari impianku untuk bertemu dengan mereka yang berjaya dalam bidang masing-masing. Jika mahu disenaraikan banyak tokoh yang ingin aku bersua antara Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Malah aku pernah bertemu Allahyarham Dato' Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor di salah sebuah surau di daerah Pendang. Melihat raut wajahnya yang tenang dan mendamaikan. Majalah Mastika pernah menyiarkan tentang ketokohan Allahyarham, mengenai peristiwa yang berlaku yang diceritakan kembali oleh juruterbang yang membawa jenazah beliau. Ratusan ribu umat Islam membanjiri jalan-jalan di hari pengebumian beliau. Subhanallah..

Berbalik kepada cerita di malam 15 ramadhan,. sekali lagi nasib yang sama berlaku seperti malam sebelumnya. Kasut aku disebat (ambik-loghat daerah) lagi. Satu masjid aku pusing, tak jumpa2.. Kiranya sudah 2 kali aku kehilangan kasut. Ramai juga yang hilang kasut termasuklah jemaah wanita. Aku pun tak faham, kenapa la perkara ini terjadi. Malah aku percaya masjid lain juga berdepan masalah ini. Hal ini boleh menjejaskan institusi masjid andai setiap malam perkara demikian berlaku. Apakah selapas ini kita perlu datang ke masjid dengan hanya berkaki ayam? Tidakkah tersemat nilai-nilai murni di dalam hati insan2 yang melakukan perkara ini. Kemana perginya ketamadunan dalam diri mereka?

Itulah halnya jika kita ingin melakukan sesuatu yang baik pasti ada saja ujian yang menimpa. Ujian untuk mencekalkan hati serta menguatkan keimanan kepada Allah SWT. Aku berdoa mudah2an dibukakan pintu hati mereka yang selalu membuat perkara negatif ini supaya berubah kepada perkara yang mendatangkan kebaikkan kepada diri sendiri dan orang lain. Juga untuk Agama, Bangsa dan Negara.
Related Posts with Thumbnails

Catatan Popular