Sabtu, 26 Jun 2010

Ada Hikmahnya

Tok Penghulu dengan anaknya membela seekor kuda. Mereka amat menyayangi kuda itu. Satu hari, kuda itu terlepas dan terus lari ke dalam hutan berhampiran. Orang kampng yang mengetahui akan hal tersebut berkata kepada Tok Penghulu, “Kami simpati atas kehilangan kuda Tok. Tentu Tok sedih...”


Sebaliknya, Tok Penghulu tersenyum lalu berkata, “Tak apalah. Mesti ada hikmahnya.”


“Apa hikmahnya Tok?”


“Tok Pun tak tahu tapi pasti ada hikmahnya.”


Beberapa minggu kemudian, kuda kesayangan Tok penghulu pulang semula dengan membawa beberapa ekor kuda liar. Orang kampung sangat kagum kerana sekarang bilangan kuda kepunyaan Tok Penghulu bertambah secara tiba-tiba. Sudah rezekinya.


“Tok bertuahlah. Untung,” Begitulah kata mereka.


Tok Penghulu sebaliknya berkata, “Belum tentu lagi. Tapi Tok yakin tentu ada hikmahnya.”


Anak lelaki Tok Penghulu begitu gembira dengan kuda-kudanya. Setiap hari dia menunggang kuda kesayangannya sambil menggembala kuda-kuda liar yang lain. Begitu sibuk dan tangkas sekali. Entah bagaimana pada satu petang, anak Tok penghulu itu jatuh daripada kudanya lalu patah tangan kanannya. Orang tahu dia adalah anak kesayangan Tok Penghulu. Mereka datang menziarahi anak Tok Penghulu yang terlantar.


“Malang benar nasib Tok. Baru dapat nikmat sekarang ditimpa bala pula,” Kata mereka.


Tok Penghulu tersenyum dan berkata: “Ini ujian Allah. Tentu ada hikmahnya.”


Tidak lama kemudian, kampung mereka didatangi oleh pegawai-pegawai atasan tentera negara itu. Orang kampung semuanya bimbang kerana raja mereka memang terkenal zalim dan tidak berperikemanusiaan.


“Raja memerintahkan semua anak muda lelaki dikumpulkan! Negara memerlukan tentera tambahan untuk dihantar ke medan perang!” arah ketua tentera.


Semua ibu bapa kampung itu risau dan sedih kerana terpaksa berpisah dengan anak-anak lelaki mereka. Para remaja lelaki dibariskan dihadapan ketua tentera, termasuk anak lelaki Tok Penghulu yang patah tangan itu.


“Kamu dikecualikan! Tidak ada gunanya membawa orang yang patah tangan!” kata ketua tentera sambil menuding jarinya kepada anak lelaki Tok Penghulu.


Pada ketika itu, dalam hati orang kampung terngiang-ngiang kata-kata dari mulut penghulu mereka, “Mesti ada hikmahnya.”



Pengajaran: Setiap apa yg berlaku ada buruk dan ada baiknya. Orang yang beriman sentiasa melihat sisi baik daripadanya. Mereka menerima yang buruk dengan sabar, namun di dalam hati sentiasa mengharap kebaikan di sebaliknya daripada Allah s.w.t..


Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

Catatan Popular