Ahad, 11 Oktober 2009

Syawal 1430H

Alhamdulillah hari ini 22 Syawal 1430H, bermakna sudah 13 hari kita meraikan hari kemenangan setelah sebulan berjuang melawan hawa nafsu dan dari perkara-perkara yang boleh membatalkan ibadah puasa kita kepada Allah Taala. Segalanya teruji di bulan Ramadhan yang mulia ini lebih-lebih lagi tahap kesabaran, adab atau pergaulan seharian.


Kegembiraan menyambut Ramadhan jelas terpancar bagi umat Islam yang ternanti-nanti kedatangannya. Bersyukur juga kita kerana telah diberikan peluang menghabiskan ibadah puasa pada tahun 1430H ini. Apakah tahun hadapan kita masih diberikan peluang sebegini oleh Allah S.W.T? Bersamalah kita panjatkan doa kehadratNya mudah-mudahan kita antara hamba terpilih untuk tahun hadapan dan tahun-tahun yang seterusnya. InsyaAllah..


Untuk tahun ini, kegembiraanku bertambah apabila adik-adik kecilku berjaya menghabiskan 29 hari berpuasa antaranya Siti Nur Aisyah (adik), Nurul Hanani (kakak) dan Muhammad Ikmal. Ku kagumi semangat mereka berpuasa. Tersenyum melihat betapa mereka berjaya menjalani ibadah berpuasa seperti orang dewasa. Malah merekalah antara yang paling sibuk mengemas rumah tatkala Aidilfitri bakal menjelma. Doaku semoga semua adikku sentiasa bersemangat mengharungi ramadhan-ramadhan yang mendatang.


Sesungguhnya Ramadhan ini mengajar kita erti kesabaran,. Semua umat Islam yang berpuasa menghadapi pelbagai cabaran yang menguji sepanjang menjalani ibadah yang diwajibkan kepada sekalian umat Islam. Fenomena cuaca yang tidak menentu, adakalanya panas yang agak melampau. Bahkan hujan turun mencurah mengakibatkan banjir di sesetengah kawasan.


Bagiku kejadian kehilangan kasut pada dua malam berturut-turut ketika menunaikan solat sunat terawih, mengalami kemalangan 4 hari sebelum Syawal meskipun tidaklah seteruk mana serta demam sehari sebelum raya begitu menguji diriku. Inilah buat pertama kalinya aku menghadapi perkara sedemikian pada bulan yang penuh barokah ini.


Aku bercuti selama seminggu sempena hari lebaran. Menaiki feri dari Langkawi pada jam 12.00 tengah hari. Seterusnya rakan menjemput di Jeti Kuala Kedah dengan keretaku yang di hantar tiga hari sebelumnya. Tatkala memasuki Bandar Alor Setar jalan menjadi sesak dengan kenderaan dan kereta bergerak perlahan, di tambah pulak dengan keadaan cuaca yang sangat panas memadamkan hasratku untuk singgah di sekitar Pekan Rabu. Niat awalnya hendak melihat pakaian atau persiapan raya, andai ada yang berkenan dihati. Terus sahaja ke rumah rakanku itu di Hutan Kampung untuk menghantarnya pula.


Perjalanan balik kampung agak lancar pabila keluar dari Bandar Alor Setar. Namun setibanya di Gurun hujun turun begitu lebat hinggalah ke Jeniang membataskan jarak penglihatan dan memandu hanya sekitar 40 KM/J. Aku memandu dengan begitu berhati-hati disebabkan jalan yang licin dan air membanjiri permukaan jalan yang rendah. Alhamdulillah, akhirnya aku selamat sampai ke kampung pada sekitar pukul 6.30 petang. Malamnya aku berbuka puasa bersama keluarga untuk kali pertama Ramadhan kali ini dan malam esoknya juga..


Seperti kebiasaan di pagi raya kami adik beradik akan bersalaman dan mencium tangan kedua ibu bapa kami serta memohon ampun bagi setiap kesalahan yang pernah dilakukan. Seterusnya kami bersama-sama akan bersolat sunat hari raya di surau yang tidak berapa jauh dari rumah. Ramai juga anak kariah yang balik kampung hinggakan penuh saf di atas dan terpaksa bersolat di ruang bawah. Selesai menunaikan solat masing-masing bersalam memohon maaf atas segalanya.


Sesungguhnya pada hari raya sahaja aku dapat bertemu dengan rakan-rakan sekampung yang kebanyakkan juga merantau mencari rezeki. Seminggu bercuti aku manfaatkan dengan mengunjungi sanak saudara dan sahabat handai. Hanya pada hari raya untuk semuanya bertemu dan mengeratkan silaturrahim serta mengenali sesama saudara sama. Tp yang pastinya setiap kali raya lemang tepung akan menjadi pilihan utamaku berbanding lemang pulut atau lain-lain juadah/kuih.. Lemang tepung ni x semua tempat ada/buat,. Ramai sahabatku tak tahu dan tak pernah melihat juadah ini melainkan lemang pulut. Yelah biasanya setiap tempat ada juadah istimewa/tradisi sama jugak macam gulai batang pisang yang hanya terdapat di kawasan kampung sahaja.


Pada kengkawan klu nak rasa mcmana lemang tepung datang la beraya ke daerah Baling atau mana-mana tempat ada dibuat lemang tepung. Gulai batang pisang plak selalunya dibuat semasa kenduri kahwin sahaja. Berkunjunglah ke kampung rakan-rakan anda untuk mengetahui keunikan tempat tersebut. Sekian :-)

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails

Catatan Popular