Rabu, 18 Januari 2012

"Demi Masa"

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Lama rasanya tidak menjengah atau menambahkan entri baru di blog ini, semuanya gara-gara kesibukan menjalani rutin harian serta sekelian amanah untuk disempurnakan. Mudah-mudahan setiap kesibukan itu tidak membuatkan diriku lalai dari melaksanakan segala suruhan-Nya.

Dalam surah ke-103, Al-Asr; Allah SWT telah berfirman;

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (3)

Melalui ayat ini, Allah swt telah menceritakan bahawa masa itu amat berharga. Dan rugilah bagi mereka yang mensia-siakan masa yang ada dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Oleh yang demikian, perkara yang menjamin penggunaan masa yang bermanfaat ialah dengan beriman dan beramal soleh dengan perkara-perkara yang telah diperintahkan oleh Allah swt, juga bagi mereka yang sentiasa mengingatkan tentang perkara kebenaran dan kesabaran. Ringkasnya penggunaan masa yang berkualiti akan menjamin kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Tolong menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu menolong dalam perkara dosa dan permusuhan”

Kandungan ayat ini dapat juga kita terapkan dalam menghayati konsep masa yang berkualiti dan diredhai oleh Pencipta yang Maha Agung. Sentiasa tolong menolong dalam sesuatu perkara yang memberikan impak ke arah kebaikan kepada orang lain juga tergolong dalam penggunaan masa yang baik. Perkara ini akan dinilai di sisi Allah sebagai amalan yang mulia.

Di zaman yang serba maju ini, manusia sibuk berlumba mendapatkan status, mengejar kemewahan hingga kadangkala terlupa pada Sang Pencipta, mencipta teknologi hebat yang boleh melalaikan, malah yang lebih dashyatnya ada golongan yang mencari keseronokan yang tiada batasnya hinggakan hukum hakam diketepikan seolah tiada dalam kamus undang-undang kehidupan atau perintah yang patut dipatuhi. Gejala sosial yang berbagai bentuk begitu berleluasa di sana sini malah permasalahan ini juga semakin meruncing bukan hanya di negara kita, hatta di seluruh dunia. Adakah ‘masa itu emas’ yang sebegini kita inginkan?

Pepatah Arab Lama ada berkata; “Masa ibarat pedang, jika kita tidak memotong dia yang akan memotong”. Ini adalah pepatah yang terkenal dikalangan bangsa Arab. Adakah kita faham apa yang diperkatakan oleh pepatah ini? Pepatah ini sebenarnya menggambarkan suasana di medan peperangan. Tentera-tentera bertempur dengan pedang yang terhunus ditangan, mereka membunuh musuh bagi mencapai kemenangan dalam peperangan. Sekiranya kita berdiri ditengah-tengah medan pertempuran ini dengan sebilah pedang, apa yang akan kita lakukan?

Apa yang kita dapat lakukan adalah dengan turut sama dalam pertempuran. Kita juga mesti menggunakan pedang itu bagi menentang musuh-musuh yang ada. Sekiranya kita tidak menggunakan pedang itu, apakah yang akan berlaku? Ya, kita akan menerima kesusahan yang besar apabila kita berdiam diri sahaja.

Begitulah juga dengan masa. Bangsa Arab menggambarkan betapa ‘tajam’nya masa sehingga dapat merosakkan kita apabila kita tidak menggunakannya dengan sebaik mungkin. Oleh itu, gunakanlah masa yang kita miliki bagi ‘memotong’. Jangan biarkan ia berlalu dan ‘memotong’ kita pula.

Sedarlah bahawa dunia yang kita diami ini bakal menuju kehancuran. Dunia fana ini hanya menanti datangnya hari akhir atau disebut hari kiamat yang tiada siapa pun tahu bilakah ianya akan berlaku. Pada masa tersebut sudah tidak bermakna lagi untuk kita berubah dan memanfaatkan masa dengan sesuatu yang seperti diperintahkan. Semuanya sudah terlambat. Ayuhlah semua, jika selama ini ada antara kita yang terleka ‘demi masa’ yang sia-sia, mari kita berubah dan manfaatkan masa sekarang dengan perkara-perkara yang mendatangkan pahala buat kita, mudah-mudahan kelak ganjaran tersebut akan dapat membantu kita dihari kemudian nanti.

Sesungguhnya kita tidak dapat menikmati keindahan dan kebaikan waktu tanpa bersungguh-sungguh mendapatkannya. Jadi, hargailah masa kerana ia amat berharga. Akhirnya, saya noktahkan catatan ini dengan nasihat dari junjungan mulia Nabi Muhammad SAW katanya: “Bermuhasabahlah sebelum saudara dimuhasabahkan di akhirat nanti..”.

Related Posts with Thumbnails

Catatan Popular