Sabtu, 26 Jun 2010

Ada Hikmahnya

Tok Penghulu dengan anaknya membela seekor kuda. Mereka amat menyayangi kuda itu. Satu hari, kuda itu terlepas dan terus lari ke dalam hutan berhampiran. Orang kampng yang mengetahui akan hal tersebut berkata kepada Tok Penghulu, “Kami simpati atas kehilangan kuda Tok. Tentu Tok sedih...”


Sebaliknya, Tok Penghulu tersenyum lalu berkata, “Tak apalah. Mesti ada hikmahnya.”


“Apa hikmahnya Tok?”


“Tok Pun tak tahu tapi pasti ada hikmahnya.”


Beberapa minggu kemudian, kuda kesayangan Tok penghulu pulang semula dengan membawa beberapa ekor kuda liar. Orang kampung sangat kagum kerana sekarang bilangan kuda kepunyaan Tok Penghulu bertambah secara tiba-tiba. Sudah rezekinya.


“Tok bertuahlah. Untung,” Begitulah kata mereka.


Tok Penghulu sebaliknya berkata, “Belum tentu lagi. Tapi Tok yakin tentu ada hikmahnya.”


Anak lelaki Tok Penghulu begitu gembira dengan kuda-kudanya. Setiap hari dia menunggang kuda kesayangannya sambil menggembala kuda-kuda liar yang lain. Begitu sibuk dan tangkas sekali. Entah bagaimana pada satu petang, anak Tok penghulu itu jatuh daripada kudanya lalu patah tangan kanannya. Orang tahu dia adalah anak kesayangan Tok Penghulu. Mereka datang menziarahi anak Tok Penghulu yang terlantar.


“Malang benar nasib Tok. Baru dapat nikmat sekarang ditimpa bala pula,” Kata mereka.


Tok Penghulu tersenyum dan berkata: “Ini ujian Allah. Tentu ada hikmahnya.”


Tidak lama kemudian, kampung mereka didatangi oleh pegawai-pegawai atasan tentera negara itu. Orang kampung semuanya bimbang kerana raja mereka memang terkenal zalim dan tidak berperikemanusiaan.


“Raja memerintahkan semua anak muda lelaki dikumpulkan! Negara memerlukan tentera tambahan untuk dihantar ke medan perang!” arah ketua tentera.


Semua ibu bapa kampung itu risau dan sedih kerana terpaksa berpisah dengan anak-anak lelaki mereka. Para remaja lelaki dibariskan dihadapan ketua tentera, termasuk anak lelaki Tok Penghulu yang patah tangan itu.


“Kamu dikecualikan! Tidak ada gunanya membawa orang yang patah tangan!” kata ketua tentera sambil menuding jarinya kepada anak lelaki Tok Penghulu.


Pada ketika itu, dalam hati orang kampung terngiang-ngiang kata-kata dari mulut penghulu mereka, “Mesti ada hikmahnya.”



Pengajaran: Setiap apa yg berlaku ada buruk dan ada baiknya. Orang yang beriman sentiasa melihat sisi baik daripadanya. Mereka menerima yang buruk dengan sabar, namun di dalam hati sentiasa mengharap kebaikan di sebaliknya daripada Allah s.w.t..


Isnin, 14 Jun 2010

Nasihat Terakhir Untuk Anda

Terkadang manusia harus berhadapan dengan keadaan yang sulit dan sempit. Saat itu mereka akan merasakan tekanan, serangan perasaan dan kesedihan yang berlebihan yang pada akhirnya timbullah keinginan untuk menyendiri dan jauh daripada orang lain. Mereka merasakan seolah-olah menyendiri itu boleh mengembalikan ketenangan jiwa yang telah hilang. Padahal cara seperti ini akan mendekatkan lagi diri dengan kegagalan. Tidak diragukan lagi bahawa mempercayai orang lain dapat membantu kita dalam menghapuskan kesedihan yang membebani perasaan.

Di samping itu, kita harus menggunakan waktu sebaik mungkin agar tidak ada lagi waktu luang untuk merasakan kesedihan yang membelit perasaan kita. Jangan dibiarkan waktu luang itu menghanyutkan kita di lautan kesedihan yang tidak bertepian. Penuhi waktu terluang dengan aktiviti bermanfaat yang boleh menutup segala ruang kesedihan di hati.

Berikut ini ada beberapa cara lain yang dapat digunakan untuk membantu anda dalam menghilangkan kesedihan.

Berapa banyak waktu yang telah anda habiskan untuk meratapi masa lalu? Orang yang berjaya tidak akan berlebihan dalam mengingati apa yang pernah menimpanya di masa lalu. Sebab menghabiskan waktu untuk mengingati masa lalu akan hanya menbangkitkan kesedihan. Tetapi mengingati masa lalu dibolehkan jika tujuannya untuk mengambil pengajaran, hikmah, mengambil nilai-nilai positif yang ada dan meninggalkan nilai-nilai negatif.

Anda harus aktif. Tanamkan dalam fikiran bahawa masa depan harus lebih baik daripada keadaan sekarang. Jangan habiskan waktu anda untuk perkara-perkara yang tidak berguna. Akan tetapi gunakan waktu anda untuk kegiatan yang bermanfaat agar kelak akan memperoleh kejayaan yang dicita-citakan. Setelah itu anda tidak akan pernah mengalami tekanan jiwa untuk selamanya.

Senyumlah dengan senyuman yang indah dan merekah. Senyuman yang terukir dari dua bibir yang penuh bahagia adalah nikmat daripada Allah S.W.T. Senyuman yang anda berikan boleh memberikan kesejukan pada lawan bicara dan orang yang anda temui. Senyum bukan sahaja sebagai tanda bahawa orang tersebut lembut. Akan tetapi orang yang selalu tersenyum menandakan bahawa dia berada dalam ketenangan dan kebahagiaan. Cubalah untuk tersenyum untuk setiap anda bangun tidur. Senyum dapat menjadikan hidup anda kembali cerah dan merekah. Jika anda sudah terbiasa untuk tersenyum, maka orang lain akan mudah dekat dengan anda. Sebaliknya, orang yang selalu bermuka masam akan dijauhi oleh orang lain. Orang lain tidak mahu berinteraksi, bergaul dan menjalin urusan dengan orang yang selalu bermuka masam dan wajahnya selalu menampakkan kesedihan.

Terkadang seseorang mengalami kesedihan ketika dia merasa letih dalam menghadapi tugasan dan beban pekerjaannya yang banyak dan bertimbun. Oleh sebab itu, untuk menghilangkan rasa sedih dan perasaan tertekan – cubalah relaks setelah selesai menelaah pelajaran atau setelah melakukan satu pekerjaan. Gunakan beberapa minit saja untuk mengendurkan otot-otot anda. Bersihkan fikiran dan lapangkan dada anda sebelum memulai bahagian lain dari pelajaran ataupun pekerjaan anda.

Terakhir, berusahalah untuk menikmati hasil dari tugas dan pekerjaan anda.

Isnin, 31 Mei 2010

Saya Pernah Mendengar, Katanya Allah itu Sangat Dekat Dengan Kita , Kenapa Saya Tidak Tahu Kehadiran Dia?

Kadang-kadang, kamu juga tidak dapat melihat ayah ada dibelakang kamu, padahal kedudukan ayah dekat denganmu. Kamu pun tidak dapat melihat akar-akar rambutmu, padahal, bukankah dekat sekali akar rambutmu itu dengan dirimu? Agama mengajar kepada kita bahawa Allah itu lebih dekat daripada urat leher kita sendiri. Tetapi adakah kamu dapat melihat urat lehermu sendiri? Tidak kan? Lalu bagaimana kamu akan melihat Allah, jika urat lehermu sendiri saja tidak sanggup kamu lihat?


Allah itu dekat dengan kita, tidak dalam makna Allah itu bertempat, yakni tempatnya dekat dengan kita. Kamu harus terus memahami apa yang selalu ayah katakan kepadamu, yakni Allah tidak memerlukan tempat apa pun dan di mana pun. Makna Allah dekat dengan kita adalah bahawa Dia selalu menyertai langkah-langkah kita; selalu melihat apa yang kita kerjakan, selalu akan mengabulkan doa kita apabila kita bersungguh-sungguh dalam berdoa, dan selalu mendengar jerit-tangis, ucapan serta harapan kita.


Firman Allah:


١٦) ) وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ وَنَعۡلَمُ مَا تُوَسۡوِسُ بِهِۦ نَفۡسُهُ ۥ‌ۖ وَنَحۡنُ أَقۡرَبُ إِلَيۡهِ مِنۡ حَبۡلِ ٱلۡوَرِيد


“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya” - (Surah Qaf: 16)


Allah itu maujud (ada) tetapi tidak melalui fenomena muncul menjadi ada. Allah tidak muncul dari ketiadaan lalu menjadi ada. Allah mendahului ketiadaan itu sendiri. Oleh itu, Allah mendahului waktu dan mendahului tempat. Melalui kehendak serta perbuatan-Nya-lah ciptaan di adakan, sehingga kehendak dan perbuatan-Nya pun bersifat baru. Hanya Allah yang azali.


Allah bersama segala sesuatu, tetapi tidak dalam segala sesuatu. Kerana tidak dalam segala sesuatu, kebersamaan Allah dan segala sesuatu bukan kebersamaan yang berupa persamaan fizikal. Kebersamaan Allah dalam segala sesuatu juga mengandungi makna bahawa Dia berbeza dengan segala sesuatu tersebut, tetapi perbezaan ini bukan dalam keterpisahan fizik. Dia berbuat begitu tetapi tidak dalam bentuk gerakan dan alat.


Dengan demikian, hakikat Allah dekat dengan manusia bukanlah dalam makna kedekatan fizik, yakni zat Allah dalam diri manusia dalam bahasa al-Quran di atas disebut dengan istilah ‘lebih dekat dari urat nadi’ tetapi kedekatan dalam pengertian ghaib, yakni kedekatan dalam citra-Nya pada diri manusia, kedekatan dalam pengetahuan-Nya tentang manusia. Tidak ada sesuatu pun yang terlepas dari penglihatan-Nya.


Catatan bagi ibu bapa:


Adalah nyata bagi kita ibu bapa bahawa pertanyaan anak-anak yang di atas ini memiliki visi yang sama dengan pertanyaan-pertanyaan sebelum. Wujud Allah dalam diri anak-anak adalah wujud yang bersifat nyata dalam bentuk fizikal. Ketika mereka bertanya tentang kedekatan kita dengan Allah atau Allah itu lebih dekat dari urat leher kita sendiri, maka visi yang dimengertinya adalah kedekatan fizikal tersebut seakan-akan Zat itu lembut sekali, padahal Maha Lembut bukan Zat Allah tetapi sifat-Nya. Oleh kerana itu, ibu bapa perlu mengarahkan dan untuk kemudian mengubah visi nyata dalam bentuk fizikal Allah dalam pemikiran mereka.


*Soalan ke-16 yang dipetik dari buku ‘Bila Anak-anak Bertanya Tentang Allah dan Alam Ghaib: Inilah 48 Jawapannya.’

Ahad, 23 Mei 2010

Apa yang kamu lakukan itu, Iqbal?


Suatu ketika, cendekiawan dan ulama terkenal, Dr. Muhammad Iqbal (1877-1938) pernah menceritakan sesuatu peristiwa yang amat berkesan di hatinya. Cerita cendekiawan yang berasal dari pakistan itu berkisar tentang dirinya, ayahnya dan al-Quran. Kata Iqbal...

"Saya biasa membaca al-Quran selepas solat subuh, dan ayah selalu mengawasi saya. Bukan saja mengawasi, malah ayah juga bertanya, 'Apa yang kamu lakukan itu, Iqbal? Padahal sudah jelas ayah tahu saya sedang mengaji. Saya menjawab, 'Saya sedang membaca al-Quran ayah'.

Pertanyaan itu ayah ulangi setiap pagi, setiap subuh, selama tiga tahun penuh. Jawapan yang saya berikan juga sama, setiap pagi selepas subuh, selama tiga tahun penuh, bahawa saya sedang mengaji al-Quran. "Suatu hari saya memberanikan diri bertanya kepada ayah.'Mengapa ayah selalu menanyakan soalan yang sama, padahal jawapan saya juga sama?' Jawab ayah, 'Nak, bacalah al-Quran itu seolah-olah al-Quran itu diturunkan langsung untukmu.'

"Barulah saya faham mengapa setiap subuh, ayah akan bertanyakan soalan tersebut. Sejak saat itu, saya sentiasa membayangkan seolah-olah al-Quran itu diturunkan untuk diri saya. "Saya tidak saja membaca, tetapi juga cuba mengerti. Bukan saja cuba mengerti, tetapi juga cuba memahaminya. Tidak setakat memahami, saya cuba mengamalkannya. Bukan saja mengamalkannya, malah cuba untuk menyampaikan kembali isi al-Quran itu seperti yang saya fahami."

Maka hari ini kita mengenang Muhammad Iqbal sebagai salah seorang tokoh besar Islam, yang bukan sahaja memahami dan mengamalkan isi al-Quran, malah berusaha menyampaikannya seluas dan sebaik yang boleh.

Rabu, 19 Mei 2010

La Tahzan - Jangan Bersedih..

Jangan sesekali bersedih! Apakah dengan kesedihan anda ingin menghentikan putaran roda zaman, menahan matahari, menterbalikkan putaran jarum jam, berjalan ke belakang dan memterbalikkan siang ke pagi hari?


Jangan bersedih! Sebab kesedihan ibarat angin puyuh yang dapat merosak kesegaran udara, mengeruh air yang jernih, merubah wajah langit yang ceria dan merosak taman-taman yang indah.


Jangan sesekali bersedih! Sebab segala sesuatu yang kita sedihkan tidak ada ertinya. Ia bagaikan air sungai yang mengalir ke muara dan akan menetap di sana.


Segala sesuatu yang disedihkan ibarat udara yang telah dihembuskan dan tulisan yang diukurkan di atas air. Semuanya tidak akan pernah kembali.


Jangan sesekali bersedih! Sebab kehidupan anda yang sebenarnya adalah kebahagiaan yang anda rasakan dan ketenangan yang anda nikmati. Jangan gunakan sedikit pun waktu anda untuk kesedihan, jangan biarkan malam anda diusik rasa gundah, jangan membiarkan waktu anda dirobek kegelisahan dan jangan anda mensia-siakan hidup anda. Sebab Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang mensia-siakan hidupnya.


Jangan sesekali bersedih! Sebab harta yang anda miliki, istana yang anda bina, taman indah hijau yang anda pelihara hanya akan menambah rasa sedih, gundah dan gelisah anda.


Jangan sesekali bersedih! Sebab ubat tidak akan dapat membantu anda untuk menghilangkan kesedihan anda. Hanya hati anda yang dapat menenangkan segala gelora perasaan dan kelapangan jiwa anda yang dapat menghilangkan terpaan kesedihan.


Jangan sesekali bersedih! Sebab anda memiliki kekuatan doa. Allah tidak menyukai orang yang selalu bersedih. Perbaikilah kedudukan anda di pintu rahmat-Nya. Anda memiliki sepertiga malam untuk berdoa kepada-Nya dan anda memiliki waktu yang begitu dekat dengan-Nya iaitu ketika anda sujud.

Jangan sesekali bersedih! Allah SWT telah menciptakan bumi dan semua yang ada di dalamnya untuk anda. Dia telah menumbuhkan tanaman yang indah untuk anda, taman-taman yang penuh dengan ragam bunga yang meronai, pohon kurma yang indah ditampuknya dan bintang-bintang yang berkilauan.


Jangan bersedih! Sebab anda meminum air yang segar, menghirup udara yang bersih, berjalan dengan kaki yang sihat dan kuat serta tidur di malam hari dengan nyenyak.


Jangan bersedih! Sebab sakit yang dideritai pasti akan hilang, tubuh yang cedera akan sembuh, segala dosa akan diampuni, segala hutang akan terbayar, semua yang tertawan akan dilepaskan, semua yang hilang akan diganti, semua yang bermaksiat akan bertaubat dan semua yang miskin akan kaya.


Jangan bersedih! Pernahkah anda memerhatikan awan hitam bagaimana ia menghilang, malam yang gelap berubah menjadi terang benderang, angin puyuh boleh menjadi tenang dan badai boleh menjadi teduh. Oleh itu, segala kesusahan akan berganti dengan kelapangan dan jiwa yang merindu akan tenang.


Jangan bersedih! Sinaran cahaya matahari akan menghilangkan kegelapan, tenggorok yang kering akan hilang hausnya dengan air yang segar, rasa lapar yang memberontak akan tenang dengan suapan nasi, tubuh yang letih akan kembali segar dengan tidur yang nyenyak dan rintihan sakit akan hilang dengan kesembuhan. Semuanya akan berakhir. Tugas kita hanya bersabar dan bersabar, menunggu sebentar dan segalanya akan berubah.


Wahai Yang Maha Esa, Wahai Tempat Meminta, Wahai Yang Maha Mulia, Wahai Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri, Wahai Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, hamba memohon kepada-Mu agar segala kegundahan, kegelisahan dan kesedihan akan hilang. Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu daripada kesusahan, permasalahan hidup, kehinaan dan kemiskinan. Maha suci Engkau ya Allah, aku bersaksi tidak ada Tuhan selain-Mu dan aku mohon keampunan-Mu dan bertaubat kepada-Mu. Selawat dan salam buat junjungan kita Nabi Muhammad SAW.


Sabtu, 15 Mei 2010

The Fikr - Cinta

Harimu! Harimu!

Dengarkanlah syair yang dilantunkan oleh Tsabit: “Jika engkau berada di pagi hari maka jangan tunggu petang hari, jika engkau di petang hari jangan tunggu esok pagi.”

Kehidupan adalah hari yang anda jalani sekarang ini, bukan hari kelmarin yang telah berlalu pergi dari anda dan bukan pula hari esok yang tidak pasti apakah anda akan bertemu dengannya. Hari sekarang adalah hari yang anda rasakan hangat mataharinya. Umur anda hanya satu hari yang anda sedang lalui sekarang.

Sebuah syair mengatakan: “Apa yang telah berlalu tidak akan kembali, masa depan juga sesuatu yang misteri. Kehidupan sebenarnya adalah waktu di mana anda berada sekarang.”

Bayangkanlah anda hanya hidup untuk satu hari ini saja. Seolah-olah anda dilahirkan dan mati pada hari ini juga. Jika anda memiliki persepsi demikian maka anda tidak akan terpengaruh dengan buruk dan kelamnya masa lalu ataupun mimpi buruk yang akan menimpa anda pada masa yang akan datang.

Untuk hari ini saja, curahkanlah segala perhatian dan usaha anda. Untuk hari ini saja, kerahkanlah segala kemampuan dan apa yang anda miliki. Laksanakanlah solat dengan khusyuk, bacalah al-Quran dengan penuh keinsafan, berzikir dengan hati yang hidup, berakhlak yang mulia, rela dengan ketentuan Allah SWT, membantu orang lain, mengambil berat suasana dan kesihatan tubuh dan kegiatan lain yang bermanfaat.

Pada hari anda jalani sekarang, uruslah waktu anda sebaik mungkin. Jadikanlah minit demi minit seolah hitungan tahun dan detik demi detik seolah hitungan bulan. Semailah benih kebaikan, berikanlah nasihat yang indah, beristighfarlah dari segala dosa, ingatlah Allah SWT selalu dan bersiaplah untuk perjalanan panjang yang akan anda tempuhi. Jika demikian mampu anda lakukan maka anda akan mendapati kehidupan akan dipenuhi dengan kesenangan, kebahagiaan, ketenangan dan ketenteraman.

Anda merasa redha dan sentiasa bersyukur dengan rezeki yang anda terima, isteri yang mendampingi anda, anak-anak, pekerjaan, rumah, dan kegiatan yang anda lakukan.

(١٤٤) فَخُذۡ مَآ ءَاتَيۡتُكَ وَكُن مِّنَ ٱلشَّـٰكِرِينَ


“Oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur.” (al-A’raf: 144)

Jalanilah hidup anda hari ini tanpa ada kesedihan, kegundahan, gangguan, kemarahan, rasa dengki dan iri hati. Tulislah sebuah ungkapan dalam lubuk diri anda ataupun dipapan harian anda: Harimu dan harimu.

Jika sekarang anda makan roti yang panas dan enak, apakah ada pengaruhnya jika kelmarin anda makan roti yang kering dan tidak berasa keenakannya? Atau roti yang akan datang yang tidak tahu bagaimana bentuk dan rupanya? Jika anda meneguk air yang segar dalam kehidupan anda sekarang, kenapa harus sedih dengan air garam yang anda minum kelmarin atau air yang tidak pasti akan anda minum di waktu akan datang? Hadapi dan nikmatilah hari ini.

Jika anda memiliki keinginan yang kuat seperti baja maka anda akan mampu menakluk sebuah teori yang berbunyi: “Saya tidak akan hidup kecuali hari ini.” Maka seluruh kegiatan yang anda lakukan pada hari tu merupakan usaha dalam membentuk dan mengembangkan kemampuan dan potensi anda.

Sebuah moto dalam diri anda: Hidup hanya hari ini saja, berusahalah jangan pernah mengatakan kata-kata kotor, celaan dan umpatan.

Hidup hanya hari ini saja, saya akan rapikan rumah dan perpustakaan saya.

Hidup hanya hari ini saja, saya akan menjaga kesihatan dan keadaan tubuh saya. Saya akan berusaha menyeimbangkan perkataan, perbuatan dan segala kegiatan saya.

Hidup hanya hari ini saja, saya akan bersungguh-sungguh dalam beribadah, melaksanakan solat dengan sesempurna mungkin, menambah ibadah dengan melakukan ibadah sunat, membaca al-Quran dan membaca buku yang bermanfaat.

Hidup hanya hari ini saja, saya akan menyemai benih kebaikan dalam hati agar tumbuh pohon yang memiliki dahan yang kuat dan ranting yang banyak dan kukuh. Semoga dengan itu segala kesombongan, rasa dengki dan prasangka buruk tertutup oleh rimbun kebaikan tersebut.

Hidup hanya hari ini saja, saya akan memberikan manfaat kepada orang lain, memberi kebahagiaan kepada setiap orang, menjenguk orang yang sakit, menghantar jenazah, memberi makan orang yang kelaparan, membantu kesusahan orang lain, membantu orang yang dizalimi, menolong mereka yang lemah, memuliakan orang yang berilmu, menghormati yang tua, menyayangi yang kecil dan sebagainya.

Saya akan hidup hanya untuk hari ini saja.

Apa yang telah berlalu telah berakhir dan tidak akan pernah kembali. Semuanya telah tenggelam seperti matahari.

Saya tidak akan menangisimu; saya tidak akan menyisakan sedikit waktu untuk mengenangmu, sebab engkau telah pergi meninggalkan saya dan tidak akan kembali untuk selama-lamanya.

Wahai masa depan, engkau juga masih misteri. Saya tidak akan larut dengan mimpi-mimpi; saya tidak akan menjual diri ini dengan sesuatu yang tidak pasti; dan saya tidak akan tergesa-gesa untuk melakukan sesuatu yang belum ada dan belum pasti kewujudannya. Masa depan belum tentu ada, sebab ia belum diciptakan.

Harimu dan harimu. Merupakan kata yang paling indah yang ada dalam kamus kebahagiaan dan dalam kamus kehidupan bagi mereka yang menginginkan kebahagiaan.

*Dipetik dari buku Supaya Gelisah Bernilai Ibadah.

Jumaat, 7 Mei 2010

Wahai Orang-orang Yang Bersabar...

Mungkin saja anda mendapati diri anda berada di tengah samudera kesedihan. Hentaman badai kegelisahan selalu menerpa anda. Tiupan badai itu menghentam bahtera anda yang kecil sehingga membuatnya teroleng ke kiri dan ke kanan.


Gulungan ombak lebih tinggi daripada anda sehingga jika ia menggulung anda hilanglah harapan untuk selamat. Dalam kesempatan yang demikian genting, timbul keyakinan dalam diri aanda bahawa tidak ada jalan untuk selamat kecuali kembali kepada Allah S.W.T. Tidak terasa air mata anda bercucuran.


Hati anda akan tunduk. Segala apa yang anda miliki hanya tertuju kepada Allah S.W.T. Anda menyeru-Nya, ya Tuhanku... ya Tuhanku... wahai yang memudahkan segala urusan, mudahkanlah urusanku. Tiba-tiba, samudera yang ganas berubah menjadi lautan yang teduh. Gelombang kesedihan yang menerpa kini telah kembali reda. Bahtera anda kembali belayar dengan tenang. Sesungguhnya segala sesuatu tidak akan pernah berubah kecuali apa yang ada dalam diri dan hati anda telah berubah.


Allah SWT berfirman:


إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ‌ۗ


“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu hingga mereka sendiri yang merubahnya.” - (ar-Ra’du: 11)


Kesusahan anda telah berubah menjadi ketenangan. Kemarahan anda telah berubah menjadi kerelaan. Kesedihan dan kegundahan berubah menjadi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Bersabarlah maka anda akan mendapatkan hadiah berikut daripada Allah SWT:


Pertama, pahala orang yang bersabar. Orang yang bersabar akan mendapat pahala yang tidak terbatas dan terhingga daripada Allah SWT. Allah SWT berfirman:


إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّـٰبِرُونَ أَجۡرَهُم بِغَيۡرِ حِسَابٍ۬ (١٠)


“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas,” - (az-Zumar:10)


Kedua, orang yang sabar akan mendapatkan kekuatan bersama Allah SWT. Allah SWT berfirman:


إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ (٤٦)


“Sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang sabar,” - (al-Anfal: 46)


Ketiga, orang yang sabar mendapatkan cinta Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:


وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّـٰبِرِينَ (١٤٦)


“Allah menyukai orang-orang yang sabar.” - (Ali Imran: 146)


Keempat, orang yang bersabar akan mendapat kebaikan di akhirat kelak. Firman Allah SWT:


وَٱلَّذِينَ صَبَرُواْ ٱبۡتِغَآءَ وَجۡهِ رَبِّہِمۡ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُواْ مِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ سِرًّ۬ا وَعَلَانِيَةً۬ وَيَدۡرَءُونَ بِٱلۡحَسَنَةِ ٱلسَّيِّئَةَ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ لَهُمۡ عُقۡبَى ٱلدَّارِ (٢٢) جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ۬ يَدۡخُلُونَہَا وَمَن صَلَحَ مِنۡ ءَابَآٮِٕہِمۡ وَأَزۡوَٲجِهِمۡ وَذُرِّيَّـٰتِہِمۡ‌ۖ وَٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ يَدۡخُلُونَ عَلَيۡہِم مِّن كُلِّ بَابٍ۬ (٢٣) سَلَـٰمٌ عَلَيۡكُم بِمَا صَبَرۡتُمۡ‌ۚ فَنِعۡمَ عُقۡبَى ٱلدَّارِ (٢٤)


“Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; (22) Iaitu Syurga ‘Adn yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (23) (Memberi hormat dengan berkata): Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu." - (ar-Ra’du: 22-24)


Kelima, nilaikan musibah yang menimpa anda dengan penuh kesabaran. Jika hal itu terjadi atas keinginan Allah SWT maka Dia telah menyediakan pahala bagi anda. Allah SWT berfirman:


فَٱصۡبِرۡ‌ۖ إِنَّ ٱلۡعَـٰقِبَةَ لِلۡمُتَّقِينَ (٤٩)


“Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa Kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertakwa.” - (Hud: 49)


Keenam, orang yang bersabar termasuk ke dalam golongan orang-orang yang beruntung dan mendapat kemenangan. Firman Allah SWT:


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ (٢٠٠)


“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” - (Ali Imran: 200)


Ketujuh, orang yang bersabar akan mendapat keampunan dan pahala yang begitu besar daripada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:


إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ لَهُم مَّغۡفِرَةٌ۬ وَأَجۡرٌ۬ ڪَبِيرٌ۬ (١١)


Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.” - (Hud: 11)


Kelapan, orang yang bersabar akan mendapat selawat, rahmat dan hadiah daripada Allah SWT sebagai bentuk kerelaan dan kecintaan-Nya kepada mereka. Allah SWT berfirman:


وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَىۡءٍ۬ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٍ۬ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٲلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٲتِ‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ (١٥٥) ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٌ۬ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٲجِعُونَ (١٥٦) أُوْلَـٰٓٮِٕكَ عَلَيۡہِمۡ صَلَوَٲتٌ۬ مِّن رَّبِّهِمۡ وَرَحۡمَةٌ۬‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُهۡتَدُونَ (١٥٧)


“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (155) (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. (156) Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya.”

(al-Baqarah: 155-157)


Kesembilan, perhatikan pepohon ketika musim gugur, anda akan menyaksikan pemandangan yang menakjibkan dengan berguguran daun-daunnya. Jika anda bersabar atas musibah yang menimpa anda, maka anda juga akan menyaksikan dosa-dosa yang anda lakukan berguguran bagaikan daun yang berjatuhan pada musim gugur.


Rasulullah SWT bersabda yang bermaksud:


“Tidakkan setiap muslim yang ditimpa suatu penyakit atau yang lainnya kecuali Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya bagaikan pohon yang menggugurkan daun-daunnya.”

(HR. Bukhari)


* Dipetik dari buku Supaya Gelisah Bernilai Ibadah, terbitan Kemilau Publika SB.

Isnin, 5 April 2010

Bersabarlah

Bersabarlah dan bertawakkallah
Dalam kehidupan ini
Sesuatu yang terjadi itu
Tentu ada hikmahnya

Penderitaan yang engkau alami
Hanya suatu dugaan
Dan janganlah kau bersedih hati
Tuhan maha penyayang

Hatiku memahami derita yang kau alami
Diriku menyayangi oh dirimu
Linangan airmatamu
Hanya tuhan yang tahu
Peritnya kau tanggungi tak terkata
Sabarlah wahai insan
Yang sedang menderita
Janganlah putus asa

Kasih yang kau harapkan
Menanti dihadapan
Bahagia yang kau rindu
Terbuka diakhirat

Kuhulurkan tangan ini
Sebagai tanda kasih
Semoga kau menyedari
Niatku suci murni…

*Khas buatmu insan yang menyinari hidupku..

Jumaat, 2 April 2010

7 Ayat Cinta Menurut Sabda Rasulullah S.A.W

Sabda Rasulullah S.A.W: “Barangsiapa yang hafal dan mengamalkan tujuh kalimah ini akan dimuliakan oleh Allah s.w.t dan malaikat dan akan diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih di lautan”:


  1. BISMILLAHHIRRAHMANIRRAHIM – pada setiap kali hendak melakukan sesuatu.


  1. ALHAMDULILLAH – Pada setiap kali habis melakukan sesuatu.


  1. ASTAQHFIRRULLAH HAL A’ZIM – Jika tersilap mengatakan sesuatu yang buruk.


  1. INSYA ALLAH – Jika berjanji atau ingin melakukan sesuatu pada masa akan datang.


  1. LAHAULAWALA QUATAILLABILLAH – Bila tidak dapat melakukan sesuatu yang agak berat atau melihat sesuatu yang buruk.


  1. INNALILLAHI WA INNAA ILAIHI RAAJI’UN – Jika menghadapi musibah atau melihat kematian.


  1. LAAILAAHAILLALLAH – Bacalah sepanjang siang dan malam sebanyak-banyaknya, amalkanlah selalu moga-moga kita tergolong di kalangan orang-orang yang terpilih oleh Allah s.w.t.


*Amalkanlah dan semoga jiwa kita lebih damai...

Related Posts with Thumbnails

Catatan Popular