Ahad, 11 September 2011

Sebuah Kisah Kehidupan

Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini.

"Tapi pak cik kena bayar segera bahagian makcik yang masih tak cukup tiga ribu lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat," beritahu pegawai itu lagi.

"Insya-Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera," janji Pak Uwei. Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya.

Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji dia terus balik ke rumah.

"Pah... oo..Pah!" teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya.

"Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?" tanya Mak Pah.

"Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ini akan tertunai. Insya-Allah dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai," cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-seri.

"Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai."

"Betullah Pah oii... saya ni baru je balik dari pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu, tiga ribu lagi kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan."

"Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itu pun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu." Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.

"Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja." Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak- anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya.

"Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik boleh kita berunding," cadang Pak Uwei.

"Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti nak ke Mekah minta duit anak-anak." Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei.

"Pah... Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni." Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya.

"Tapi bang?... "

"Dahlah... pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu," pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya.

"Insya-Allah Kis balik nanti abah. Emm... abah nak Kis suruh Intan balik sama?" tanya Balkis.

"Ikut suka kaulah, bagi abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya?," balas Pak Uwei.

Bukannya dia membeza-bezakan anak-anak tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan dengan Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia tersangat geram. Sudahlah malas belajar tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab tidak sah. Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing.

"Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi." Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang.

"Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram." bantah Intan menaikkan darah Pak uwei.

"Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?"

"Itulah abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang duk kat KL tu jahat abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya, hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh, abah." Intan cuba membuat abahnya faham.

"Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap abah macam kau ni!"

"Intan memang tak sama dengan Kak Balkis abah, Intan suka berterus terang, kalau tak kena Intan cakap depan-depan bukan membebel kat belakang," balas Intan selamba menyemarakkan lagi bara dalam dada abahnya.

"Anak tak mendengar kata!!, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi... aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke?, telangkup ke?, gasak kaulah. Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!!"

Sejak kejadian itu, Pak Uwei memang tidak memperdulikan langsung apa yang Intan nak buat. Namun begitu Intan tetap pulang setiap kali cuti, dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak memperdulikannya. Intan selalu menghulur duit tapi hanya kepada maknya sahaja.

Riang hati Pak Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isya`, mereka duduk berborak di ruang tamu.

"Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni, ada hajat sikit," Pak Uwei memulakan bicara.

"Hajat apa pula abah?" tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.

"Abah dan mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian mak kau masih belum cukup lagi abah nak minta Kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah," Pak Uwei mengutarakan hasratnya.

"Boleh tu boleh abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru aje keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan," ujar Muaz.

"Tapi... pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan."

"Kalau dalam seminggu dua ni abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan," jawab Muaz serba salah.

"Kau beli rumah lagi? Rumah yang ada tu kau nak buat apa?" tanya Pak Uwei melindungi kekecewaannya.

"Rumah baru tu besar sikit, abah. Selesalah buat kami sebab budak- budak tu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi abah, pelaburan masa depan juga," sampuk Mira isteri Muaz.

Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. "Kamu macam mana Kis, boleh tolong abah? Nanti abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki durian berbuah kat dusun kita tu nanti," Pak Uwei berpaling Pada Balkis.

"Kis pun rasanya tak dapat nak tolong abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah... ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi."

Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis.

"Man bukan tak nak tolong abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman."

"Betul kata Man tu abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok," sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya.

"Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki mak pula pergi," Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.

"Kalau nak pergi sendiri, dah lama saya pergi Pah!. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau awak tak pergi biarlah kita sama-sama tak pergi... dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?" Pak Uwei bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal.

Intan tahu abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya tapi Intan faham kecewa abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu.

"Anak awak tu tak balik ke?" tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama abang dan kakaknya.

"Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti," balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya.

"Nak ke mana pulak tu?" tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap.

"Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya Intan, kuih lepat ubi kegemarannya." Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebut anaknya. Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak.

Pagi Isnin tu selepas bersarapan Intan bersiap-siap hendak keluar.

"Nak ke mana Intan pagi-pagi lagi dah bersiap ni?"

"Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye."

"Kalau nak ke bandar suruhlah abah kau tu hantarkan," suruh Mak Pah.

"Tak payahlah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula abah tu. Intan pergi dulu." sambil mencium tangan Mak Pah yang menggeleng kepala memerhatikan Intan berlalu pergi. Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati, membuat anaknya itu menyisihkan diri.

Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari.

"Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api."

"Ingat lagi abah lauk kegemaran Intan rupanya," usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan.

"Mak bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapak," jawab Pak Uwei sinis.

Intan tersenyum pahit. Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.

"Mak, abah... Intan ada hal sikit nak cakap ni... ," ujar Intan menghampiri mereka. Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.

"Apa hal... kamu nak kahwin ke?" soal Pak Uwei merenung Intan. Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya.

Melihat Intan tergelak besar Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu. "Abah ni... ke situ pulak...."

"Habis tu?"

"Ini... Buku Tabung Haji mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ni, resit memasukkan duit ke akaun mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek mak dan abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti." Intan memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uwei.

"Apa??" Pak Uwei terkejut matanya merenung Intan dan duit di tangannya bagai tidak percaya.

"Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati abah. Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat abah. Dah banyak kali abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pula tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Intan harap, abah sudi terima pemberian yang tak seberapa ini dari Intan," tutur Intan perlahan memerhatikan airmata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia.

"Terima kasih Intan. Malu rasanya abah nak ambil duit kamu... dulu abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi tapi akhirnya anak abah yang kerja kilang yang membantu abah," luah Pak Uwei sambil mengesat airmata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya.

"Sudahlah abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira abah sudi terima pemberian Intan."

"Pemberian kau ni terlalu bernilai bagi abah dan mak kau Intan..." ujar Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat.

"Hah... tulah, jangan suka memperkecil- kecilkan anak saya ni," Mak Pah mengusik Pak Uwei sambil mengesat airmata penuh kesyukuran.

"Mak ni... ," gelak Intan memandang abahnya yang tersengih.

Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembiran bercampur hiba.

"Semua dah siap ke mak?" tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.

"Dah rasanya... ada apa-apa yang Intan nak pesan mak belikan di sana nanti?"

"Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli mak. Yang penting mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna."

"Hah, awak dengar tu... kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli-belah," tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua-beranak itu.

"Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat," pesan Intan sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu.

....................................................................................................................

Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutama Intan bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di tanah suci. Intan tidak berkata sepatah pun tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh.

"Kenapa resah aje ni, bang?" Mak Pah terjaga.

"Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita."

"Sabarlah, dah nak sampai dah ni," pujuk Mak Pah.

Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.

"Mak... abah...," Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan airmata menitis laju.

"Mana yang lain ni, kamu berdua aje?" Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan.

"Mereka menanti di rumah, abah," beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uwei. "Intan pun tak datang juga ke?" Tanya Pak Uwei terasa hampa.

"Awak ni... kan Man dah kata mereka menunggu di rumah." Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ini nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena.

"Dua tiga malam sebelum balik, abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati." cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz diam sambil mengerling Azman yang sedang memandu.

"Tentulah abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit," balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu.

"Tapi, abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi abah tu, abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun hanya renung abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?"

"Err... tak ada abah. Kita berhenti minum dulu abah, tentu mak haus," ajak Azman menukar tajuk perbualan.

"Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik," tolak Pak Uwei.

Azman dan Muaz hanya berpandangan. Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.

"Mak dengan abah sihat ke?" tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya.

"Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?" Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan.

"Naik dulu Ngahnya...," suruh Long Semah.

"Intan mana?" Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan. Pantas dia memanjat tanggu menuju bilik Intan. Matanya terpaku pada bekas bara yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar.

"Az... mana Intan? Mana adik kau Az?" tanya Pak Uwei dengan suara yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.

"Sabar abah... ," Muaz menggosok belakang abahnya.

"Kenapa Az...kenapa?" Mak Pah menurunkan Syazwan cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan.

"Mak... Intan dah tak ada mak," Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah. Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu mengelilingnya. Pak Uwei duduk di tepi kepalanya.

"Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai," pujuk Long Semah yang masih belum pulang.

"Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia," Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah.

"Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?" tanya Mak Pah tersedu sedan.

"Kami semua ada mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya mak. Sebenarnya dia yang ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah sebelum mak dan abah balik. Masa sampai tu dia sihat lagi tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isya` dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal subuh hari Jumaat mak... tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak," cerita Muaz.

Mak Pah mengenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka. Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan, "Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, mak dan abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat.."

Tamat....

Moral cerita ... berbuat baik dan berbaktilah kepada kedua ibu bapa sementara mereka masih ada di dunia ini. Harta benda hanyalah sementara berbanding amalan yg kita lakukan selagi tubuh badan kita bernyawa. Biar apa jua yang berlaku, hargailah kasih sayang kerana ia anugerah Allah yang amat berharga. Renung-renungkan. ....

Jumaat, 26 Ogos 2011

Sabar & Solat

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

"... Dan mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat." (Al-Baqarah: 45)

Baik sabar mahupun solat adalah bahan bakar kehidupan, bekal perjalanan, pintu harapan dan kunci kejayaan. Ertinya: "Orang yang bersabar akan selalu menjaga solat maka, 'khabarkanlah kepadanya tentang fajar yang menyinsing, kemenangan yang nyata dan pertolongan yang dekat.'"

Isnin, 18 Julai 2011

Kurang Darah Membawa Maut?

Jika anda disahkan mengalami kurang darah, pastikan anda jangan ambil mudah tentang penyakit tersebut. Kurang darah ialah keadaan di mana kepekatan darah merah adalah kurang daripada biasa. Dalam istilah perubatan, seseorang yang menghidap kurang darah mempunyai kepekatan darah merah kurang dari 9 gm peratus hemoglobin.

Punca Kurang Darah

Ada bebarapa sebab yang boleh menyebabkan berlakunya keadaan ini, antaranya ialah:

  • Kurang memakan makanan yang berzat dan yang mengandungi zat besi
  • Ibu yang kerap bersalin
  • Jangkitan cacing
  • Pendarahan faraj atau buasir
  • Lain-lain penyakit seperti jangkitan saluran kencing, penyakit limpa, demam malaria dan penyakit barah.

Bagaimana Mengetahui Anda Menghadapi Kurang Darah

Tanda-tanda yang biasa dirasa/alami ialah:

  • Kelihatan pucat
  • Sentiasa rasa letih lesu dan tidak boleh menjalankan kerja-kerja biasa dirumah
  • Rasa mahu pitam bila bangun
  • Sentiasa rasa pening
  • Bengkak kaki dan muka
  • Kebas kaki dan tangan
  • Rasa mengah dan hati berdebar-debar

Bagaimana Kurang Darah Boleh Dikesan

Keadaan ini dapat dikesan awal jika pesakit datang ke klinik untuk pemeriksaan sebaik sahaja mengetahui yang anda mengandung. Semasa pemeriksaan, jururawat akan menguji setitis darah dari jari anda. Jika keputusan ujian ini menunjukkan kepekatan darah merah anda kurang dari 9 gm peratus, anda dianggap mengalami kurang darah.

Kesan Jika Dipandang Remeh

  • Anda mungkin mengalami keguguran
  • Melahirkan anak tidak cukup bulan
  • Anak mati dalam perut
  • Melahirkan anak yang tidak cukup berat badan
  • Anda mudah mendapat jangkitan penyakit
  • Keluaran susu badan yang berkurangan
  • Mudah mendapat penyakit lemah jantung
  • Mudah mengalami tumpah darah selepas bersalin

Kesemua akibat-akibat tersebut mengancam kesihatan dan kesejahteraan anda serta kandungan dan boleh membawa maut.

Cara Atasi

  • Menjaga kebersihan diri untuk mengelakkan daripada jangkitan penyakit
  • Makan makanan yang berzat setiap hari seperti sayuran-sayuran segar, biji-bijian, telur, ikan basah, daging, hati, kerang dan tauhu.
  • Rehat yang cukup
  • Dapatkan rawatan awal dari klinik yang terdekat apabila anda mengalami tanda-tanda kurang darah
  • Makan ubat yang diberi sebagaimana yang dinasihatkan

- Petikan dari Majalah Nur Mac 2011 -

Sabtu, 16 Julai 2011

Selamat Hari Lahir Sayang..


Tarikh 14 Julai 2011, genaplah pertambahan usia isteriku.. Selamat Ulangtahun Sayang, Abang doakan yang terbaik untukmu; Semoga ditambahkan usiamu dengan keberkatan, diberikan kelapangan dan kesihatan yang terbaik, dipermudahkan segala urusanmu.. Jua abang doakan semoga jalinan kasih sayang kita sentiasa hormani dan bahagia, dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah serta perjalanan hidup kita diberkati demi menggapai keluarga Sakinah Mawaddah Warahmah... Amin..

Kasihku, pelita hatiku...

Saidina Umar r.a pernah berkata; "Kebajikan yang ringan itu adalah menunjukkan wajah yang berseri-seri dan mengucapkan kata-kata yang lembut."

Wahai sayangku, biarlah kejernihan, kesejukan dan keserian wajahmu sentiasa tergambar dalam kotak fikiranku. Yang demikian itu dapat membuatkanku tidak lekang untuk bersamamu dan rasa cinta padamu makin berlabuh dihati.

Bahagiakanlah dirimu terlebih dahulu, nescaya kamu akan dapat membahagiakanku. Ketahuilah, bahagia itu perhiasan dan milik orang-orang mukmin. Lokasinya bermukim di hati.

Perasaannya sangat nyaman dilubuk sanubari. Terbias melalui rona-rona wajah yang berseri. Terzahir indah pada perilaku yang membangkitkan naluri. Tersembur pada rekahan senyuman di bibir yang tidak terperi. Itulah gambaran wajah orang-orang yang bahagia..

- Your Beloved Husband-

Selasa, 28 Jun 2011

Keadilan Allah Ke Atas Kaum Lelaki Dan Wanita

LELAKI

Lelaki bujang menanggung dosa sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis bujang ditanggung oleh bapanya. Lelaki berkahwin menanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh. BERATKAN?

Hukum menjelaskan anak lelaki bertanggungjawab ke atas ibunya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggung jawabnya, maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua. Berlainan kepada perempuan, perempuan hanya perlu taat kepada suaminya. Sekiranya seorang isteri berbuat baik kepada suaminya maka pahala akan dapat kepadanya dan jikalau berbuat yang tidak baik dosanya ditanggung oleh suaminya. BERATKAN?

Suami diwajibkan memberi nafkah kepada isteri namun tidak bagi seorang isteri walaupun isteri boleh membantu. Haram bagi suami bertanyakan mengenai pendapatan isteri lebih-lebih lagi jika menggunakan pendapatan isteri tanpa izin.

Dan jika dilihat banyak lagi amanah dan tanggungjawab yang Allah kurniakan kepada insan yang bernama lelaki, lebih-lebih lagi kepada mereka yang bergelar si suami. Mengikut kajian yang dilakukan juga, nyawa seorang wanita lebih panjang daripada seorang lelaki, mungkinkah kerana bebanan dan amanah yang dipikul ini begitu berat untuk dilaksanakan? atau mungkin kerana memikirkan beratnya dosa-dosa yang terpaksa ditanggung.

TETAPI seorang lelaki ada keistimewaan-keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT.


WANITA

- Auratnya lebih susah dijaga berbanding lelaki.
- Perlu meminta izin dari suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya.
- Saksinya kurang berbanding lelaki.
- Menerima pusaka kurang dari lelaki.
- Perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak.
- Wajib taat kepada suaminya tetapi suami tidak perlu taat kepada isterinya.
- Talak terletak di tangan suami dan bukan isteri.
- Wanita kurang dalam beribadat kerana masalah haid dan nifas yang tidak ada pada lelaki.

Pernahkah kita lihat sebaliknya?
Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang tersorok dan selamat. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiar bersepah-sepah bukan? Itulah bandingannya dengan seorang wanita. Wanita perlu taat kepada suami tetapi lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapanya. Bukankah ibu adalah seorang wanita?

Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya, manakala lelaki menerima pusaka perlu menggunakan hartanya untuk menyara isteri dan anak-anak.

Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala haiwan, malaikat dan seluruh makhluk Allah di muka bumi ini, matinya jika kerana melahirkan adalah syahid kecil. Manakala dosanya diampuni Allah swt (dosa kecil).

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap 4 wanita:
1. Ibunya
2. Isterinya
3. Anak perempuannya
4. Saudara perempuannya.

Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 org lelaki ini:
1. Suaminya
2. Ayahnya
3. Anak lelakinya
4. Saudara lelakinya

Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yg disukainya cukup dengan 4 syarat sahaja iaitu dengan:
1. Sembahyang 5 waktu
2. Puasa di bulan Ramadhan
3. Taat kepada suaminya
4. Menjaga kehormatannya

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi seorang wanita yang taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah akan turut menerima pahala seperti pahala orang yang berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata. MasyaAllah, sayangnya Allah pada wanita!

Seorang wanita adalah pelengkap dan sememangnya istimewa disisi seorang lelaki tetapi ingatlah wahai lelaki, kamu sebenarnya adalah istimewa disisi Allah, maka dengan sebab itu Dia mengangkat kamu menjadi pemimpin.

Maka dengan keistimewaan itu, JAGALAH dan HARGAILAH wanita sebaik-baiknya, supaya kelak dapat pulang menghadap Allah SWT dalam keadaan istimewa disisi-Nya.

Selasa, 17 Mei 2011

4 Golongan Lelaki Yang Ditarik ke NERAKA

Di akhirat nanti ada empat golongan lelaki yang akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita. Lelaki itu adalah mereka yang tidak memberikan hak kepada wanita dan tidak menjaga amanah itu. Mereka ialah:-

1. Ayahnya

Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja. Maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.

2. Suaminya

Apabila sang suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami, tetapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram. Apabila suami mendiam diri walaupun seorang yang alim di mana solatnya tidak pernah bertangguh, saumnya tidak tinggal, maka dia akan turut ditarik oleh isterinya bersama-sama ke dalam neraka.

3. Abang-abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya dan saudara lelakinya. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya sahaja dan adiknya dibiar melencong daripada ajaran Islam, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

4. Anak-anak lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal perlakuan yang haram di sisi Islam. Apabila ibu membuat kemungkaran mengumpat, memfitnah, mengata dan sebagainya, maka anak itu akandisoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak dan nantikan tarikan ibunya ke neraka..

- iloveislam – http://miramawary.blogspot.com

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” - (At-Tahrim ayat 6)

Sabtu, 14 Mei 2011

Wahai Lelaki, Hormatilah Isteri Anda!

Dulu lain sekarang lain.. Dulu bujang sekarang dah kawin.. terkenang bait-bait lirik lagu nasihat Tan Sri Dato' SM Salim.

Merujuk kembali kisah pernikahan, perkahwinan zaman sekarang banyak pasangan semasa muda-muda lagi ada yang baru berkahwin dah berpisah, bercerai berai disebabkan oleh kasih sayang antara mereka yang tidak erat. Kenapa?

Jika difikirkan banyak faktor yang menjurus ke arah keruntuhan rumahtangga antaranya kurangnya ilmu serta pengetahuan agama serta keikhlasan dalam menempuh alam perkahwinan itu sendiri.

Begitu juga faktor dalam menjaga hubungan suami dan isteri agar keharmonian rumahtangga terpelihara tidak diambil kisah.

Suami memainkan peranan yang penting sebagai pemimpin dalam memastikan perjalanan dan keperluan kehidupan itu dipenuhi sebaiknya.

Tidak dinafikan ada waktu-waktu suram ketika bersama namun itu tidak patut menjadi halangan kerana ianya membantu mematangkan kehidupan pada masa akan datang.

Buat si suami anda memang raja tetapi berilah penghargaan dan hormatilah isterimu selalu.

Mari kita berkongsi sedikit sebanyak nasihat dari Dato' Dr Fadhilah Kamsah dalam menghargai isterimu.

01. Selalu menghargai usaha dan penat-lelah isteri, terutama isteri yang bekerja dan sama-sama terpaksa menanggung hutang suami.

02. Bila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga luas-luas. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersumbat di telinga kiri.

Sambil tu otak suami kenalah memproses informasi yang diterima daripada isteri dengan bijak serta prihatin.

03. Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan mak anda kecuali masakan/cara menghias isteri anda lebih baik dan canggih dari emak anda..

04. Jangan demand seks sekiranya isteri tak ada mood atau letih. Agama suruh kahwin bukan semata-mata untuk penuhi nafsu syahwat saja.

05. Kalau pasangan dah ada anak, sama-samalah menjaga anak. Benih dari awak juga.. Ada suami, isteri sedang makan disuruh cebok kencing dan berak anak sedangkan suami duduk tersandar kekenyangan macam maharaja.

06. Jangan sekali-kali duduk tersandar depan TV atau relax-relax sedangkan isteri bila balik dari kerja, buka saja kasut terus masuk dapur, memasak, mengemas, membasuh, kejar anak dsbnya.

Berbulu mata dan sayu hati isteri bila kami tak cukup tangan nak menguruskan rumahtangga sedangkan suami lepas tangan.

07. Sekiranya suami makan dahulu, tinggalkan sedikit lauk utk isteri. Jangan bedal semua sampai turn isteri yang tinggal cuma ekor ikan sekerat, janggut sotong dan ekor taugeh.

08. Kalau nak ajak member bertandang ke rumah, beritahu isteri dulu, kalau boleh sehari-dua in advance. Jadi bolehlah dia memasak yang best-best dan mengemas rumah cantik-cantik.

Bayangkan perasaan isteri kalau tetamu datang terpacak sedangkan kain-baju masih berlonggok belum sempat dilipat, permainan anak masih berselerak dan isteri cuma masak mi maggi saja.

09. Jangan sekali-kali menyakat isteri tentang saiz badannya yang semakin sihat atau semakin melidi. Tengok body sendiri dalam cermin dulu.

10. Jangan kentut depan isteri. Masa bercinta dulu kenapa boleh control kentut? Sudah kahwin makin menjadi-jadi pulak ye..

11. Hormatilah ibu-bapa dan kaum keluarga isteri walaupun anda cuma main wayang, bodek mereka masa nak mengurat isteri anda dulu. Jangan sekali mencaci mereka walaupun secara bergurau.

12. Jangan kedekut dengan isteri serta keperluan rumahtangga. Cuba perihatin dan buat penilaian sebaiknya.. ingat ada perkara diluar jangkauan dan pemahaman lelaki..

13. Jagalah maruah anda sebagai suami dan lelaki. Selagi boleh, jangan bebankan isteri dengan masalah kewangan anda. Selalunya perempuan ni, semakin suami "degil" tak nak minta pertolongan, selagi itulah dia rela nak tolong.

14. Jangan bersepah dan bersikap pengotor. Dah buka baju, letakkan dalam bakul baju kotor, dah guna cungkil gigi, buanglah dalam bakul sampah, bila dah guna ubat gigi bubuh balik penutupnya, dah ambil sesuatu barang simpan balik ditempat asal, dah berak flush. Susah sangat ke nak buat macam tu? Semua nak kena ajar ke?

15. Rajin-rajinlah bertanya isteri kalau dia perlukan bantuan anda dengan kerja rumah/menjaga anak. Tapi jangan tanya dua tahun sekali. Jangan tunjuk rajin bila ada tetamu di rumah saja.

16. Hormatilah isteri anda sebagaimana anda mahu dihormati. Isteri pun manusia. Allah berikan banyak keistimewaan kepada para isteri tapi diputar-belitkan tafsirannya oleh orang lelaki untuk kepentingan diri sendiri.

17. Jangan main kayu tiga dengan perempuan lain. Main lain lagi tak boleh. Kalau isteri awak yang buat, tentu awak tak boleh tolerate, jadi mengapa isteri awak kena tolerate kalau awak buat?

18. Kalau tak menyukai sikap atau perbuatan isteri, tegurlah secara baik, jangan asyik nak menengking aja. Kalau awak sakit nak mati nanti, siapa yang kena jaga awak? Bai jual roti? Apek jual sayur? Jiran sebelah rumah awak?

19. Kalau isteri nampak tak sihat, cepat-cepatlah bawa jumpa doktor. Tunjuklah anda mengambil berat tentang dirinya.

20. Berbincanglah dengan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Walaupun suami megah ada kuasa veto, tak jadi bapok kalau pendapat isteri diambil kira. Pokok pangkalnya ialah timbangrasa dan saling menghargai.

Cubalah ketepikan ego yang keterlaluan. Bukannya laku bila dah mati nanti.

21. Dalami agama dan bimbinglah anak isteri dengan ikhlas seperti yang dituntut agama. Ingat, kalau seorang suami masuk syurga, besar kemungkinan isteri pun masuk syurga.

Kalau suami masuk neraka belum tentu isteri juga masuk neraka. Kalau isteri masuk neraka, besar kemungkinan suami juga masuk NERAKA tapi kalau isteri masuk syurga belum tentu suami pun masuk syurga. Ini bukan rekaan saya tapi saya dengar dari seorang ustaz.

22. Berusahalah dengan ikhlas untuk mempertahankan keharmonian rumahtangga. Jangan buat apa yang isteri tak suka.

Percayalah, kalau suami buat baik sekali dengan isteri, isteri balas sepuluh kali

23. Jangan buat donno kalau isteri merajuk atau berkecil hati. Kalau perlu minta maaf, minta maaf, kalau perlu dipujuk, pujuk. Hati orang pompuan ni sensitif. Kalau kami rasa suami tak ambil kisah, perasaan bagai dihiris-hiris.

Perkara yang dipandang remeh oleh suami boleh menjadi kanser kepada isteri.

Kepada para suami khususnya dan kaum lelaki amnya, janganlah dianggap masalah hati dan perasaan orang perempuan ni enteng sahaja.

Allah s.w.t. berfirman, "Dan ketahuilah bahawasanya Allah mengetahui apa yang didalam hatimu, sebab itu berhati-hatilah dengan Tuhan"

- i luv islam.com -

Jumaat, 13 Mei 2011

Tanda Isteri Derhaka

Kita jangan keliru, apabila wanita disebut sebagai isteri, bukanlah untuk merendahkan taraf wanita itu. Ia adalah sebagai suatu jaminan hak supaya mereka itu dipelihara, dilindungi dan dibela dengan baik oleh suami.

Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha bermaksud:

"Aku pernah bertanya kepada Baginda: "Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri?" Baginda menjawab: "Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya". Kemudian aku bertanya lagi: "Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?". Baginda menjawab: "Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya." - (Riwayat Bazar dan al-Hakim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula Baginda bersabda bermaksud:

"Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya." - (Riwayat Tirmizi dab Ibnu Hibban)

Jika ada para isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dengan sebaik-baiknya, dan menganggap tanggungjawab terhadap suami itu hanya membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sedemikian itu dikhuatiri termasuk di dalam kategori isteri yang menderhaka atau nusyuz.

Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya. Berikut diketengahkan antara ciri atau tanda isteri derhaka:-


Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermaksud:

"Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ditanya: "Mengapa demikian ya Rasulullah?" Baginda menjawab: "Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup." - (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda bermaksud:

"Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita." Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: "Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir?" Baginda menjawab: "Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya." - (Riwayat Muslim)

Ibnu ‘Asakir pula menyebut:

"Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya."


Menyakiti hati suami

Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:

"Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami." - (Riwayat Ibnu Majah)


Puasa sunat tanpa keizinan suami

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:

"Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya." - (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Keluar rumah tanpa izin suami

"Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali." - (Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)


Meminta cerai daripada suami

Sabda Rasulallah sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermaksud:

"Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syara’ haram baginya bau syurga.” - (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)


Isteri yang tidak menunaikan hajat suami

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:

"Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi." - (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga ianya akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya kaum isteri.


* Ciri-Ciri Isteri Derhaka.....

Perkara yang menjadikan isteri penderhaka kepada suami:-

- Menghalang suami dari bersuka-suka dengan dirinya sama ada untuk jimak atau menyentuh mana-mana bahagian tubuhnya.

- Keluar rumah tanpa izin suami sama ada suami ada di rumah ataupun tidak.

- Keluar rumah untuk belajar ilmu yang bukan fardu ain.

- Enggan mengikut suami berpindah.

- Mengunci pintu atau tidak membenarkan suami masuk ke rumah.

- Bermasam muka ketika berhadapan dengan suami.

- Minta diceraikan suami.

- Bercakap kasar atau lambat menyahut (menjawab) pertanyaan suami.

- Berpaling atau membelakangi suami ketika bercakap.

- Menyakiti hati suami sama ada dengan perkataan atau perbuatan.

- Meninggalkan tempat tidur.

- Membenarkan masuk ke rumah orang yang tidak disukai suami.

~ www.masjidalmukarramah.org ~

Related Posts with Thumbnails

Catatan Popular