Rabu, 28 Oktober 2009

Ciri-ciri Utama Calon Suami/Isteri Menurut Perspektif Islam

Islam menyarankan dalam soal pemilihan jodoh ialah di kalangan yang baik, berpegang teguh kepada agama, menjaga maruah diri dan cantik akhlaknya. Syariat mengungkap lelaki baik untuk wanita yang baik, begitu juga sebaliknya.


Konsep inilah yang perlu difahami oleh ibubapa dalam memilih menantu dan anak-anak dalam memilih pasangan kerana hadis Nabi bila Rasulullah berpesan, maksudnya, “perempuan itu dikahwini dengan empat perkara, kecantikan, keturunan, harta dan agamanya. Maka, pilihlah yang beragama, nescaya tangan engkau akan subur (berkat/selamatlah kamu)..”


Ciri-ciri Utama Calon Isteri Menurut Perspektif Islam

  1. Beriman dan solehah/berpegang teguh kepada agama
  2. Elok rupa paras supaya tenang mata memandang
  3. Memiliki akhlak terpuji
  4. Mas kahwin yang rendah
  5. Subur supaya boleh melahirkan zuriat ramai yang soleh/solehah
  6. Masih dara
  7. Keturunan baik untuk melahirkan generasi yang bertakwa
  8. Datang dari keluarga sederhana (qana’ah) bukan pentingkan kebendaan
  9. Bukan kaum kerabat atau saudara terdekat kerana boleh menjejaskan kesuburan
  10. Tidak lebih dari satu kerana risiko isteri curang disebabkan kesunyian sekiranya suami berpoligami dan gagal bersifat adil


Ciri-ciri Utama Calon Suami Menurut Perspektif Islam

  1. Berilmu dan bertakwa
  2. Bertanggungjawab supaya boleh memimpin keluarga
  3. Memiliki akhlak terpuji
  4. Memiliki/mamahami ilmu agama supaya boleh membimbing isteri
  5. Tidak berpenyakit
  6. Rajin usaha
  7. Sekufu dan sesuai/serasi mengikut pandangan Islam dan adapt/’urf/pandangan masyarakat umum (kadang-kadang berbeza mengikut tempat/zaman/masa/keadaan/adapt kebiasaan masyarakat)


..: Dipetik dari Majalah Wanita, Okt 09 :..

Khamis, 15 Oktober 2009

Perintah Solat 5 Waktu

ISRAK dan Mikraj adalah peristiwa luar biasa, melangkaui pancaindera manusia tetapi membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai langit dan bumi.Mungkin bagi sesetengah orang, ia dianggap karut dan tidak logik atau dongeng tetapi bagi umat Islam, mereka wajib mempercayai peristiwa itu. Malah, ulama mencapai kata sepakat, orang Islam yang meragui atau tidak mempercayainya adalah terkeluar dari Islam.

Peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran. "Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (al-Isra':1)

Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dalam tempoh singkat.

Mikraj ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan ke Sidratul Muntaha, iaitu dari Masjidil Aqsa di Palestin naik ke atas melalui beberapa lapisan, menuju Baitul Makmur dan Sidratul Muntaha, ke Arasy menerima wahyu Allah yang mengandungi perintah solat lima waktu sehari semalam.

Daripada riwayat menceritakan beberapa liku kejadian dialami baginda, tidak kurang dengan kejadian aneh bermula dari awal.

Peristiwa itu berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun ketiga sebelum Nabi s.a.w berhijrah. Ketika itu, nabi tidur di makam Nabi Ismail a.s dekat Kaabah diapit dua saudaranya, Jaafar dan Hamzah bin Abu Talib.

Tiba-tiba, datang malaikat Jibril membawanya dan membelah dadanya. Hati baginda dibersihkan dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam, diisinya dengan iman dan hikmah, kemudian ditutup kembali dan dimeterikan dengan 'khatimin nubuwwah.'

Selesai pembedahan, didatangkan sejenis haiwan iaitu Buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa (Israk) dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril.

Buraq berasal daripada perkataan Barq, bererti kilat. Buraq itu ialah binatang atau kenderaan yang kecepatannya seperti kilat. Menurut sarjana, kecepatan kilat itu sama dengan kecepatan cahaya, iaitu 300,000 kilometer setiap saat. Kecepatan Buraq sekelip mata di antara Makkah dan Palestin.

Sampai di tempat tertentu Rasulullah s.a.w diarah Jibril berhenti dan melakukan solat dua rakaat seperti di Thaibah (Madinah), tempat baginda akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul Laham (tempat Nabi Isa a.s dilahirkan). Dalam perjalanan itu juga baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Ifrit dan menyaksikan golongan yang sedang bercucuk tanam, terus menuaikan hasil tanaman.

Baginda juga menyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan sedang memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan makan daging mentah berbau busuk.

Apabila ke Hadhratul Qudus untuk bertemu Allah baginda didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di langit pertama Nabi bertemu dengan Nabi Adam a.s. Baginda diperlihatkan roh syuhada di sebelah kanan Nabi Adam dan roh manusia yang rugi di sebelah kirinya.

Selepas itu, di langit kedua baginda bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa, di langit ketiga dipertemukan dengan Nabi Yusuf, di langit keempat bersama Nabi Idris dan di langit kelima dengan Nabi Harun, yang turut mengucapkan salam kepadanya.

Tiba di langit keenam baginda berjumpa dengan Nabi Musa a.s dan Nabi Ibrahim di langit ketujuh.

Di langit ketujuh Nabi juga diperlihatkan alam ghaib malaikat yang setiap harinya tidak kurang daripada 70,000 malaikat keluar masuk. Kemudian, dari langit ketujuh Nabi terus dibawa ke langit yang lebih atas, iaitu Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Nabi s.a.w diperlihatkan Sidrah dan gerak geri qalam dalam menulis, malah baginda juga diperlihatkan malaikat Jibril dalam bentuk yang sebenar.

Baginda juga bermunajat dengan Allah dan dalam munajat itu baginda menerima perintah melakukan solat 50 waktu sehari semalam yang kemudian dipendekkan kepada lima waktu saja, selepas melalui permintaan berulang kali atas usul Nabi Musa.

Rasulullah kembali ke Masjidil Haram di Makkah dengan selamat dan bersyukur kepada Allah.

Antara tanda kebesaran diperlihatkan kepada baginda ialah kehebatan perjalanan itu yang hanya mengambil waktu semalaman, menggunakan kenderaan Buraq yang tidak pernah dikenali manusia.Kehebatan perjalanan itu sukar dimengertikan akal manusia. Tetapi yang nyata itulah bukti kekuasaan Allah yang mencabar keimanan manusia untuk menerima dengan sepenuh hati.

Isnin, 12 Oktober 2009

Saat Menilai Cinta



APAKAH progres perhubungan cinta anda tahun lalu?


SETIAP kali menjelang tahun baru, melakukan resolusi mengenai karier, hal kewangan dan cinta sememangnya menjadi rutin bagi setiap orang.

Bagi pasangan yang sedang bercinta, kenangan yang dilalui sepanjang tahun lalu mungkin lebih mematangkan fikiran. Apatah lagi bagi pasangan yang pernah gagal dalam percintaan.

Mereka menganggap tahun yang dilalui umpama suatu pengajaran yang membawa ke arah kehidupan yang lebih bermakna.

Menyentuh soal cinta, jangan pula anda lupa melakukan perubahan kepada diri dengan meletakkan keazaman yang tinggi dalam hal-hal melibatkan dunia percintaan.

Ikuti tip-tip yang disenaraikan di bawah:

1. Lupakan masa lalu

Anda bukanlah insan yang pernah dikhianati, dibenci mahupun ditinggalkan menjelang hari pernikahan. Setiap perkara yang dilalui sepanjang kehidupan lalu harus dijadikan pengajaran. Tetapi, jangan biarkan pengalaman buruk anda pada masa lampau mempengaruhi hubungan yang sedang terjalin.

Jangan biarkan hal-hal positif dan menyenangkan anda dengan pasangan bertukar gara-gara terlalu asyik membuat perbandingan dari tahun ke tahun. Ibaratkan hubungan yang baru dijalinkan itu seperti kertas putih yang siap dicorak.

2. Temui ramai orang

Bekerja di bawah satu bumbung yang sama atau tinggal berhampiran dengan kediaman anda tidak bermakna dapat membantu anda menemui calon kekasih yang berpotensi, kecuali seorang teman yang sudah lama dikenali. Jalinkan hubungan cinta dengan seorang teman yang boleh membawa anda ke arah dunia persahabatan yang lebih bermakna.

Keluarlah dari zon selesa anda. Sekiranya selama ini anda kerap ke pusat gimnasium selepas pulang dari tempat kerja, namun pada tahun ini, bangunlah pada awal pagi dan lakukan rutin harian dengan melaksanakan segala tugasan yang lebih menyihatkan. Lebih berkesan, ikuti kursus atau motivasi yang melibatkan pesertanya terdiri di kalangan lelaki dan wanita.

3. Ubah penampilan

Sudah tiba masanya anda meninggalkan gaya penampilan lama. Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan wang yang lebih semata-mata untuk mengubah stail rambut terkini. Kunjungi salon dan bawalah contoh model rambut daripada majalah sekiranya perlu mendapat keterangan.

Demikian pula dalam hal berkaitan pakaian dan aksesori. Pilih baju berwarna cerah dan bermotifkan corak yang menarik agar anda kelihatan menonjol pada setiap masa.

4. Jangan terburu-buru

Menemui cinta baru mungkin mendatangkan kesan positif. Tetapi, jangan pula anda terus membawanya berjumpa dengan seluruh ahli keluarga. Tunggulah sehingga waktu yang tepat dan jangan sesekali merosakkan hubungan yang baru dibina itu. Hindari berbicara tentang masa depan saat hubungan baru berumur setahun jagung. Nikmatilah waktu perkenalan ini untuk memantapkan hati anda dan pasangan.

5. Jangan terlalu memilih

Setiap orang pasti ada kekurangannya, jadi apabila anda begitu obses akan kekurangan pasangan, mungkin anda sukar untuk menemui cinta baru. Sekurang-kurangnya selidik dulu kelebihan yang ada pada dirinya.

6. Buat keputusan

Cinta kerana paksaan akan membawa duka pada kemudian hari. Jangan takut untuk meluahkan apa yang terpendam kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk dalam perhubungan. Oleh itu, lakukan keputusan yang berpihak kepada diri dan jangan takut katakan 'tidak'.

.. : Sumber Kosmo Online : ..

Ahad, 11 Oktober 2009

Syawal 1430H

Alhamdulillah hari ini 22 Syawal 1430H, bermakna sudah 13 hari kita meraikan hari kemenangan setelah sebulan berjuang melawan hawa nafsu dan dari perkara-perkara yang boleh membatalkan ibadah puasa kita kepada Allah Taala. Segalanya teruji di bulan Ramadhan yang mulia ini lebih-lebih lagi tahap kesabaran, adab atau pergaulan seharian.


Kegembiraan menyambut Ramadhan jelas terpancar bagi umat Islam yang ternanti-nanti kedatangannya. Bersyukur juga kita kerana telah diberikan peluang menghabiskan ibadah puasa pada tahun 1430H ini. Apakah tahun hadapan kita masih diberikan peluang sebegini oleh Allah S.W.T? Bersamalah kita panjatkan doa kehadratNya mudah-mudahan kita antara hamba terpilih untuk tahun hadapan dan tahun-tahun yang seterusnya. InsyaAllah..


Untuk tahun ini, kegembiraanku bertambah apabila adik-adik kecilku berjaya menghabiskan 29 hari berpuasa antaranya Siti Nur Aisyah (adik), Nurul Hanani (kakak) dan Muhammad Ikmal. Ku kagumi semangat mereka berpuasa. Tersenyum melihat betapa mereka berjaya menjalani ibadah berpuasa seperti orang dewasa. Malah merekalah antara yang paling sibuk mengemas rumah tatkala Aidilfitri bakal menjelma. Doaku semoga semua adikku sentiasa bersemangat mengharungi ramadhan-ramadhan yang mendatang.


Sesungguhnya Ramadhan ini mengajar kita erti kesabaran,. Semua umat Islam yang berpuasa menghadapi pelbagai cabaran yang menguji sepanjang menjalani ibadah yang diwajibkan kepada sekalian umat Islam. Fenomena cuaca yang tidak menentu, adakalanya panas yang agak melampau. Bahkan hujan turun mencurah mengakibatkan banjir di sesetengah kawasan.


Bagiku kejadian kehilangan kasut pada dua malam berturut-turut ketika menunaikan solat sunat terawih, mengalami kemalangan 4 hari sebelum Syawal meskipun tidaklah seteruk mana serta demam sehari sebelum raya begitu menguji diriku. Inilah buat pertama kalinya aku menghadapi perkara sedemikian pada bulan yang penuh barokah ini.


Aku bercuti selama seminggu sempena hari lebaran. Menaiki feri dari Langkawi pada jam 12.00 tengah hari. Seterusnya rakan menjemput di Jeti Kuala Kedah dengan keretaku yang di hantar tiga hari sebelumnya. Tatkala memasuki Bandar Alor Setar jalan menjadi sesak dengan kenderaan dan kereta bergerak perlahan, di tambah pulak dengan keadaan cuaca yang sangat panas memadamkan hasratku untuk singgah di sekitar Pekan Rabu. Niat awalnya hendak melihat pakaian atau persiapan raya, andai ada yang berkenan dihati. Terus sahaja ke rumah rakanku itu di Hutan Kampung untuk menghantarnya pula.


Perjalanan balik kampung agak lancar pabila keluar dari Bandar Alor Setar. Namun setibanya di Gurun hujun turun begitu lebat hinggalah ke Jeniang membataskan jarak penglihatan dan memandu hanya sekitar 40 KM/J. Aku memandu dengan begitu berhati-hati disebabkan jalan yang licin dan air membanjiri permukaan jalan yang rendah. Alhamdulillah, akhirnya aku selamat sampai ke kampung pada sekitar pukul 6.30 petang. Malamnya aku berbuka puasa bersama keluarga untuk kali pertama Ramadhan kali ini dan malam esoknya juga..


Seperti kebiasaan di pagi raya kami adik beradik akan bersalaman dan mencium tangan kedua ibu bapa kami serta memohon ampun bagi setiap kesalahan yang pernah dilakukan. Seterusnya kami bersama-sama akan bersolat sunat hari raya di surau yang tidak berapa jauh dari rumah. Ramai juga anak kariah yang balik kampung hinggakan penuh saf di atas dan terpaksa bersolat di ruang bawah. Selesai menunaikan solat masing-masing bersalam memohon maaf atas segalanya.


Sesungguhnya pada hari raya sahaja aku dapat bertemu dengan rakan-rakan sekampung yang kebanyakkan juga merantau mencari rezeki. Seminggu bercuti aku manfaatkan dengan mengunjungi sanak saudara dan sahabat handai. Hanya pada hari raya untuk semuanya bertemu dan mengeratkan silaturrahim serta mengenali sesama saudara sama. Tp yang pastinya setiap kali raya lemang tepung akan menjadi pilihan utamaku berbanding lemang pulut atau lain-lain juadah/kuih.. Lemang tepung ni x semua tempat ada/buat,. Ramai sahabatku tak tahu dan tak pernah melihat juadah ini melainkan lemang pulut. Yelah biasanya setiap tempat ada juadah istimewa/tradisi sama jugak macam gulai batang pisang yang hanya terdapat di kawasan kampung sahaja.


Pada kengkawan klu nak rasa mcmana lemang tepung datang la beraya ke daerah Baling atau mana-mana tempat ada dibuat lemang tepung. Gulai batang pisang plak selalunya dibuat semasa kenduri kahwin sahaja. Berkunjunglah ke kampung rakan-rakan anda untuk mengetahui keunikan tempat tersebut. Sekian :-)

Ahad, 27 September 2009

Berbuka Puasa



Majlis berbuka puasa semua staf perpustakaan (Langkawi) bertempat di Jai Island Cafe, Pekan Kuah..

Antara yang hadir Abg Sham & anak, Sha & suami, Mat Jon & isteri, Mat Lan & isteri, Miela & suami, Tijah, Som dan Halina.

Sabtu, 5 September 2009

Peristiwa Malam 14 & 15 Ramadhan 1430H

Alhamdulillah sudah 2 minggu umat Islam menunaikan ibadah puasa di bulan yang mulia, bulan yang penuh keberkatan ini. Sepanjang tempoh itu jugalah kita diuji dengan pelbagai dugaan umpamanya wabak H1N1 yang saban hari kian meruncing dengan angka yang semakin meningkat. Begitu juga dengan keadaan cuaca yang tidak menentu adakalanya tahap kepanasan yang agak melampau, dan ada ketikanya hujan mencurah tanpa henti beberapa hari sehingga menyebabkan beberapa kawasan di landa banjir termasuklah di Pulau Langkawi. Namun semua ujian tersebut adalah untuk mengingatkan kita kepada Kekuasaan-Nya, betapa kita sebagai manusia biasa seringkali lupa dan lalai dengan perintahnya. Jadi setiap apa jua kejadian ada hikmahnya.

Mengenai peristiwa pada malam 14 Ramadhan, aku seperti biasanya menunaikan solat tarawih di Masjid Al-Ehsan, masjid yang paling hampir dengan rumah sewaku. Tapi pada malam ini agak istimewa kerana solat dilakukan di masjid baru yang bersebelahan dengan masjid lama. Masjid baru ini tersergam indah dengan 95% sudah siap cuma kemudahan air untuk mengambil wuduk belum disalurkan sepenuhnya. Aku dapati ramai masyarakat setempat menunaikan solat tarawih, bermunajat padanya yang Esa. Alangkah indahnya andai setiap malam semua masjid diimarahkan dengan orang yang begitu ramai tidak hanya pada ramadhan sahaja.

Setelah selesai menunaikan 20 rakaat solat sunat tarawih beserta sunat witir. Bersurailah semua hamba Allah menuju pulang. Cuma aku masih berlegar-legar di tangga masjid mencari kasut. Ya Allah, memang tak ada. Hamba Allah mana la yang ambik ni. Bukan aku sahaja yang kehilangan kasut, malah beberapa orang yang pulang dengan berkaki ayam. Kenapa lah masih ada insan yang melakukan semua ini. Walaupun amarah masih bersarang dihati, aku memujuk hati agar tidak berperasangka dengan menganggap mungkin mereka tersilap memakai kasut. Kalau ikutkan hati mahu juga aku pakai je kasut sesapa yang ada kt situ. Tapi akalku tidak membenarkan aku berbuat demikian, yelah mungkin tuan empunya kasut juga akan mengalami nasib seperti aku. Dengan redha hati aku balik dengan berkaki ayam sahaja ke rumah. Nasib-nasib..

Siangnya buat pertama kali Solat Jumaat di masjid baru. Ya Allah betapa ramainya umat Islam menunaikannya. Tentunya ada masyarakat dari kariah lain yang sama ingin menunaikan solat di masjid baru tersebut. Saf penuh menghampiri tangga. Begitu juga di bahagian atas penuh dengan mereka yang ingin menunaikan solat jumaat pada hari ini. Kalau di masjid lama pastinya jumlah tersebut tidak dapat ditampung sepenuhnya.

Malam ke 15 Ramadhan juga ada istimewanya kerana ada majlis berbuka puasa bersama bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 iaitu Tun Mahathir Mohamad di masjid tersebut. Tapi aku tidak dapat menyertai majlis tersebut atas sebab yang tertentu. Sayup kedengaran suara muazin melaungkan azan insya' pada malamnya, lantas ku bergegas ke rumah Allah bagi menunaikan tanggungjawab sebagai hamba-Nya. Alhamdulillah masih ramai yang datang menunaikan solat di masjid ini. Tun Mahathir juga turut sama bersolat jemaah bersama hadirin. Selesai solat fardhu insya' diteruskan pula dengan solat sunat tarawih. Seperti kebiasaan aku menghabiskan 20 rakaat beserta 3 rakaat witir. Alhamdulillah..

Sejarah juga tercipta untuk diriku pada malam tersebut di mana aku sempat bersalaman dengan tokoh negarawan yang satu ketika dulu memimpin negara kita yang tercinta ini. Inilah pertama kalinya aku bertentang mata dengan Tun Mahathir. Sambil bersalam serta mencium tangan beliau. Alhamdulillah aku diberikan peluang bertemu dengan pemimpin yang telah memacu negara selama 22 tahun. Memang menjadi salah satu dari impianku untuk bertemu dengan mereka yang berjaya dalam bidang masing-masing. Jika mahu disenaraikan banyak tokoh yang ingin aku bersua antara Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Malah aku pernah bertemu Allahyarham Dato' Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor di salah sebuah surau di daerah Pendang. Melihat raut wajahnya yang tenang dan mendamaikan. Majalah Mastika pernah menyiarkan tentang ketokohan Allahyarham, mengenai peristiwa yang berlaku yang diceritakan kembali oleh juruterbang yang membawa jenazah beliau. Ratusan ribu umat Islam membanjiri jalan-jalan di hari pengebumian beliau. Subhanallah..

Berbalik kepada cerita di malam 15 ramadhan,. sekali lagi nasib yang sama berlaku seperti malam sebelumnya. Kasut aku disebat (ambik-loghat daerah) lagi. Satu masjid aku pusing, tak jumpa2.. Kiranya sudah 2 kali aku kehilangan kasut. Ramai juga yang hilang kasut termasuklah jemaah wanita. Aku pun tak faham, kenapa la perkara ini terjadi. Malah aku percaya masjid lain juga berdepan masalah ini. Hal ini boleh menjejaskan institusi masjid andai setiap malam perkara demikian berlaku. Apakah selapas ini kita perlu datang ke masjid dengan hanya berkaki ayam? Tidakkah tersemat nilai-nilai murni di dalam hati insan2 yang melakukan perkara ini. Kemana perginya ketamadunan dalam diri mereka?

Itulah halnya jika kita ingin melakukan sesuatu yang baik pasti ada saja ujian yang menimpa. Ujian untuk mencekalkan hati serta menguatkan keimanan kepada Allah SWT. Aku berdoa mudah2an dibukakan pintu hati mereka yang selalu membuat perkara negatif ini supaya berubah kepada perkara yang mendatangkan kebaikkan kepada diri sendiri dan orang lain. Juga untuk Agama, Bangsa dan Negara.

Isnin, 31 Ogos 2009

Betapa Agung Syariat Allah Haramkan Babi

MEMANG terkejut melihat dalam Youtube mengenai satu ujian yang sangat mudah iaitu dengan mengambil dua potongan daging babi dan diletakkan dalam bekas besi, kemudian dicurahkan air minuman berkarbonat ke atas daging babi itu.

Selepas dibiarkan dua jam, kelihatan begitu banyak sekali ulat kecil merayap keluar dari daging babi itu. Terkejut sangat tengok itu kerana dua perkara; pertama dahsyatnya dan jijiknya daging itu. Kedua, bangga menjadi Muslim betapa agungnya syariat Allah yang mengharamkan makan daging babi dan betapa al-Quran memang kitab petunjuk dari langit dan segala terkandung di dalamnya yang berbentuk suruhan wajib ikut dan terlarang mesti dihindari.

Kalau nak tengok dengan jelas lagi cuba semak ayat al-Quran iaitu pada surah al-Maaidah, ayat 3 yang bermaksud: "Diharamkan bagimu memakan bangkai, darah, daging babi dan daging haiwan yang disembelih bukan atas nama Allah..."

Semak lagi surah al-Ana'am ayat 145, yang bermaksud: "Katakanlah tidak ku dapati di dalam apa yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan memakannya bagi yang ingin memakannya kecuali daging haiwan yang mati (bangkai), darah yang mengalir, daging babi."

Pengharaman babi dalam al-Quran sepatutnya dikaitkan dengan wabak dahsyat yang sedang melanda dunia, termasuk negara kita Malaysia iaitu H1N1 yang sudah meragut berpuluh nyawa. Subhanallah, Maha Suci Allah yang mengetahui keburukan apa yang dicipta-Nya. Jika Allah kata tak boleh, rupanya sangat bahaya sama ada pada daging babi itu ataupun akibat daripada jangkitan babi itu sendiri.

Hasil kajian barat, babi membawa virus dan sejenis kuman yang tidak mati 'duduk' di dalam genetik babi yang boleh membawa 70 jenis penyakit. Dalam menghadapi situasi ini kita bertanya mana kehebatan negara kuasa besar dunia yang tersohor dengan kecanggihan teknolgi dan peralatannya serta kalangan saintis?

Mereka sedang mengkaji, tetapi jangan lupa kemarahan Allah terhadap mereka yang melupai peringatan-Nya. Amat menakutkan akibat dari babi ini, H1N1 berjangkit tanpa henti dengan begitu pantas, hanya bermediumkan udara yang boleh disedut di mana-mana - di pusat beli-belah, tempat letak kereta, kedai kopi, stadium dan perhimpunan. Ia tidak begitu terasa, tetapi sedar tak sedar, ia bergerak begitu pantas. Anda juga tidak berasa takut dan gerun selagi tiada orang terdekat anda yang terkena, sekurang-kurangnya kena kuarantin.

Kedahsyatan penyakit H1N1 yang kita sedang hadapi ini baru sebahagian kecil serangan bahaya babi yang Allah kata. Bahaya ini tak masuk lagi pengharaman lain yang lama dilaknat Allah, tetapi masih berleluasa dalam masyarakat kita dilakukan bukan sahaja secara sembunyi lagi, sebaliknya sudah berbangga sambil menunjuk-nunjuk seperti persundalan.

Yang paling menakutkan kita masih 'pekak' dengan kemurkaan Allah. Biasanya apabila dah reda sedikit sesuatu wabak atau bala kita akan lupa semula Allah. Lupa apa yang Allah larang, balik asal buat ingkar. Apabila kena bala baru semua sepakat berdoa Allah, mula rajin solat tetapi apabila sudah sihat lupa lagi Allah. Begitulah kedegilan sebahagian kita.

"Yakinlah bahawa Islam adalah agama Allah yang benar, memenuhi keperluan fitrah setiap manusia. Oleh itu, pengharaman Islam terhadap babi, arak, zina, rasuah, judi dan sebagainya adalah untuk menjaga maslahah nyawa dan kehidupan manusia seluruhnya.

"Manusia tidak boleh halang dan sekat udara yang bertebaran. Begitu cepat ia merebak. Jangan lupa gunakan kuasa doa sama ada doa biasa ataupun doa dengan qunut 'naazilah'". Manusia yang ada di sekeliling kita mahupun udara yang ada, semua dengan izin Allah semata-mata.


*MyMetro

Isnin, 24 Ogos 2009

Calon Penduduk Syurga

Petang itu, sesudah menunaikan sembahyang Asar, Nabi Muhammad mengajar ilmu kepada sahabat-sahabatnya di masjid. Semasa beliau sedang asyik mengajar tiba-tiba, beliau berhenti sejenak. Semua sahabat tertanya-tanya.

“Dari arah ini, dating calon penduduk syurga,” kata Nabi Muhammad sambil menuding jarinya ke arah yang dimaksudkan.

Semua mata tertumpu ke arah yang ditunjukkan Nabi Muhammad itu. Masing-masing mahu mengenali, siapakah gerangan orang itu. Tidak lama kemudian, seorang lelaki datang dari arah yang ditunjukkan. Seorang lelaki dusun. Lelaki itu masuk ke majlis Nabi Muhammad sambil memberi salam hormat dan bersembahyang Asar. Selepas itu dia terus pulang. Semua orang hanya memerhatikan sahaja gelagatnya.

Keesokan harinya, Nabi Muhammad memberitahu hal yang sama. Lelaki itu juga yang datang. Dia tetap berkelakuan seperti semalam. Masuk hari ketiga, Nabi Muhammad tetap memberitahu hal yang sama. Ternyata, lelaki dusun itu jugalah yang datang dan kelakuannya sama seperti hari-hari sebelumnya.

Kali ini, salah seorang sahabat Nabi Muhammad cuba mengekorinya dari jauh. Dia mendapati lelaki itu berasal dari desa yang bernama Sanah, sebuah desa yang terpencil. Dia terus mengekori lelaki itu hingga ke rumah. Beliau mengambil keputusan menemuinya. Dia pun mengetuk pintu dan memberi salam hormat kepadanya. Lelaki itu menyambutnya dengan gembira.

“Saudara tetamu saya. Masuklah,” katanya dengan mesra.

Sahabat Nabi Muhammad itu menerima pelawaannya dengan mesra. Dia segera masuk sebagai tetamu. Selama tiga hari beliau tinggal di rumahnya. Selama itu jugalah dia cuba mengenali lelaki itu dengan lebih dekat. Dia mendapati lelaki itu biasa-biasa saja. Sahabat Nabi Muhammad itu merasa hairan.

Saudara, apakah keistimewaan saudara? Nabi Muhammad mengatakan saudara adalah calon penghuni syurga,” Tanya sahabat Nabi Muhammad ingin tahu.

Lelaki itu menundukkan kepalanya sebentar kemudian menoleh ke arah sahabat Nabi Muhammad.

“Saya seperti yang saudara lihat selama tiga hari ini. Tetapi saya sentiasa menjaga hati saya daripada pengaruh kejahatan dan kedengkian kepada sesiapa pun juga,” katanya dengan merendahkan diri.

Kagum sahabat Nabi Muhammad mendengarnya. Penjagaan hati itulah yang menjadikan dirinya istimewa. Seorang penghuni syurga.

“Bertuah sungguh saudara,” sahut sahabat Nabi Muhammad itu dengan gembira.

Sabtu, 22 Ogos 2009

Moga Damai Di Sana

Tepat jam 9.35 pagi 1 Ramadhon 1430H, ketika asyik memeriksa peti e-mail, aku dikejutkan dengan deringan handset dari dalam bilik. Sape ya call pagi ni., eh adik Intan.. ‘Hello Assalamualaikum…’, ‘Waalaikumussalam.., Abg kt mana, sibuk ke? Suara dari telefon. “Abg kat umah ni ha, kt Langkawi. Tak lah sibuk pun, nape adik? Tanyaku. “Mak…” jawab Intan smbil teresak-esak. ‘Kenapa dengan mak?’ .. ‘Mak dah tak ada abg,.. mak dh meninggal’. Esakannya agak kuat. Aku tersentak. Serentak terkeluar dari mulutku ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un’….


ۗكُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ


“Setiap yang bernyawa akan merasai mati”. Itulah maksud ayat 185 dari surah Aali-Imran.


Mak @ dikenali dengan nama Mak Yam merupakan salah seorang ibu angkatku. Dan yang menelefon itu Intan, merangkap adik angkat aku. Mak Yam kukenali melalui kelab sahabat Radio Malaysia Kedah FM (KFM) pada tahun 2005. Dia ku anggap seperti mak aku sendiri. Masa aku bekerja di Pulau Pinang dulu, selalu juga aku singgah di rumahnya andainya ada urusan di Bandar Alor Setar.


Kali terakhir aku bertemu dengan Mak Yam pada thn lepas iaitu 2 hari sebelum AidilAdha. Waktu tu Mak Yam pun x brapa sihat dah. Aku berkira sebelum balik raya Aidil Fitri kt kg nti ingat nk singgah kat umah Mak Yam sekejap., ingin bersalaman memohon maaf dulu dengannya sekeluarga. Yelah lama jgk x jumpa kan. Tp berita dari adik Intan pg td amat mengejutkan aku.


Mak Yam sayangkan aku umpama anaknya sendiri. Beberapa kali jugak aku bermalam dirumah Mak Yam sekiranya ada urusan di sana. Dia pernah memasakkan lauk kegemaranku. Paling ku x lupa Mak Yam pernah membasuh pakaian ku. Waktu tu aku baru balik dari kursus dan lusanya aku ada mesyuarat di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah. Jadinya aku singgah la kt sana. Memang aku nak basuh sendiri pakaian aku tu lepas aku keluarkan dari beg. Kebetulan pulak waktu tu mber aku balik bercuti kt Alor Setar call ajak keluar. Aku keluar kejap ngan mber aku tu, jalan2 kt Pusat Bandar. Bila balik umah aku tgk pakaian aku siap bersidai pun. ‘Laa mak basuh buat pa..’ .. ‘Xpala, Putra (nama panggilanku) pun anak mak jugak, mak anggap Putra mcm anak kandung mak.’ katanya.. Tersentuh hatiku. Masih ku ingat kata2 adik Intan “Amboi abg Putra, mak siap tlg basuh lg baju dia eh. Jeles ni, mak tak basuh pun baju kami” kata adik Intan sambil mencebik. “Tgk la mak syg kat abg, sbb tu la mak basuh.. hahaha”.. Gurauku dgn adik Intan. Sebenarnya mak cuci baju aku cara ‘manual’ guna tangan. Katanya kalau guna mesin basuh takut baju rosak. Alahai, mak2 terharu aku.. Disaat kata2 ini dititipkan, tanpa kusedar ada manik2 jernih mengalir di pelupuk mata. Mungkin kerana mengingati kenangan yang pernah tercipta sewaktu bersama. Mungkin juga kerana aku tidak dapat menziarahimu di ketika ini….


Sebagai mana maksud Surah Aali-Imran ayat 183 di atas, Setiap benda hidup akan mati jua akhirnya. Itulah janji Allah, Tuhan yang menciptakan sekelian alam. Yang pergi redhokanlah pemergian mereka, kita yang hidup perlu meneruskan kehidupan di bumi yang fana ini berbekalkan kenangan yang ada tanda ingatan. Buat Mak Yam, agar aman bersemadi di sana & ku hadiahkan serangkai doa untukmu semoga Allah mencucuri rahmat & menempatkanmu dikalangan orang-orang yang dikasihi-Nya. Al-Fatihah.

Khamis, 20 Ogos 2009

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!

TABIR Syaaban hampir berlabuh. Berlalu meninggalkan hari-hari yang penuh berkat dan diberkati. Alhamdulillah, Ramadan pula hampir bertamu bersama keberkatannya yang melimpah ruah dan tidak terhingga.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya dan Maha Berkuasa meletakkan keberkatannya pada apa sahaja perkara yang dikehendaki-Nya. Maka Ramadan telah dipilih-Nya untuk menerima antara curahan terbanyak keberkatan itu untuk diambil manfaat oleh sesiapa yang dipilih untuk mendapatkannya. Sebagai antara ikhtiar kita untuk digolongkan dalam golongan terpilih ini, marilah kita mempersiapkan diri menyambut Ramadan dengan menghimbau kembali makna dan martabat bulan yang mulia ini.

Ramadan itu adalah bulan yang tertinggi darjat dan martabatnya di sisi Islam. Pada bulan inilah Allah memfardukan puasa ke atas kaum muslimin dan dicatatkan sebagai kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Firman Allah SWT dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah :183)

Di bulan Ramadan juga, Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran dan dipilih di antara malamnya suatu malam yang dinamakan lailatul qadar yang mana ia adalah lebih utama daripada seribu bulan. Allah SWT berfirman dengan maksudnya: Di dalam bulan Ramadan itulah diturunkan al Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia... (al-Baqarah: 185)

Kelebihan Ramadan

Mengenai kelebihan bulan Ramadan, terdapat banyak hadis Nabi SAW yang membicarakan tentangnya. Antaranya: "Bulan Ramadan adalah bulan keampunan. Apabila seseorang hamba berpuasa pada permulaan bulan Ramadan, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya hingga akhir bulan tersebut hingga ke Ramadan berikutnya. Bagi hamba tersebut, dibina mahligai yang indah di dalam syurga, pintunya diperbuat dari emas bagi setiap hari dia berpuasa dan 70,000 malaikat memohon keampunan untuknya dari pagi hingga tenggelam matahari".

Bulan Ramadan dikenali dengan 'bulan kesabaran'. Ini kerana pada amalan berpuasa pada bulan ini menuntut kita bersabar menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan perkara yang membawa kepada kurangnya pahala puasanya.

Rasulullah SAW sendiri menamakan bulan Ramadan dengan bulan kesabaran. Dalam satu hadis dari Salman r.a yang diriwayatkan oleh Khuzaimah di dalam Sohihnya bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: "Ia adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga."

Menurut pendapat cendekiawan Islam, sabar boleh dibahagi kepada tiga:

Pertama: Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.
Kedua: Sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.
Ketiga: Sabar dalam menerima takdir Allah SWT yang perit dan menyakitkan.

Kesemua jenis sabar ini terangkum di dalam ibadah puasa, kerana mereka yang berpuasa perlu bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT, bersabar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah iaitu kehendak syahwat dan bersabar menghadapi keperitan rasa lapar, dahaga dan lemah badan kerana melakukan ibadah puasa.

Ramadan juga adalah bulan digandakan amalan kebaikan yang dilakukan. Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: "Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain".

Ramadan adalah bulan yang digandakan segala amal kebaikan. Allah SWT menggandakan ganjaran amalan berpuasa melebihi amalan-amalan yang lain. Maka berpuasa di bulan Ramadan sudah tentu menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding puasa pada bulan lain. Inilah antara kesan kemuliaan bulan Ramadan dan puasa Ramadan yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya.

Ibadah puasa merupakan suatu kefardhuan yang jami', (komprehensif dan merangkumi ibadah-ibadah yang lain) dan ibadah yang kamil (sempurna dan lengkap) kerana melalui puasa seseoraang mampu mengenal kemanisan iman dan ihsan. Intipatinya ialah hati dan roh.

Tujuannya supaya orang yang berpuasa dapat menghayati dan merasai kehidupan golongan soleh yang telah berjaya menyucikan jiwa dan raga, orang-orang yang luhur dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak melakukan kefasiqan, perbalahan, kemaksiatan zahir dan batin.
Ibadah puasa juga merupakan suatu amalan simbolik, menjadi rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya. Lantaran itu, orang yang berpuasa diberi keistimewaan Allah SWT memilih dari senarai carta ibadah-ibadah yang lain untuk disimpan di dalam perbendaharaannya sebagai jaminan untuk dipersilakan masuk ke syurga dan layak bertemu dengan-Nya.

Rasulullah SAW h mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya".

Kerana Allah

Ramai kalangan ahli fikah, ahli sufi dan ulama yang lain membahaskan makna hadis ini dengan lebih terperinci. Di antara huraian mereka yang ialah :

Pertama: Seseorang yang berpuasa akan meninggalkan segala lintasan dan keinginan nafsunya semata-mata kerana Allah SWT. Jika diteliti, perkara demikian tidak terdapat pada ibadah yang lain melainkan di dalam puasa.

Misalnya, bagi seseorang yang solat terpaksa meninggalkan keinginan syahwatnya termasuk makan dan minum, namun masanya tidak panjang seperti masa berpuasa. Malah, orang yang hendak mengerjakan solat, makruh mengerjakan solat dalam keadaan dirinya berkeinginan untuk makan.

Oleh itu, disuruh mendahulukan makan daripada solat. Berbeza keadaannya bagi orang yang berpuasa. Dia perlu menahan nafsunya dan keletihan berpuasa sepanjang waktu siang. Bahkan sesetengah negara, ia terpaksa menahan dahaga dan lapar dalam cuaca yang amat panas atau sejuk.

Sekalipun orang yang berpuasa kadang-kala terlalu berkeinginan untuk mendapatkan apa yang diinginkan oleh nafsunya, tetap juga ditinggalkan semata-mata kerana Allah, walaupun perkara tersebut boleh didapati atau dilakukan di tempat yang tidak diketahui oleh seorang manusia pun.

Ini menunjukan tanda keimanannya yang sahih dan benar. Orang yang berpuasa mengetahui bahawa Allah sentiasa melihat perbuatannya, sekali pun ketika berada di tempat yang tersorok atau tersembunyi. Lantaran itu, Allah berfirman selepas itu, maksudnya: "Sesungguhnya dia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku".

Sebahagian salafussoleh berkata: "Berbahagialah orang-orang yang meninggalkan syahwatnya kerana suatu janji ghaib yang tidak dapat dilihatnya".

Apabila seseorang mukmin yang berpuasa itu yakin bahawa Allah meredainya ketika dia meninggalkan syahwatnya demi keredaan Tuhannya, maka dia beroleh kelazatan dengan meninggalkan nafsu syahwatnya lantaran keimanan dan keyakinannya itu. Dia memandang bahawa pahala atau azab yang bakal diperolehinya adalah lebih besar daripada kelazatan tidak berpuasa yang tidak dilihat oleh orang lain. Bahkan, bagi sesetengahnya kebencian melakukan perbuatan yang dimurkai Allah tersebut adalah lebih besar daripada ketakutan terhadap azab seksa akhirat akibat tidak berpuasa.

Oleh kerana inilah, kebanyakan orang yang beriman, sekali pun mungkin terlintas membatalkan puasa Ramadan tanpa sebarang keuzuran, tidak akan melakukannya. Sebabnya, mereka mengetahui bahawa Allah SWT akan murka terhadapnya sekiranya dia berbuka. Inilah tanda keimanan seseorang mukmin.

Maka kelazatannya berpindah kepada perkara yang diredai Allah SWT sekalipun perkara tersebut bertentangan dengan kehendak nafsunya. Malah dia berasa perit untuk melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah, sekali pun perkara itu cocok dengan kehendak syahwatnya.

Kedua: Puasa juga adalah rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Ia tidak dapat dilihat atau ditinjau oleh sesiapa pun melainkan Allah SWT. Sehingga dikatakan bahawa amalan puasa tidak dicatat oleh Malaikat Hafazah (pencatat amalan).

Demikianlah sekelumit kecil daripada kebesaran dan kemuliaan Ramadan yang melayakkannya dianggap sebagai Tamu Agung yang datang berkunjung. Wajiblah bagi kita menyambut, melayan dan menunaikan segala hak tetamu istimewa ini, yang belum tentu akan datang berkunjung lagi dalam hidup kita, dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!

*Dipetik dari Utusan Online.

Hargai Masa

Salam semua., Hampir 2 minggu jgk aku x update blog ni. Sibuk sgt dgn tugasan yang diamanahkan & aktiviti seharian…


Semakin hari dirasakan semakin singkat. Tetapi percaya atau tidak kehidupan setiap orang semakin pendek. Setiap kali tatkala tiba hari lahir kita, seringkali sahabat handai & teman2 akan memberikan ucapan, mendoakan kesejahteraan kita, dimurahkan rezeki. Dipohonkan juga semoga kita dipanjangkan usia, ye tak? Alhamdulillah seandainya kita mempunyai sahabat yang sentiasa mendoakan kebahgiaan kita, teman yg x jemu mewarnai perjalanan hidup kita.


Namun ketahuilah, setiap hari saat kita kian hampir. Masa kian suntuk untuk kita terus melaksanakan tugas sebagai hamba-Nya. Jadi gunakanlah peluang yang ada ini dengan sebaik mungkin. Pepatah arab ada menyebut ‘masa itu ibarat pedang, andai kita tidak memotong, ia akan memotong kita.’ Dan byk lagi ungkapan yang menggambarkan kepentingan masa umpamanya masa itu emas.


ALLAH berfirman yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” (al-Asr: 1-3)


Pejam celik, kita kian menghampiri akhir tahun 2009. Betapa pantas masa berlalu tanpa kita sedari. Malah, kalau kita sedar pun hari dah petang, sudah lima hari bekerja dan esok cuti. Pabila cuti tetiba baru sedar ‘ala rasa kejap je cuti esok dah nak kerja dah’.. Inilah realitinya manusia hari ini (termasuklah aku)..


Masa yang berlalu dengan pantas ini, sama ada disedari atau tidak bermakna umur kita makin pendek. Maka, apakah persediaan yang sepatutnya dibuat oleh kita sebagai umat Islam?


Sebagai umat Islam kita mesti selalu bermuhasabah iaitu menilai amalan-amalan kita. Adakah yang kita lakukan hari ini lebih baik dari semalam atau sebaliknya. Ini memerlukan kepada istiqamah dan itqan (berkualiti dan berterusan).


Apabila umur kita makin pendek, kita perlu melihat bukan sahaja kepada amalan khusus tetapi juga fardu kifayah sebagaimana yang dituntut dalam pendekatan Islam Hadhari. Sedarlah, masa tidak akan menunggu kita. Jika kita tidak mendahului masa kita seolah-olah meletakkan diri dalam keadaan yang menyebabkan kita terpinggir dan ketinggalan. Akhirnya, kita akan pasrah kepada takdir atau menyalahkan orang lain atas kegagalan kita.


Pada masa yang sama, kita perlu menghayati sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, waktu lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati”. (riwayat al-Hakim)


Kita tidak tahu bilakah masanya ajal kita akan tiba. Jika sudah sampai ajal ia tidak akan ditangguh atau dicepatkan walaupun sesaat. Oleh sebab itu, jangan kita beranggapan orang muda itu ajalnya lebih lewat berbanding orang tua. Usia muda bukan masa untuk kita mengikut hawa nafsu dan syahwat. Sebaliknya, ia perlu diisi dengan pencarian ilmu dan amal ibadat, menyumbang kepada masyarakat serta menjadi daie menasihati rakan-rakan yang tersesat jalan.


Sahabat Baginda Rasulallah s.a.w. ada berkata, Malanglah orang yang hari ininya sama dengan semalam dan esoknya sama dengan hari ini.


Jadi dikesempatan yang ada marilah kita bersama menghargai masa melakukan maa’ruf, perkara yang diredhoi oleh Allah SWT, perkara yang boleh menjamin kebahagiaan kita di Akhirat sana. InsyaAllah..

Rabu, 5 Ogos 2009

Sebelum Terlena

Sebelum mata terlena
Di buaian malam gelita
Tafakurku di pembaringan
Mengenangkan nasib diri

Yang kerdil lemah dan bersalut dosa
Mampukah ku mengharungi titian sirat nanti
Membawa dosa yang menggunung tinggi
Terkapai ku mencari limpahan hidayahMu

Agar terlerai kesangsian hati ini
Sekadar air mata tak mampu
Membasuhi dosa ini

Sebelum mata terlena
Dengarlah rintihan hati ini
Tuhan beratnya dosaku
Tak daya kupikul sendiri

Hanyalah rahmat dan kasih sayangmu
Yang dapat meringankan hulurkan maghfirahmu
Andainya esok bukan milikku lagi
Dan mata pun ku tak pasti akan terbuka lagi

Sebelum berangkat pergi ke daerah sana
Lepaskan beban ini
Yang mencengkam jiwa dan ragaku

Selimuti diriku
Dengan sutra kasih sayangmu
Agar lena nanti kumimpikan
Syurga yang indah abadi

Pabila ku terjaga
Dapat lagi kurasai
Betapa harumnya
Wangian syurga firdausi.. Oh Ilahi

Di sepertiga malam
Sujudku menghambakan diri
Akan kuteruskan pengabdianku padamu

*Lirik Lagu Nasyid Kumpulan Hijjaz

Aurat

Salam semua., semoga kita sentiasa berada di bawah naugan rahmat-Nya. Sebenarnya aku dah nk tidor ni, yelah letih baru balik dari main badminton kat dewan Mahsuri yg x jauh dari rumah sewa aku. Untuk pengetahuan, dewan ni juga merupakan lokasi berlangsungnya pameran LIMA (Langkawi International Maritime & Aerospace Exhibition). Dah la dipertengahan jalan time nk balik td tetiba je hujan turun lebat pulak tu, habis basah kuyup aku ngan mber umah aku. Tp Alhamdulillah, nasib baik la handphone Sony Ericsson aku x masuk ayaq, klu tak habis la kena beli baru., pokai la duit aku.. dah la bulan depan nk kena renew lesen memandu, roadtax & insuran keta sekali, raya pun bulan depan jugak, nk prepare utk hantaq keta naik kargo lagi.. Aduh, byk jugak nk pakai duit ni. Sabar je lah..

Main badminton ni sbnrnya 2 @ 3 kali je seminggu. Biasanya main 2 jam start pukui 10 mlm - 12 tgh mlm. Yelah siang kan sibuk bekerja cm malam jelah yang boleh bersukan/main badminton pun. Time cuti plak klu xda urusan apa2 aku keluar jogging ngan member2 aku. Selalunya keluaq dgn abg Sham & cikgu Sobri. Kami berjogging kat area pantai Cenang @pun kat jambatan belakang Langkawi Lagoon bleh jgk menikmati keindahan panorama ciptaan Yang Maha Kuasa. Lagi pun semua org tahu kan, bersukan ni baik utk kesihatan. Jika badan kita sihat otak pun cergas, jadi kita boleh membuat kerja & menunaikan tanggungjawab sebagai hamba-Nya dengan sempurna., ye tak?

Sebetulnya td masa tgh berbaring kt tilam empuk aku tu, tetiba teringat kiriman e-mail petang semalam dari sahabatku di UUM. Antara kandungan e-mail tu dia menyarankan agar aku paparkan maklumat mengenai ‘aurat’. Terfikir aku seketika., diakui mutakhir ini dunia fesyen sedang berkembang dengan maju sekali melalui rekaan2 yg terkini. Tetapi, adakah ianya menepati kehendak syarak? Di sini bukan ingin mempertikaikan pereka2 fesyen @ tukang buat pakaian cuma ingin melihat kehendak dan cara pamakai itu sendiri.. Lebih2 lagi kaum hawa (jgn marah ya)..

Tanpa berlengah, aku lantas mencapai laptop acer di atas meja tulis, ‘on’kan, sambungkan USB broadband dan terus ku terjah ke laman blog utk memasukan entri berkaitan aurat.

PENGERTIAN AURAT

Aurat diambil dari perkataan Arab 'Aurah' yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah feqah pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan.

Di dalam Islam terdapat beberapa keadaan di mana masyarakat Islam dibenarkan membuka aurat dan ia hanya pada orang-orang yang tertentu. Di dalam risalah ini akan diterangkan beberapa perkara yang bersangkutan dengan aurat untuk dijadikan renungan dan tatapan bersama.

PERINTAH MENUTUP AURAT

Perintah menutup aurat telah difirmankan oleh Allah s.w.t dalam surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud :

"Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu, dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat, dan taatilah kamu kepada Allah dan Rasulnya. Sesungguhnya Allah (perintah kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan dari kamu wahai "Ahlu Bait", dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)."

Dari penerangan ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa hukum menutup aurat adalah wajib sebagaimana wajibnya perintah mengerjakan sembahyang,berzakat dan perintah-perintah yang lainnya.

Dengan menutup aurat, wanita islam mudah dikenal dan dapat mengelak dari diganggu oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan.

Wanita yang menutup aurat akan mudah dikenali.Jika sekiranya mereka membuka aurat dengan sewenang-wenangnya, maka dengan secara tidak langsung mereka cuba merangsang lelaki untuk mengganggunya. Maka berlakulah perkara-perkara sumbang,dengan itu juga akan timbullah berbagai-bagai fitnah dari masyarakat tentang diri mereka.

Dalam hal ini Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud :

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihani."

*Dipetik dari web Jab. Agama Islam Selangor, maklumat seterusnya SILA KLIK

Di sini saya lampirkan sedikit panduan cara pemakaian bagi wanita.







Related Posts with Thumbnails

Catatan Popular