Khamis, 30 Ogos 2012

Allah Tahu Apa Yang Terbaik Untuk Kita...


5 Wasiat Nabi Muhammad S.A.W


Daripada Nabi Muhammad s.a.w., “Pada waktu malam saya diisrakkan sampai ke langit, pada saat isra tersebut Allah s.w.t telah memberikan lima wasiat kepadaku, antaranya:

  • Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.

  • Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.

  • Bersungguh-sungguhlah engkau dalam mencari syurga.

  • Putuskan harapan daripada sesama makhluk kerana sesungguhnya pertolongan mereka itu sedikit pun tidak ada kuasa di tangan mereka.

  • Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu ada dalam qiyamullail.

Selasa, 24 April 2012

Doa Untuk Menghilangkan Rasa Marah




“Aku berlindung diri dengan Allah dari syaitan yang direjam. Ya Allah! Ampunilah dosaku dan hilangkanlah kemarahan daripada hatiku dan lindungilah aku daripada syaitan yang direjam”

Beberapa pengajaran doa

  1. Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke rumah dan mendapati isterinya A’isyah dalam keadaan marah. Maka baginda memegang rambut A’isyah dan mengajaknya membaca doa di atas. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Sunni, no.457 dalam sanad hadis hasan.

  1. Marah merupakan salah satu sifat kelemahan manusia. Selain itu syaitan suka menghasut manusia agar marah kerana dengan kemarahan, banyak keburukan yang berlaku khasnya perlanggaran hukum dan etika yang digariskan oleh Islam.

  1. Demikian juga, apabila kita mendapati ahli keluarga atau rakan dalam keadaan marah, ajaklah dia untuk membaca doa di atas sebagaimana Rasulullah SAW mengajak isterinya.

  1. Oleh itu, jika kita marah, maka bacalah doa di atas agar Allah mengampunkan dosa kita, mengeluar atau menghalau kemarahan daripada hati kita dan agar dipelihara daripada hasutan serta gangguan syaitan.

Selasa, 27 Mac 2012

9 PEMBAZIRAN YANG SERING KITA LAKUKAN

“Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengatakan ada 9 pembaziran yang sering dilakukan manusia iaitu:

Ilmu Pengetahuan - Membazir jika tidak diamalkan untuk jalan kebaikan.

Amalan - Membazir jika dilakukan tidak dengan hati yang ikhlas.

Kekayaan - Membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredhai Allah.

Hati - Membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah.

Tubuh badan - Membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah.

Cinta - Membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepada-Nya

Masa - Membazir jika tidak diurus sebaiknya.

Akal - Membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama.

Zikir - Membazir jika tidak memberi kesan kepada hati. Wallahu’alam..

Semoga Allah s.w.t memberi kekuatan untuk kita amalkan..

Rabu, 18 Januari 2012

"Demi Masa"

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Lama rasanya tidak menjengah atau menambahkan entri baru di blog ini, semuanya gara-gara kesibukan menjalani rutin harian serta sekelian amanah untuk disempurnakan. Mudah-mudahan setiap kesibukan itu tidak membuatkan diriku lalai dari melaksanakan segala suruhan-Nya.

Dalam surah ke-103, Al-Asr; Allah SWT telah berfirman;

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (3)

Melalui ayat ini, Allah swt telah menceritakan bahawa masa itu amat berharga. Dan rugilah bagi mereka yang mensia-siakan masa yang ada dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Oleh yang demikian, perkara yang menjamin penggunaan masa yang bermanfaat ialah dengan beriman dan beramal soleh dengan perkara-perkara yang telah diperintahkan oleh Allah swt, juga bagi mereka yang sentiasa mengingatkan tentang perkara kebenaran dan kesabaran. Ringkasnya penggunaan masa yang berkualiti akan menjamin kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Tolong menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu menolong dalam perkara dosa dan permusuhan”

Kandungan ayat ini dapat juga kita terapkan dalam menghayati konsep masa yang berkualiti dan diredhai oleh Pencipta yang Maha Agung. Sentiasa tolong menolong dalam sesuatu perkara yang memberikan impak ke arah kebaikan kepada orang lain juga tergolong dalam penggunaan masa yang baik. Perkara ini akan dinilai di sisi Allah sebagai amalan yang mulia.

Di zaman yang serba maju ini, manusia sibuk berlumba mendapatkan status, mengejar kemewahan hingga kadangkala terlupa pada Sang Pencipta, mencipta teknologi hebat yang boleh melalaikan, malah yang lebih dashyatnya ada golongan yang mencari keseronokan yang tiada batasnya hinggakan hukum hakam diketepikan seolah tiada dalam kamus undang-undang kehidupan atau perintah yang patut dipatuhi. Gejala sosial yang berbagai bentuk begitu berleluasa di sana sini malah permasalahan ini juga semakin meruncing bukan hanya di negara kita, hatta di seluruh dunia. Adakah ‘masa itu emas’ yang sebegini kita inginkan?

Pepatah Arab Lama ada berkata; “Masa ibarat pedang, jika kita tidak memotong dia yang akan memotong”. Ini adalah pepatah yang terkenal dikalangan bangsa Arab. Adakah kita faham apa yang diperkatakan oleh pepatah ini? Pepatah ini sebenarnya menggambarkan suasana di medan peperangan. Tentera-tentera bertempur dengan pedang yang terhunus ditangan, mereka membunuh musuh bagi mencapai kemenangan dalam peperangan. Sekiranya kita berdiri ditengah-tengah medan pertempuran ini dengan sebilah pedang, apa yang akan kita lakukan?

Apa yang kita dapat lakukan adalah dengan turut sama dalam pertempuran. Kita juga mesti menggunakan pedang itu bagi menentang musuh-musuh yang ada. Sekiranya kita tidak menggunakan pedang itu, apakah yang akan berlaku? Ya, kita akan menerima kesusahan yang besar apabila kita berdiam diri sahaja.

Begitulah juga dengan masa. Bangsa Arab menggambarkan betapa ‘tajam’nya masa sehingga dapat merosakkan kita apabila kita tidak menggunakannya dengan sebaik mungkin. Oleh itu, gunakanlah masa yang kita miliki bagi ‘memotong’. Jangan biarkan ia berlalu dan ‘memotong’ kita pula.

Sedarlah bahawa dunia yang kita diami ini bakal menuju kehancuran. Dunia fana ini hanya menanti datangnya hari akhir atau disebut hari kiamat yang tiada siapa pun tahu bilakah ianya akan berlaku. Pada masa tersebut sudah tidak bermakna lagi untuk kita berubah dan memanfaatkan masa dengan sesuatu yang seperti diperintahkan. Semuanya sudah terlambat. Ayuhlah semua, jika selama ini ada antara kita yang terleka ‘demi masa’ yang sia-sia, mari kita berubah dan manfaatkan masa sekarang dengan perkara-perkara yang mendatangkan pahala buat kita, mudah-mudahan kelak ganjaran tersebut akan dapat membantu kita dihari kemudian nanti.

Sesungguhnya kita tidak dapat menikmati keindahan dan kebaikan waktu tanpa bersungguh-sungguh mendapatkannya. Jadi, hargailah masa kerana ia amat berharga. Akhirnya, saya noktahkan catatan ini dengan nasihat dari junjungan mulia Nabi Muhammad SAW katanya: “Bermuhasabahlah sebelum saudara dimuhasabahkan di akhirat nanti..”.

Selasa, 18 Oktober 2011

Bina Peribadi Waktu Makan

Ibu bapa harus menjadikan waktu makan sekeluarga sebagai waktu untuk membetulkan kehidupan atau membina peribadi anak-anak. Kerana waktu makan adalah program bersahaja yang besar impaknya dalam hidup. Antara didikan yang boleh diterapkan kepada anak-anak ketika waktu makan:-

  • Tunggu orang yang paling tua
  • Baca Bismillah dan guna tangan kanan
  • Ambil lauk terdekat dahulu
  • Kawal suapan

Perkara ini kalau dilatih betul-betul, ia akan menumbuhkan sifat-sifat mulia di dalam diri. Sebab makan adalah perkara yang kita benar-benar buat dengan hati, sebab itu ia mempengaruhi roh.

Rasulullah SAW bersabda:

{ يَا غُلَامُ سَمِّ اللَّهَ وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ }

“Wahai anakku, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah makanan yang berada di dekatmu.” (HR Bukhari no. 5376 dan Muslim 2022)

Sabtu, 8 Oktober 2011

Adab Isteri Terhadap Suami, Ketika Sedang Mengandung


  • Mentaati, menghormati dan mengasihi suami.
  • Jika terasa hendak memarahi suami, tahan perasaan itu dan bertenang serta bersabar.
  • Tidak cerewet dan membuat banyak karenah terhadap suami dan rumahtangga.
  • Jaga perasaan, jangan sampai menyintai orang lain selain suami, kerana nanti melahirkan anak yang curang dan suka berasmara serta pergaulan bebas.
  • Jaga lidah, jangan mengumpat, mencaci suami atau keluarganya dan juga orang lain.
  • Jaga mata daripada melihat lelaki lain selain suami. Tidak keluar rumah tanpa izin suami.
  • Menghargai nasihat dan pandangannya serta ibubapanya (mertua).
  • Jangan meminta perkara yang tidak mampu disediakan suami.
  • Sentiasa meminta kemaafan darinya.
  • Ingatkan suami untuk sentiasa mendoakan keselamatan diri serta anak yang bakal lahir.
  • Tetap melayani suami selagi mampu.

KEMAAFAN dan redha suami penting agar nanti dipermudahkan Allah s.w.t proses kelahiran sewaktu bersalin.

Adab-Adab Suami Terhadap Isteri Ketika Isteri Mengandung

  • Lebihkan kasih sayang dan simpati sehingga isteri berasakan ada pembela.
  • Selalu memberi nasihat-nasihat yang baik yang boleh menguatkan semangat dan jiwanya.
  • Hendaklah berlaku jujur.
  • Jika ada tanda-tanda akan timbul krisis, tenang dan selesaikan segera.
  • Jangan menceraikan isteri ketika mengandung. Sebab itu Islam mengharam menceraikan isteri ketika mengandung, kerana boleh mengganggu fikiran dan perasaannya serta memberi kesan pula kepada anak dalam kandungan.
  • Memahami tambahan beban yang ditanggung isteri, justeru memaafkan kekurangan isteri dalam melayani suami.
  • Membantu isteri dalam kerja rumah terutama yang melibatkan tenaga fizikal.
  • Berlemah-lembut dan berhati-hati dalam melakukan hubungan jimak terutama ketika penghujung kehamilan.
  • Mengambil perhatian berat tentang perubahan bentuk tubuh badan isteri.
  • Berkongsi rancangan menyambut kelahiran bayi seperti persiapan, kewangan, peralatan, nama yang bakal diberi, cuti, kedatangan keluarga kedua belah pihak dan sebagainya.
  • Segera ke klinik atau hospital jika isteri sakit.

KASIH SAYANG sesama suami isteri amat bermakna dan perlu dijaga lebih-lebih lagi ketika si isteri berbadan dua

Jumaat, 7 Oktober 2011

Surah Bacaan Ketika Mengandung

  • Surah Al-Fatihah – untuk terang hati dan kuat ingatan.
  • Surah Maryam – Untuk memudahkan ibu bersalin dan memperolehi anak yang sabar dan taat.
  • Surah Luqman – Untuk memperoleh anak cerdik akal dan cerdik jiwa.
  • Surah yusuf – Untuk memperolehi anak cantik rupa dan cantik akhlak.
  • Surah Hujurat – Untuk memperbanyakkan susu ibu dan anak bersifat berhati-hati.
  • Surah Yaasin – Untuk ketenangan hati dan anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat.
  • Surah At-Taubah – Untuk membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat.
  • Surah An-Nahl – Untuk melahir anak yang berdisiplin.


Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“ Bacalah oleh kamu Al-Quran, sesungguhnya Al-Quran itu datang pada hari kiamat menjadi syafaat kepada pembacanya.” – (Riwayat Muslim)

Antara Cara Pendidikan Semasa Mengandung

■ Mengamalkan solat wajib dan sunat

■ Mengamalkan zikir

■ Membaca al-Quran

■ Mendengar muzik yang tenang

■ Membaca buku-buku ilmiah

■ Berbual dengan anak dalam kandungan

■ Menjaga adab dan emosi

■ Tidak tertekan atau stress

■ Lakukan kerja-kerja ringan di rumah sebagai senaman ringan

■ Memakan makanan yang baik di segi zahiriah dan batiniah (halal)

■ Tidak bersifat dendam, dengki, menghasut dan sebagainya

■ Sentiasa melemparkan senyuman dan bersabar

IMPAK DARIPADA SIKAP IBU BAPA KETIKA IBU

MENGANDUNG TERHADAP BAYI SETELAH LAHIR










Negatif


Ibu bapa sering bergaduh


Anak menjadi ganas dan panas baran




=>



Positif


Ibu bapa sering bersedekah


Hati anak lembut




=>



Negatif


Ibu mengidam benda pelik


Petanda tidak baik terhadap sikap anak




=>



Positif


Ibu tidak meninggalkan solat


Anak mudah mendapat hidayah




=>



Negatif


Ibu bermain kayu tiga


Anak menjadi penderhaka dan gemar maksiat




=>



Positif


Ibu sering membaca al-Quran


Dapat anak yang bijak




=>



Positif


Ibu mengawal emosi


Anak soleh dan sentiasa mengawal keadaan




=>

Isnin, 3 Oktober 2011

Sahabat Dunia Akhirat

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi, sama ada dia memberi anda sebahagian ataupun anda membeli bau-bauan daripadanya, ataupun sekurang-kurangnya anda mendapat juga bau daripadanya. Manakala tukang besi pula sama ada ia menyebabkan baju anda terbakar, ataupun anda mendapat bau yang kurang enak.” (Riwayat Abu Daud)

Oleh sebab itu, kita harus berhati-hati untuk menjadikan seseorang itu sebagai kawan, teman atau sahabat. Sahabat semestinya memiliki sifat-sifat yang terpuji untuk kita ikuti dan contohi. Sahabat boleh membahagiakan kita untuk menempuh kehidupan di dunia ini dan juga membantu kita di akhirat kelak.

Sifat Sahabat Yang Mulia

1. Memiliki akhlak dan budi pekerti yang baik. Seseorang yang disenangi, mempunyai akal yang baik, berbudi pekerti dan mematuhi perintah Allah. Sering juga mengajak kita melakukan kebaikan untuk diri sendiri dan masyarakat. Berbicara dengan penuh klembutan dan kesopanan.

2. Menutup keburukan dan kekurangan sahabat, baik semasa sahabat ada ataupun tiada. Tidak menceritakan keaiban orang lain kepada sahabatnya dan jika dia melihat sesuatu yang tidak baik tentang diri kita, dia akan menjaga aib tersebut. Daripada Ibn Abbas, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menutup keburukan saudaranya, maka Allah akan menutup keburukannya di akhirat.” (Riwayat Ibn Majah)

3. Memperbesarkan kebaikan yang dilakukan oleh sahabatnya. Sering menanyakan tentang kesusahan yang kita hadapi kerana ingin berkongsi kesusahan, kesedihan dan kesenangan bersama. Menjadi penghibur waktu kita sedih dan pelindung jika kita memerlukan. Sanggup mengorbankan masa, harta dan tenaga untuk memenuhi hajat sahabatnya.

4. Menyebut kebaikan. Jika dia mendapat sesuatu kebaikan daripada kita, dia akan menghargai dan menyebut-nyebut kebaikan itu. Tidak pula dia berkecil hati jika kita tidak mampu membantunya.

5. Mudah mengalah. Jika berlaku salah faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga hubungan. Mengorbankan perasaan sendiri demi menjaga hati sahabatnya.

6. Mendorong kita mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Saling nasihat menasihati berkenaan hal-hal dunia dan akhirat. Bersedia untuk menerima nasihat menasihati.


Sahabat Yang Perlu Dijauhi

1. Mementing diri sendiri. Dia terlalu banyak meminta dan sedikit memberi. Mementing diri sendiri dan kedekut dalam setiap perkara. Keutamaannya ialah nafsu sendiri kerana tamak pada kemewahan dan harta dunia.

2. Pengampu. Setiap perkara yang kita lakukan dia akan bersetuju, tidak kira sama ada perkara itu betul atau salah. Apabila di hadapan, dia memuji kita namun di belakang kita, dia merendahkan dan mungkin mengkhianati kita.

3. Pemboros dan suka hiburan. Apabila seronoknya datang, dia menjadi kawan yang setia. Dia senang menjadi sahabat jika kita suka berlibur, berkeliaran dan ‘melepak’ pada bila-bila masa, serta suka ke tempat-tempat hiburan dan meminati hiburan yang melalaikan.

4. Membuat kita semakin jauh daripada Allah. Seorang yang sesat dan menyesatkan orang lain serta mendekati jalan-jalan kemungkaran. Hidupnya penuh dengan ranjau dan onak yang membawa kepada kekufuran.

5. Suka berbantah-bantah. Jenis orang yang suka bertikam lidah dan ia merasakan satu kemenangan dalam berhujah dan langsung tidak mahu mengalah untuk menerima pandangan orang lain.

Berhati-hatilah memilih sahabat kerana ia menjadi cermin keperibadian kita. Berkawanlah kerana Allah untuk mencari redha-Nya.

(Petikan Dari Majalah Solusi Isu No.35)

Ahad, 11 September 2011

Sebuah Kisah Kehidupan

Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini.

"Tapi pak cik kena bayar segera bahagian makcik yang masih tak cukup tiga ribu lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat," beritahu pegawai itu lagi.

"Insya-Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera," janji Pak Uwei. Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya.

Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji dia terus balik ke rumah.

"Pah... oo..Pah!" teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya.

"Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?" tanya Mak Pah.

"Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ini akan tertunai. Insya-Allah dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai," cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-seri.

"Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai."

"Betullah Pah oii... saya ni baru je balik dari pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu, tiga ribu lagi kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan."

"Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itu pun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu." Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.

"Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja." Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak- anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya.

"Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik boleh kita berunding," cadang Pak Uwei.

"Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti nak ke Mekah minta duit anak-anak." Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei.

"Pah... Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni." Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya.

"Tapi bang?... "

"Dahlah... pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu," pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya.

"Insya-Allah Kis balik nanti abah. Emm... abah nak Kis suruh Intan balik sama?" tanya Balkis.

"Ikut suka kaulah, bagi abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya?," balas Pak Uwei.

Bukannya dia membeza-bezakan anak-anak tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan dengan Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia tersangat geram. Sudahlah malas belajar tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab tidak sah. Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing.

"Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi." Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang.

"Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram." bantah Intan menaikkan darah Pak uwei.

"Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?"

"Itulah abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang duk kat KL tu jahat abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya, hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh, abah." Intan cuba membuat abahnya faham.

"Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap abah macam kau ni!"

"Intan memang tak sama dengan Kak Balkis abah, Intan suka berterus terang, kalau tak kena Intan cakap depan-depan bukan membebel kat belakang," balas Intan selamba menyemarakkan lagi bara dalam dada abahnya.

"Anak tak mendengar kata!!, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi... aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke?, telangkup ke?, gasak kaulah. Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!!"

Sejak kejadian itu, Pak Uwei memang tidak memperdulikan langsung apa yang Intan nak buat. Namun begitu Intan tetap pulang setiap kali cuti, dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak memperdulikannya. Intan selalu menghulur duit tapi hanya kepada maknya sahaja.

Riang hati Pak Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isya`, mereka duduk berborak di ruang tamu.

"Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni, ada hajat sikit," Pak Uwei memulakan bicara.

"Hajat apa pula abah?" tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.

"Abah dan mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian mak kau masih belum cukup lagi abah nak minta Kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah," Pak Uwei mengutarakan hasratnya.

"Boleh tu boleh abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru aje keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan," ujar Muaz.

"Tapi... pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan."

"Kalau dalam seminggu dua ni abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan," jawab Muaz serba salah.

"Kau beli rumah lagi? Rumah yang ada tu kau nak buat apa?" tanya Pak Uwei melindungi kekecewaannya.

"Rumah baru tu besar sikit, abah. Selesalah buat kami sebab budak- budak tu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi abah, pelaburan masa depan juga," sampuk Mira isteri Muaz.

Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. "Kamu macam mana Kis, boleh tolong abah? Nanti abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki durian berbuah kat dusun kita tu nanti," Pak Uwei berpaling Pada Balkis.

"Kis pun rasanya tak dapat nak tolong abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah... ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi."

Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis.

"Man bukan tak nak tolong abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman."

"Betul kata Man tu abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok," sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya.

"Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki mak pula pergi," Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.

"Kalau nak pergi sendiri, dah lama saya pergi Pah!. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau awak tak pergi biarlah kita sama-sama tak pergi... dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?" Pak Uwei bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal.

Intan tahu abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya tapi Intan faham kecewa abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu.

"Anak awak tu tak balik ke?" tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama abang dan kakaknya.

"Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti," balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya.

"Nak ke mana pulak tu?" tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap.

"Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya Intan, kuih lepat ubi kegemarannya." Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebut anaknya. Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak.

Pagi Isnin tu selepas bersarapan Intan bersiap-siap hendak keluar.

"Nak ke mana Intan pagi-pagi lagi dah bersiap ni?"

"Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye."

"Kalau nak ke bandar suruhlah abah kau tu hantarkan," suruh Mak Pah.

"Tak payahlah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula abah tu. Intan pergi dulu." sambil mencium tangan Mak Pah yang menggeleng kepala memerhatikan Intan berlalu pergi. Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati, membuat anaknya itu menyisihkan diri.

Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari.

"Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api."

"Ingat lagi abah lauk kegemaran Intan rupanya," usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan.

"Mak bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapak," jawab Pak Uwei sinis.

Intan tersenyum pahit. Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.

"Mak, abah... Intan ada hal sikit nak cakap ni... ," ujar Intan menghampiri mereka. Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.

"Apa hal... kamu nak kahwin ke?" soal Pak Uwei merenung Intan. Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya.

Melihat Intan tergelak besar Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu. "Abah ni... ke situ pulak...."

"Habis tu?"

"Ini... Buku Tabung Haji mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ni, resit memasukkan duit ke akaun mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek mak dan abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti." Intan memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uwei.

"Apa??" Pak Uwei terkejut matanya merenung Intan dan duit di tangannya bagai tidak percaya.

"Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati abah. Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat abah. Dah banyak kali abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pula tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Intan harap, abah sudi terima pemberian yang tak seberapa ini dari Intan," tutur Intan perlahan memerhatikan airmata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia.

"Terima kasih Intan. Malu rasanya abah nak ambil duit kamu... dulu abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi tapi akhirnya anak abah yang kerja kilang yang membantu abah," luah Pak Uwei sambil mengesat airmata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya.

"Sudahlah abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira abah sudi terima pemberian Intan."

"Pemberian kau ni terlalu bernilai bagi abah dan mak kau Intan..." ujar Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat.

"Hah... tulah, jangan suka memperkecil- kecilkan anak saya ni," Mak Pah mengusik Pak Uwei sambil mengesat airmata penuh kesyukuran.

"Mak ni... ," gelak Intan memandang abahnya yang tersengih.

Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembiran bercampur hiba.

"Semua dah siap ke mak?" tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.

"Dah rasanya... ada apa-apa yang Intan nak pesan mak belikan di sana nanti?"

"Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli mak. Yang penting mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna."

"Hah, awak dengar tu... kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli-belah," tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua-beranak itu.

"Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat," pesan Intan sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu.

....................................................................................................................

Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutama Intan bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di tanah suci. Intan tidak berkata sepatah pun tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh.

"Kenapa resah aje ni, bang?" Mak Pah terjaga.

"Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita."

"Sabarlah, dah nak sampai dah ni," pujuk Mak Pah.

Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.

"Mak... abah...," Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan airmata menitis laju.

"Mana yang lain ni, kamu berdua aje?" Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan.

"Mereka menanti di rumah, abah," beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uwei. "Intan pun tak datang juga ke?" Tanya Pak Uwei terasa hampa.

"Awak ni... kan Man dah kata mereka menunggu di rumah." Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ini nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena.

"Dua tiga malam sebelum balik, abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati." cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz diam sambil mengerling Azman yang sedang memandu.

"Tentulah abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit," balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu.

"Tapi, abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi abah tu, abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun hanya renung abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?"

"Err... tak ada abah. Kita berhenti minum dulu abah, tentu mak haus," ajak Azman menukar tajuk perbualan.

"Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik," tolak Pak Uwei.

Azman dan Muaz hanya berpandangan. Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.

"Mak dengan abah sihat ke?" tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya.

"Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?" Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan.

"Naik dulu Ngahnya...," suruh Long Semah.

"Intan mana?" Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan. Pantas dia memanjat tanggu menuju bilik Intan. Matanya terpaku pada bekas bara yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar.

"Az... mana Intan? Mana adik kau Az?" tanya Pak Uwei dengan suara yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.

"Sabar abah... ," Muaz menggosok belakang abahnya.

"Kenapa Az...kenapa?" Mak Pah menurunkan Syazwan cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan.

"Mak... Intan dah tak ada mak," Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah. Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu mengelilingnya. Pak Uwei duduk di tepi kepalanya.

"Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai," pujuk Long Semah yang masih belum pulang.

"Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia," Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah.

"Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?" tanya Mak Pah tersedu sedan.

"Kami semua ada mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya mak. Sebenarnya dia yang ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah sebelum mak dan abah balik. Masa sampai tu dia sihat lagi tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isya` dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal subuh hari Jumaat mak... tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak," cerita Muaz.

Mak Pah mengenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka. Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan, "Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, mak dan abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat.."

Tamat....

Moral cerita ... berbuat baik dan berbaktilah kepada kedua ibu bapa sementara mereka masih ada di dunia ini. Harta benda hanyalah sementara berbanding amalan yg kita lakukan selagi tubuh badan kita bernyawa. Biar apa jua yang berlaku, hargailah kasih sayang kerana ia anugerah Allah yang amat berharga. Renung-renungkan. ....

Related Posts with Thumbnails

Catatan Popular