Isnin, 29 November 2010

Amalan-amalan Yang Boleh Dilakukan Dalam Proses Tarbiah Anak-anak Berdasarkan Peringkat Usia

Peringkat Awal Anak-anak (Sejak Lahir Hingga 7 Tahun)


Sigmind Freud, seorang pakar psikologi ada mengatakan bahawa struktur dasar keperibadiaan sudah terbentuk pada usia 5 tahun dan perkembangan keperibadian selepas usia 5 tahun. Sebahagian besarnya merupakan pengembangan dari sturuktur dasar tersebut. Ini bermakna untuk membina peribadi dan sahsiah yang mulia dalam diri anak-anak, di waktu usia begini sangat sesuai dan harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh setiap ibu bapa dalam mentarbiahkan atau mendidik anak-anak. Berikut adalah beberapa tip dan amalan yang boleh dipraktikkan dalam usia ini:


1. Sentiasa mengajar anak menyebut kalimah ‘La Ilaha Illallah’ sepertimana diajari Rasulullah SAW, Ibnu Abbas r.a telah meriwayatkan, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda:


“Mulakanlah ke atas anak-anakmu kalimat yang pertama dengan ‘Lailahaillallah’ dan talkinkan mereka ketika maut ‘Lailahaillallah’. – (Al-Hakim)


2. Memperdengarkan selalu anak-anak dengan nama Allah SWT dan rasul melalui cara berhibur dan menyanyi seperti nasyid Asmaul Husna, dua kalimah syahadah, 25 Rasul dan sebagainya.


3. Sentiasa bergurau mesra dan bermain-main dengan anak-anak, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.


4. Mengajar beberapa doa daripada potongan ayat-ayat al-Quran dan hadis seperti doa makan, doa naik kenderaan dan doa tidur supaya dapat dijadikan amalan sehariannya.


5. Menghidupkan budaya dan suasana Islam di dalam rumah. Sentiasa membudayakan pembacaan al-Quran seperti tadarus di hujung minggu atau menghidupkan budaya salam. Ini disebabkan anak-anak melihat dan akan mengikut apa yang berlaku di sekelilingnya. Oleh itu jiwa dan setiap pancaindera anak-anak harus sentiasa terdidik dengan disirami dan dibajai Nur dan roh Islami. Begitu juga dengan membiasakan mereka membaca surah-surah al-Quran yang mempunya banyak kelebihan dan fadilat sepertimana athar yang sahih. Contohnya surah al-Mulk di mana kelebihan membaca surah ini dapat melindungi orang yang mengamalkannya daripada azab dan siksa kubur. Abdullah Bin Abbas r.a pernah berkata pada seorang lelaki,


“Adakah kamu ingin aku hadiahkan sesuatu hadis yang mengembirakan kamu?” Jawab pemuda tersebut, “Semestinya!” Maka Ibn Abbas berkata, “Bacalah dan ajarlah ia kepada isterimu, sekelian anak-anakmu, kanak-kanak di rumahmu dan jiran tetanggamu. Sesungguhnya ia adalah penyelamat dan pembela bagi kamu.” - (HR Al-Hakim)


Peringkat Pertengahan (7 Tahun Hingga 12 Tahun)


1. Mula mengajar mengenai hukum-hakam Islam, seperti menyuruh solat dan berpuasa. Dari Abdullah Bin ‘Amr, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Suruhlah anak kamu mengerjakan solat apabila ia telah berumur 7 tahun dan pukullah mereka jika enggan mengerjakan solat, sedangkan mereka telah 10 tahun,” – (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Al-Hakim)


2. Menggalakkan anak-anak menghafal ayat-ayat al-Quran dan beberapa petikan hadis.


Peringkat Remaja (13 Tahun hingga 18 Tahun)


1. Ibu bapa mestilah lebih prihatin terhadap segala gerak geri anak-anak. Di tahap ini anak-anak sudah mula mengenal dunia luar yang penuh dengan cabaran.


2. Meluangkan masa bersama anak-anak mengadakan majlis ilmu bagi membincangkan ilmu seperti ilmu tafsir dan fekah. Dengan menyerapkan serba sedikit ilmu yang mereka pelajari di sekolah seperti ilmu Sains dan Matematik, agar mereka tahu bahawa setiap ilmu akademik yang mereka pelajari itu mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan ilmu yang diajarkan di dalam al-Quran dan sunah.


3. Menggalakkan anak melakukan senaman atau riadah agar dapat menbina fizikal yang sihat di samping menjadikan otak yang cerdas. Seperti kata pepatah Arab, “Akal yang cerdas datang dari badan yang sihat.” Oleh itu, anak-anak perlu digalakkan menyertai aktiviti lasak seperti sukan berenang dan memanah, sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Sabdanya yang bermaksud, “Ajarlah anakmu berenang dan memanah.” – (Hadis Riwayat Dailami). Tambahan pula, Islam sangat mencintai hambanya yang kuat berbanding yang lemah, sperti sabda nabi lagi yang bermaksud, “Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah.” – (Riwayat Muslim). Di samping itu, mukmin yang kuat sekali gus dapat memantapkan ummah kerana mempu menakutkan musuh Islam andai di medan perang. Sebagaimana firmn Allah SWT yabg bermaksud, “Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan. Dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” – (Al-Anfaal: 60)


4. Menanam dalam diri anak-anak agar mempunyai wawasan dan cita-cita tinggi. Sepertimana Allah SWT telah menyatakan di dalam al-Quran bahawa manusia adalah sebaik-baik makhluk yang diciptakan. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” – ( Ali-Imran: 110). Firman Allah SWT lagi, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” – (At-Tiin: 4). Oleh itu, janganlah keistimewaan ini disia-siakan begitu sahaja.


Dipetik dari buku “Hadirnya Permata Hatiku: Pedoman Membina Keluarga Bahagia”, terbitan Must Read Sdn. Bhd.


'Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.' - (Al-Baqarah:128)


'Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.' - (Ibrahim: 41)

Rabu, 10 November 2010

Harapan Suami Dalam Perkahwinan

JODOH pertemuan adalah ketentuan Ilahi. Ikatan perkahwinan telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Justeru, jodoh seseorang itu, tidak dapat kita tentukan. Manusia hanya mampu merancang. Selebihnya ditentukan oleh Yang Maha Kuasa. Di dalam memilih jodoh, ada yang dirancang oleh muda-mudi itu sendiri dan ada juga yang dirancang oleh kedua ibu bapa.

Rata-rata setiap teruna mengharapkan bakal isterinya itu adalah seorang yang dapat memenuhi kehendak nalurinya. Begitu juga dengan seorang dara mengharapkan bakal suaminya sebagai araja di dalam sebuah rumah tangga, apakah sebenarnya yang dikendaki oleh seorang lelaki yang bergelar suami?

DAPUR BERASAP

Ada suami yang mengharapkan supaya isterinya pandai memasak dan masakannya itu hendaklah sama sebagaimana masakan ibunya. Oleh kerana terdapat sebahagian isteri yang bekerja, maka urusan memasak tidaklah dititikberatkan sangat oleh suami, kecuali bagi mereka yang menjadi suri rumah sepenuh masa. Bagaimanapun, ada sesetengah suami berkehendakkan juga isterinya memasak makanan setiap hari walaupun isterinya bekerja.

BIJAK KOMUNIKASI

Seorang suami mahukan seorang isteri yang pandai berkomunikasi khususnya dengan ibu bapa dan sandara mara suami. Sebagai isteri, jangan sesekali menyampuk atau memotong cakap semasa suami berbual dengan keluarganya.

Dalam urusan komunikasi, isteri perlu kurang bercakap atau membebel perkara yang remeh-temeh. Perkara-perkara kecil atau kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan oleh isi keluarga tidak perlulah diperbesarkan.

Suami tidak suka isteri yang banyak cakap dan anak-anak juga tidak suka ibu membebel. Ini sekaligus boleh membuatkan hubungan sesama suami isteri menjadi dingin. Manakala hubungan antara ibu dan anak-anak pula renggang dan tidak mesra.

BIJAK MENGAWAL PERBELANJAAN

Seorang suami mengharapkan isterinya berjimat cermat dalam menguruskan kewangan untuk perbelanjaan diri sendiri atau perbelanjaan urusan rumah tangga seperti makan minum dan peralatan rumah. Tidak kira sama ada isteri bekerja atau tidak.

Ada isteri yang suka berbelanja bahan makanan sehingga berlebihan dan sebahagiaannya akan dibuang apabila tidak habis dimakan. Ada juga isteri yang suka membeli barang-barang rumah yang tidak begitu diperlukan. Jadi sebagai isteri, perlulah bijak danfikirkan dahulu akan keperluan barang yang hendak dibeli.

KEBERSIHAN RUMAH TERPELIHARA

Seorang suami mengharapkan isterinya seorang yang pandai mengemas rumah. Ini kerana ia melibatkan maruah si suami, pada pandangan ibu bapa, saudara-mara dan kawan-kawan suami yang berkunjung ke rumah. Ada isteri yang tidak pandai menyidai kain di jemuran, di mana kain dijemur tanpa dikibas terlebih dahulu. Akibatnya, kain akan berkedut-kedut dan susah hendak dilipat. Selain itu, ada juga isteri yang tidak mahir dalam melipat kain. Kain dilipat macam digulung sahaja. Sebagai isteri, ambil tahulah keadaan kebersihan di dalam rumah.

Dalam urusan mengemas rumah, semua suami mahukan rumahnya kemas dan teratur seperti ruang tamu, bilik tidur, bilik air, ruang makan serta ruang dapur. Kebersihan di dalam rumah menggambarkan sifat yang ada pada seorang isteri. Kalau ruang di dalam rumah tidak kemas, ini menggambarkan personaliti isteri itu adalah seorang yang pengotor, pemalas dan terlalu ambil mudah.

ISTERI SUBUR

Harapan seorang suami adalah supaya hasil daripada perkahwinannya nanti, mereka berdua dikurniakan anak. Di dalam hal ini, ada suami yang mahukan beberapa orang anak sahaja. Ada pula suami yang tidak kisah berapa orang anak yang akan dilahirkan oleh isterinya. Ada isteri yang sanggup berkorban membenarkan suaminya berkahwin lain kerana perkahwinan mereka tidak dikurniakan anak. Tetapi isteri yang sedemikian tidaklah ramai bilangannya. Ada isteri yang sanggup diceraikan untuk memberi laluan kepada suaminya berkahwin lain, kerana isteri tersebut tidak sanggup hidup bermadu.

MEMBUKA PEKUNG RUMAH TANGGA

Tiada seorang suami pun yang mahu kisah kehidupan rumah tangganya diketahui oleh orang lain. Oleh yang demikian, sebagai isteri janganlah sesekali menceritakan kebaikan atau keburukan rumah tangga kepada orang lain termasuk keluarga isteri atau keluarga suami. Isteri juga tidak boleh menceritakan kehidupan rumah tangganya kepada kawan-kawan atau kawan-kawan suaminya.

BERPAKAIAN KEMAS

Suami mengharapkan supaya pakaian isterinya kemas semasa hendak keluar atau berada di rumah. Ada isteri yang berpakaian kain batik atau t-shirt semasa di rumah dengan rambut yang tidak bersikat. Keadaan isteri yang sebegini menjadikan suami kurang berminat untuk balik segera ke rumah apabila habis kerja. Kalau ada jurujual hendak menjual barang, mungkin disangkanya perempuan itu adalah orang gaji!

MURAH SENYUMAN

Suami mahukan isteri yang selalu senyum sama ada di rumah ataupun semasa berjalan-jalan di pusat membeli-belah. Isteri yang suka senyum adalah pembawa rezeki. Malah, kepenatan suami semasa pulang daripada bekerja akan hilang serta-merta apabila melihat isterinya tersenyum.

PANDAI MENDIDIK ANAK

Suami mengharapkan seorang isteri yang pandai mendidik anak-anak dalam bidang kerohanian, agama, disiplin dan pelajaran. Kelembutan sifat seorang isteri dalam mendidik anak-anak akan membawa kebahagiaan di dalam sesebuah rumah tangga terutamanya apabila anak-anak berjaya di dalam pelajaran.

Isteri hendaklah cepat menguruskan segala urusan. Suami mengharapkan isteri seorang yang cepat di dalam menguruskan sesuatu urusan. Contohnya urusan memasak, mengemas rumah dan menguruskan anak-anak. Jangan buat suami marah kerana menungggu lama di dalam kereta sebelum pergi ke mana-mana. Itulah beberapa pandangan sifat yang patut ada pada seorang yang bergelar isteri. Para isteri sekalian, cuba-cubalah intai dan tinjau diri sendiri, sama ada apa yang diperkatakan telah sedia dilakukan atau sebaliknya.

Setiap hari, kita akan melalui pelbagai perkara baru dalam kehidupan. Proses pembelajaran ini akan menambahkan pengalaman dan semakin mematangkan kita. Sebagai seorang isteri, usah sentiasa menuding jari mencari kelemahan suami, tetapi muhasabahlah diri dan cuba perbaiki kekurangan sendiri terlebih dahulu.

*Dipetik dari buku Tidur Sebantal, Terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd.

"Wahai Tuhan kami, berilah kami isteri-isteri dan zuriat keturunan kami yang baik dan menggembirakan hati melihatnya, dan jadikan kami imam dan contoh teladan bagi orang-orang yang bertakwa."
Related Posts with Thumbnails

Catatan Popular