Sabtu, 20 Mac 2010

Asal-usul Kejadian Manusia

Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang memceritakan bagaimana manusia diciptakan. Sekiranya difikirkan dengan logik akal, bagaimana sebuah kitab yang muncul pada zaman manusia hidup di waktu tiada kemudahan alat teknologi moden untuk mengkaji tentang asal usul manusia, lalu didakwanya Muhammad yang menulis kitab tersebut? Ini jelas bahwa dakwaan mereka tidak benar dan sekali gus merupakan bahawa adanya pencipta manusia dan sekalian alam serta kehebatan-Nya tiada tandingan, iaitu Allah S.W.T.


Allah S.W.T berfirman dalam surah al-Mu’minun: 12 - 16, yang bermaksud:


“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari saripati (yang berasal) dari tanah, kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh (rahim), kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang, kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati, kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan kembali pada hari kiamat.”


Ayat di atas merupakan satu gambaran mengenai perjalanan manusia, sejak ia mula diciptakan oleh Allah S.W.T sehinggalah ia dimatikan. Seterusnya dibangkitkan semula untuk menghadap Allah S.W.T pada hari kiamat bagi mengadili segala amal dan perbuatan di dunia. Ayat yang menyatakan bahawa manusia utu berasal dari tanah telah ditafsirkan menurut al-Quran yang lain dalam surah as-Sajadah: 7-8, yang bermaksud:


“Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah, kemudian ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang.”


Di sini, sekumpulan ahli penafsir telah mentafsirkan bahawasanya air mani yang menjadi benih manusia itu terjadi daripada darah dan darah itu pula terjadi dari zat makanan yang telah dicernakan yang diambil dari jenis binatang mahupun dari jenis tumbuh-tumbuhan. Kedua-duanya hidup dengan memakan zat-zat yang berasal dari air dan tanah. Kemudian pati-pati tersebut di dalam proses perkembangannya menjadi setitis air mani yang dikenali sebagai nutfah.


Melalui air mani ini keturunan manusia diciptakan. Air mani yang terpancar dari tulang sulbi ayah itu dipertaruhkan di dalam rahim ibu. Di dalam rahim itulah satu-satunya tempat pemeliharaan yang sangat kukuh buatannya semasa ibu mengandungkannya. Sehinggalah janin yang di kandung lahir menjadi anak. Kemudian Allah menjadikan air mani itu berubah menjadi segumpal darah yang disebut alaqah, iaitu setelah 40 hari lamanya air mani tersimpan di dalam rahim. Jangka masa itulah merupakan perkembangan yang pertama.


Setelah itu, di peringkat kedua pula ia menjadi seketul daging yang disebut sebagai mudghah yang mengambil masa 40 hari. Kemudian ditentukan ruas-ruas anggota tubuh, tulang-tulang, otot-otot dan urat-urat. Dibelah lubang pendengaran, penglihatan dan mulut. Sesudah itu, dibelah lubang untuk tekak sebelumnya masih rapat. Selanjutnya disusun lidah di dalamnya, lalu dirancang pula bentuk dan rupa. Tulang-tulangnya dibungkus daging di mana satu dengan yang lainnya diikat dengan ikatan yang kuat. Ini dijelaskan oleh firman Allah S.W.T di dalam surah al-Insan ayat 28 yang membawa maksud:


“Kamilah yang menciptakan mereka serta menguatkan tulang sendi dan urat sarat mereka, (Kami berkuasa membinasakan mereka) dan apabila Kami kehendaki, Kami gantikan (mereka dengan) orang-orang yang serupa dengan mereka, dengan penggantian yang sebaik-baiknya.”


Kejadian asal manusia bukan sahaja disebutkan di dalam al-Quran, bahkan juga dirungkaikan oleh junjungan nabi kita Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. Di mana hadis ini diceritakan daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:


“Sesungguhnya seorang manusia mula diciptakan di dalam perut ibunya selama 40 hari. Kemudian dia menjadi segumpal darah selama 40 hari. Kemudian dia menjadi segumpal daging selama 40 hari. Kemudian Allah mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh ke dalam dirinya dan diperintahkan dengan 4 ketentuan, rezekinya-mencatat rezekinya, ajalnya, celaka atau bahagia. Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya seorang dari kamu sekalian benar-benar melakukan amal penghuni syurga sehingga jarak antara dirinya dan syurga itu tinggal 1 hasta. Ternyata dia didahului catatan tadi dan tiba-tiba dia melakukan amal penghuni neraka. Dia pun akhirnya masuk neraka. Sesungguhnya seorang daripada kamu sekalian melakukan amal penghuni neraka sehingga jarak antara dirinya dan neraka itu tinggal 1 hasta. Ternyata dia didahului catatan tadi dan tiba-tiba melakukan amal penghuni syurga. Dia pun akhirnya masuk syurga.”


Di dalam riwayat lain yang terdapat di dalam kitab sahih Muslim, disebutkan sebuah hadis daripada Hudzaifah Bin Asid, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda lagi yang bermaksud:


“Malaikat mendatangi air mani yang telah menetap dalam rahim selama 40 atau 45 hari. Lalu malaikat bertanya, “wahai Tuhanku! Apakah dia ini celaka atau beruntung?” Maka ditiupkanlah salah satu di antara keduanya. Malaikat itu pun bertanya lagi, “wahai Tuhanku! Apakah dia ini nantinya lelaki atau perempuan?” Maka ditetapkanlah salah satu di antara keduanya. Ditetapkan pula amalnya, umurnya, ajalnya dan rezekinya. Kemudian, catatan ketetapan itu dilipat tanpa ditambah dan tanpa dikurangi.”


Demikanlah ciptaan manusia yang telah lama dihuraikan oleh al-Quran dan As-Sunnah yang wujud sejak 1400 tahun yang lampau. Ilmu sains pada waktu itu belum lagi dikenali oleh manusia, tetapi ia telah pun diceritakan oleh nabi berdasarkan kepada sumber wahyu Allah S.W.T yang turun kepada baginda.


Dipetik dari buku “Hadirnya Permata Hatiku: Pedoman Membina Keluarga Bahagia”, terbitan Must Read Sdn. Bhd

Related Posts with Thumbnails

Catatan Popular