Khamis, 21 Januari 2010

Mengasihi Orang Lain Kerana Allah

Umar bin khattab r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya sebahagian hamba Allah itu ada segolongan manusia. Mereka itu bukan para Nabi dan bukan pula para syuhada, namun pada hari kiamat kedudukan mereka akan sangat diinginkan oleh para Nabi dan syuhada di sisi Allah."

Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, ceritakan kepada kami, siapakah mereka itu?" Beliau bersabda:

"Mereka adalah kaum yang saling mencintai kerana Allah, bukan kerana hubungan darah di antara mereka dan bukan pula kerana harta. Demi Allah, wajah mereka laksana cahaya dan sesungguhnya mereka lebih tinggi daripada cahaya. Mereka tidak takut pada ketika manusia merasa takut dan tidak bersedih pada ketika manusia berasa sedih."

Kemudian beliau membacakan ayat Al-Quran: "Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." (Yunus:62) (HR. Abu Daud)

“Kebahagiaan adalah suatu perkara yang abstrak yang tidak dapat dilihat oleh mata, tidak boleh diukur, ditimbang atau dibeli dengan wang dan harta, tetapi kebahagiaan adalah suatu anugerah dan rahmat Allah. Kebahagiaan merupakan suatu keadaan yang dirasai oleh manusia di dalam dirinya, iaitu ketenangan hati, kelapangan dada, kerehatan otak dan keselesaan perasaan..”

Rabu, 13 Januari 2010

Doa Orang Berdosa Ditolak Allah

Sebagai manusia ada saja perkara yang diperlukan, tetapi setiap yang diperlukan itu tidak mungkin boleh didapati dengan mudah. Pada saat dan ketika itulah manusia akan berharap dan mula mengadu nasib.


Bagi mereka yang mengakui dirinya makhluk (yang dicipta) pasti mengadu pada Penciptanya iaitu Allah Yang Maha Berkuasa. Mereka yang beriman tidak jemu berharap dan berdoa walaupun permintaannya belum berhasil. Doa bagi golongan ini adalah senjata dalam menghadapi sebarang situasi, membuatkan mereka tidak pernah putus harapan.


Sementara golongan yang lemah iman akan patah semangat untuk berdoa. Dalam benaknya, kenapa Allah tidak memakbulkan doanya? Di sinilah kita harus menilai diri sendiri. Siapa kita sebenarnya? Adakah kita ini termasuk orang yang bersih jiwa? Adakah kita mematuhi perintah Allah atau sebaliknya, sedangkan doa akan dimakbulkan (diterima) daripada hamba-Nya yang benar-benar ikhlas.


Andai kita bekerja di sebuah perusahaan, tetapi kita seorang pemalas, ingkar dan banyak melanggar peraturan di perusahaan itu, apakah ketua perusahaan itu akan menunaikan dengan mudah permintaan kita, seperti kenaikan gaji? Sebagai ketua tentulah dia akan memberi dengan mudah jika pekerjanya itu seorang yang disayanginya, taat peraturan kerja dan rajin.


Demikian juga kita mengandaikan Allah dan hamba-Nya. Jika manusia itu seorang yang taat segala perintah, malah dalam masa yang sama menjauhi larangan-Nya dan rajin beribadat, insya-Allah mudahlah Allah memakbulkan segala doanya. Jika kita melakukan banyak dosa, akan terhijablah (terdinding) doa kita. Dengan perkataan lain, sia-sia kita berdoa.


Ada lima perkara yang membuatkan kita terhijab atau ditolak doa oleh Allah s.w.t. iaitu:


Dosa kerana mengingkari pemimpin.

Pemimpin terbahagi kepada dua iaitu pemimpin atasan dan pemimpin bawahan. Perintah mereka wajib ditaati selagi tidak bercanggah dengan syariat.


Pemimpin yang dimaksudkan di sini ialah pemimpin yang adil kepada orang bawahannya, soleh lagi berjiwa tauhid, bukan pemimpin yang fasiq dan berbuat mungkar kepada Allah s.w.t. Jadi ukurlah diri masing-masing sejauh mana ketaatan kepada pemimpin.


Dosa kerana tidak taat guru.

Guru orang yang bertanggungjawab mendidik dan mengasuh kita. Segala ajarannya perlu diikuti. Jangan sampai guru berasa muak dengan kita, supaya kita tidak ditimpa malapetaka seperti susah menerima ilmu, gelap hati, keras hati, malas beribadat, doa dan amalan tidak terangkat dan tidak dapat memperbaiki akhlak.


Dosa kerana menderhaka dengan ibu bapa.

Ibu bapa berkorban untuk menjadikan kita insan yang berguna di dunia dan akhirat. Jika kita menderhaka atau menyakiti hati mereka, sedangkan perintahnya bertepatan dengan syariat Islam, Allah pasti murka pada kita.


Awas, doa anak derhaka tidak diangkat malaikat ke hadrat Ilahi. Oleh itu, tidak ada perubahan atau peningkatan pada diri kita kerana doa mereka ditolak. Jadilah kita orang yang rugi di dunia dan akhirat.


Dosa kerana derhaka kepada suami.

Isteri yang menderhakai suaminya tidak layak mencium bau syurga. Allah murka dan melaknat isteri yang membelakangi suaminya. Rasulullah bersabda, maksudnya: "Jika Allah membenarkan manusia sujud kepada manusia selain-Nya, aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya."


Besarnya kedudukan seorang suami di sisi Allah. Seorang isteri walaupun ibadatnya sehebat ibadat Siti Maryam (ibu Nabi Isa), tiada nilai sedikitpun di sisi Allah jika masih menderhakai suami.


Dosa kerana menganiaya atau menzalimi orang.

Golongan yang suka menganiaya dan menzalimi orang termasuk juga orang yang gemar menabur fitnah, mengadu domba, buruk sangka sesama manusia, suka menyakiti hati orang lain, sama ada dengan lidah, perbuatan atau tingkah laku.


Jika kita melakukan satu daripada lima perkara ditegah di atas, terhijablah doa dan amalan kita. Oleh itu, jika ingin doa kita dimakbulkan Allah, jauhkan diri daripada melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah itu.

Ahad, 10 Januari 2010

Manusia Berhadapan Dengan Enam Persimpangan

Abu Bakar r.a. berkata, "Sesungguhnya iblis berdiri di depanmu, jiwa di sebelah kananmu, nafsu di sebelah kirimu, dunia di sebelah belakangmu dan semua anggota tubuhmu berada di sekitar tubuhmu. Sedangkan Allah di atasmu. Sementara iblis terkutuk mengajakmu meninggalkan agama, jiwa mengajakmu ke arah maksiat, nafsu mengajakmu memenuhi syahwat, dunia mengajakmu supaya memilihnya dari akhirat dan anggota tubuh mengajakmu melakukan dosa. Dan Tuhan mengajakmu masuk Syurga serta mendapat keampunan-Nya, sebagaimana firmannya yang bermaksud, "... Dan Allah mengajak ke Syurga serta menuju keampunan-Nya ..."

Siapa yang memenuhi ajakan iblis, maka hilang agama dari dirinya. Sesiapa yang memenuhi ajakan jiwa, maka hilang darinya nilai nyawanya. Sesiapa yang memenuhi ajakan nafsunya, maka hilanglah akal dari dirinya. Siapa yang memenuhi ajakan dunia, maka hilang akhirat dari dirinya. Dan siapa yang memenuhi ajakan anggota tubuhnya, maka hilang syurga dari dirinya. Dan siapa yang memenuhi ajakan Allah S.W.T., maka hilang dari dirinya semua kejahatan dan ia memperolehi semua kebaikan."

Iblis adalah musuh manusia, sementara manusia adalah sasaran iblis. Oleh itu, manusia hendaklah sentiasa berwaspada sebab iblis sentiasa melihat tepat pada sasarannya.

Related Posts with Thumbnails

Catatan Popular