Rabu, 28 Oktober 2009

Ciri-ciri Utama Calon Suami/Isteri Menurut Perspektif Islam

Islam menyarankan dalam soal pemilihan jodoh ialah di kalangan yang baik, berpegang teguh kepada agama, menjaga maruah diri dan cantik akhlaknya. Syariat mengungkap lelaki baik untuk wanita yang baik, begitu juga sebaliknya.


Konsep inilah yang perlu difahami oleh ibubapa dalam memilih menantu dan anak-anak dalam memilih pasangan kerana hadis Nabi bila Rasulullah berpesan, maksudnya, “perempuan itu dikahwini dengan empat perkara, kecantikan, keturunan, harta dan agamanya. Maka, pilihlah yang beragama, nescaya tangan engkau akan subur (berkat/selamatlah kamu)..”


Ciri-ciri Utama Calon Isteri Menurut Perspektif Islam

  1. Beriman dan solehah/berpegang teguh kepada agama
  2. Elok rupa paras supaya tenang mata memandang
  3. Memiliki akhlak terpuji
  4. Mas kahwin yang rendah
  5. Subur supaya boleh melahirkan zuriat ramai yang soleh/solehah
  6. Masih dara
  7. Keturunan baik untuk melahirkan generasi yang bertakwa
  8. Datang dari keluarga sederhana (qana’ah) bukan pentingkan kebendaan
  9. Bukan kaum kerabat atau saudara terdekat kerana boleh menjejaskan kesuburan
  10. Tidak lebih dari satu kerana risiko isteri curang disebabkan kesunyian sekiranya suami berpoligami dan gagal bersifat adil


Ciri-ciri Utama Calon Suami Menurut Perspektif Islam

  1. Berilmu dan bertakwa
  2. Bertanggungjawab supaya boleh memimpin keluarga
  3. Memiliki akhlak terpuji
  4. Memiliki/mamahami ilmu agama supaya boleh membimbing isteri
  5. Tidak berpenyakit
  6. Rajin usaha
  7. Sekufu dan sesuai/serasi mengikut pandangan Islam dan adapt/’urf/pandangan masyarakat umum (kadang-kadang berbeza mengikut tempat/zaman/masa/keadaan/adapt kebiasaan masyarakat)


..: Dipetik dari Majalah Wanita, Okt 09 :..

Khamis, 15 Oktober 2009

Perintah Solat 5 Waktu

ISRAK dan Mikraj adalah peristiwa luar biasa, melangkaui pancaindera manusia tetapi membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai langit dan bumi.Mungkin bagi sesetengah orang, ia dianggap karut dan tidak logik atau dongeng tetapi bagi umat Islam, mereka wajib mempercayai peristiwa itu. Malah, ulama mencapai kata sepakat, orang Islam yang meragui atau tidak mempercayainya adalah terkeluar dari Islam.

Peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran. "Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (al-Isra':1)

Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dalam tempoh singkat.

Mikraj ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan ke Sidratul Muntaha, iaitu dari Masjidil Aqsa di Palestin naik ke atas melalui beberapa lapisan, menuju Baitul Makmur dan Sidratul Muntaha, ke Arasy menerima wahyu Allah yang mengandungi perintah solat lima waktu sehari semalam.

Daripada riwayat menceritakan beberapa liku kejadian dialami baginda, tidak kurang dengan kejadian aneh bermula dari awal.

Peristiwa itu berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun ketiga sebelum Nabi s.a.w berhijrah. Ketika itu, nabi tidur di makam Nabi Ismail a.s dekat Kaabah diapit dua saudaranya, Jaafar dan Hamzah bin Abu Talib.

Tiba-tiba, datang malaikat Jibril membawanya dan membelah dadanya. Hati baginda dibersihkan dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam, diisinya dengan iman dan hikmah, kemudian ditutup kembali dan dimeterikan dengan 'khatimin nubuwwah.'

Selesai pembedahan, didatangkan sejenis haiwan iaitu Buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa (Israk) dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril.

Buraq berasal daripada perkataan Barq, bererti kilat. Buraq itu ialah binatang atau kenderaan yang kecepatannya seperti kilat. Menurut sarjana, kecepatan kilat itu sama dengan kecepatan cahaya, iaitu 300,000 kilometer setiap saat. Kecepatan Buraq sekelip mata di antara Makkah dan Palestin.

Sampai di tempat tertentu Rasulullah s.a.w diarah Jibril berhenti dan melakukan solat dua rakaat seperti di Thaibah (Madinah), tempat baginda akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul Laham (tempat Nabi Isa a.s dilahirkan). Dalam perjalanan itu juga baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Ifrit dan menyaksikan golongan yang sedang bercucuk tanam, terus menuaikan hasil tanaman.

Baginda juga menyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan sedang memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan makan daging mentah berbau busuk.

Apabila ke Hadhratul Qudus untuk bertemu Allah baginda didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di langit pertama Nabi bertemu dengan Nabi Adam a.s. Baginda diperlihatkan roh syuhada di sebelah kanan Nabi Adam dan roh manusia yang rugi di sebelah kirinya.

Selepas itu, di langit kedua baginda bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa, di langit ketiga dipertemukan dengan Nabi Yusuf, di langit keempat bersama Nabi Idris dan di langit kelima dengan Nabi Harun, yang turut mengucapkan salam kepadanya.

Tiba di langit keenam baginda berjumpa dengan Nabi Musa a.s dan Nabi Ibrahim di langit ketujuh.

Di langit ketujuh Nabi juga diperlihatkan alam ghaib malaikat yang setiap harinya tidak kurang daripada 70,000 malaikat keluar masuk. Kemudian, dari langit ketujuh Nabi terus dibawa ke langit yang lebih atas, iaitu Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Nabi s.a.w diperlihatkan Sidrah dan gerak geri qalam dalam menulis, malah baginda juga diperlihatkan malaikat Jibril dalam bentuk yang sebenar.

Baginda juga bermunajat dengan Allah dan dalam munajat itu baginda menerima perintah melakukan solat 50 waktu sehari semalam yang kemudian dipendekkan kepada lima waktu saja, selepas melalui permintaan berulang kali atas usul Nabi Musa.

Rasulullah kembali ke Masjidil Haram di Makkah dengan selamat dan bersyukur kepada Allah.

Antara tanda kebesaran diperlihatkan kepada baginda ialah kehebatan perjalanan itu yang hanya mengambil waktu semalaman, menggunakan kenderaan Buraq yang tidak pernah dikenali manusia.Kehebatan perjalanan itu sukar dimengertikan akal manusia. Tetapi yang nyata itulah bukti kekuasaan Allah yang mencabar keimanan manusia untuk menerima dengan sepenuh hati.

Isnin, 12 Oktober 2009

Saat Menilai Cinta



APAKAH progres perhubungan cinta anda tahun lalu?


SETIAP kali menjelang tahun baru, melakukan resolusi mengenai karier, hal kewangan dan cinta sememangnya menjadi rutin bagi setiap orang.

Bagi pasangan yang sedang bercinta, kenangan yang dilalui sepanjang tahun lalu mungkin lebih mematangkan fikiran. Apatah lagi bagi pasangan yang pernah gagal dalam percintaan.

Mereka menganggap tahun yang dilalui umpama suatu pengajaran yang membawa ke arah kehidupan yang lebih bermakna.

Menyentuh soal cinta, jangan pula anda lupa melakukan perubahan kepada diri dengan meletakkan keazaman yang tinggi dalam hal-hal melibatkan dunia percintaan.

Ikuti tip-tip yang disenaraikan di bawah:

1. Lupakan masa lalu

Anda bukanlah insan yang pernah dikhianati, dibenci mahupun ditinggalkan menjelang hari pernikahan. Setiap perkara yang dilalui sepanjang kehidupan lalu harus dijadikan pengajaran. Tetapi, jangan biarkan pengalaman buruk anda pada masa lampau mempengaruhi hubungan yang sedang terjalin.

Jangan biarkan hal-hal positif dan menyenangkan anda dengan pasangan bertukar gara-gara terlalu asyik membuat perbandingan dari tahun ke tahun. Ibaratkan hubungan yang baru dijalinkan itu seperti kertas putih yang siap dicorak.

2. Temui ramai orang

Bekerja di bawah satu bumbung yang sama atau tinggal berhampiran dengan kediaman anda tidak bermakna dapat membantu anda menemui calon kekasih yang berpotensi, kecuali seorang teman yang sudah lama dikenali. Jalinkan hubungan cinta dengan seorang teman yang boleh membawa anda ke arah dunia persahabatan yang lebih bermakna.

Keluarlah dari zon selesa anda. Sekiranya selama ini anda kerap ke pusat gimnasium selepas pulang dari tempat kerja, namun pada tahun ini, bangunlah pada awal pagi dan lakukan rutin harian dengan melaksanakan segala tugasan yang lebih menyihatkan. Lebih berkesan, ikuti kursus atau motivasi yang melibatkan pesertanya terdiri di kalangan lelaki dan wanita.

3. Ubah penampilan

Sudah tiba masanya anda meninggalkan gaya penampilan lama. Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan wang yang lebih semata-mata untuk mengubah stail rambut terkini. Kunjungi salon dan bawalah contoh model rambut daripada majalah sekiranya perlu mendapat keterangan.

Demikian pula dalam hal berkaitan pakaian dan aksesori. Pilih baju berwarna cerah dan bermotifkan corak yang menarik agar anda kelihatan menonjol pada setiap masa.

4. Jangan terburu-buru

Menemui cinta baru mungkin mendatangkan kesan positif. Tetapi, jangan pula anda terus membawanya berjumpa dengan seluruh ahli keluarga. Tunggulah sehingga waktu yang tepat dan jangan sesekali merosakkan hubungan yang baru dibina itu. Hindari berbicara tentang masa depan saat hubungan baru berumur setahun jagung. Nikmatilah waktu perkenalan ini untuk memantapkan hati anda dan pasangan.

5. Jangan terlalu memilih

Setiap orang pasti ada kekurangannya, jadi apabila anda begitu obses akan kekurangan pasangan, mungkin anda sukar untuk menemui cinta baru. Sekurang-kurangnya selidik dulu kelebihan yang ada pada dirinya.

6. Buat keputusan

Cinta kerana paksaan akan membawa duka pada kemudian hari. Jangan takut untuk meluahkan apa yang terpendam kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk dalam perhubungan. Oleh itu, lakukan keputusan yang berpihak kepada diri dan jangan takut katakan 'tidak'.

.. : Sumber Kosmo Online : ..

Ahad, 11 Oktober 2009

Syawal 1430H

Alhamdulillah hari ini 22 Syawal 1430H, bermakna sudah 13 hari kita meraikan hari kemenangan setelah sebulan berjuang melawan hawa nafsu dan dari perkara-perkara yang boleh membatalkan ibadah puasa kita kepada Allah Taala. Segalanya teruji di bulan Ramadhan yang mulia ini lebih-lebih lagi tahap kesabaran, adab atau pergaulan seharian.


Kegembiraan menyambut Ramadhan jelas terpancar bagi umat Islam yang ternanti-nanti kedatangannya. Bersyukur juga kita kerana telah diberikan peluang menghabiskan ibadah puasa pada tahun 1430H ini. Apakah tahun hadapan kita masih diberikan peluang sebegini oleh Allah S.W.T? Bersamalah kita panjatkan doa kehadratNya mudah-mudahan kita antara hamba terpilih untuk tahun hadapan dan tahun-tahun yang seterusnya. InsyaAllah..


Untuk tahun ini, kegembiraanku bertambah apabila adik-adik kecilku berjaya menghabiskan 29 hari berpuasa antaranya Siti Nur Aisyah (adik), Nurul Hanani (kakak) dan Muhammad Ikmal. Ku kagumi semangat mereka berpuasa. Tersenyum melihat betapa mereka berjaya menjalani ibadah berpuasa seperti orang dewasa. Malah merekalah antara yang paling sibuk mengemas rumah tatkala Aidilfitri bakal menjelma. Doaku semoga semua adikku sentiasa bersemangat mengharungi ramadhan-ramadhan yang mendatang.


Sesungguhnya Ramadhan ini mengajar kita erti kesabaran,. Semua umat Islam yang berpuasa menghadapi pelbagai cabaran yang menguji sepanjang menjalani ibadah yang diwajibkan kepada sekalian umat Islam. Fenomena cuaca yang tidak menentu, adakalanya panas yang agak melampau. Bahkan hujan turun mencurah mengakibatkan banjir di sesetengah kawasan.


Bagiku kejadian kehilangan kasut pada dua malam berturut-turut ketika menunaikan solat sunat terawih, mengalami kemalangan 4 hari sebelum Syawal meskipun tidaklah seteruk mana serta demam sehari sebelum raya begitu menguji diriku. Inilah buat pertama kalinya aku menghadapi perkara sedemikian pada bulan yang penuh barokah ini.


Aku bercuti selama seminggu sempena hari lebaran. Menaiki feri dari Langkawi pada jam 12.00 tengah hari. Seterusnya rakan menjemput di Jeti Kuala Kedah dengan keretaku yang di hantar tiga hari sebelumnya. Tatkala memasuki Bandar Alor Setar jalan menjadi sesak dengan kenderaan dan kereta bergerak perlahan, di tambah pulak dengan keadaan cuaca yang sangat panas memadamkan hasratku untuk singgah di sekitar Pekan Rabu. Niat awalnya hendak melihat pakaian atau persiapan raya, andai ada yang berkenan dihati. Terus sahaja ke rumah rakanku itu di Hutan Kampung untuk menghantarnya pula.


Perjalanan balik kampung agak lancar pabila keluar dari Bandar Alor Setar. Namun setibanya di Gurun hujun turun begitu lebat hinggalah ke Jeniang membataskan jarak penglihatan dan memandu hanya sekitar 40 KM/J. Aku memandu dengan begitu berhati-hati disebabkan jalan yang licin dan air membanjiri permukaan jalan yang rendah. Alhamdulillah, akhirnya aku selamat sampai ke kampung pada sekitar pukul 6.30 petang. Malamnya aku berbuka puasa bersama keluarga untuk kali pertama Ramadhan kali ini dan malam esoknya juga..


Seperti kebiasaan di pagi raya kami adik beradik akan bersalaman dan mencium tangan kedua ibu bapa kami serta memohon ampun bagi setiap kesalahan yang pernah dilakukan. Seterusnya kami bersama-sama akan bersolat sunat hari raya di surau yang tidak berapa jauh dari rumah. Ramai juga anak kariah yang balik kampung hinggakan penuh saf di atas dan terpaksa bersolat di ruang bawah. Selesai menunaikan solat masing-masing bersalam memohon maaf atas segalanya.


Sesungguhnya pada hari raya sahaja aku dapat bertemu dengan rakan-rakan sekampung yang kebanyakkan juga merantau mencari rezeki. Seminggu bercuti aku manfaatkan dengan mengunjungi sanak saudara dan sahabat handai. Hanya pada hari raya untuk semuanya bertemu dan mengeratkan silaturrahim serta mengenali sesama saudara sama. Tp yang pastinya setiap kali raya lemang tepung akan menjadi pilihan utamaku berbanding lemang pulut atau lain-lain juadah/kuih.. Lemang tepung ni x semua tempat ada/buat,. Ramai sahabatku tak tahu dan tak pernah melihat juadah ini melainkan lemang pulut. Yelah biasanya setiap tempat ada juadah istimewa/tradisi sama jugak macam gulai batang pisang yang hanya terdapat di kawasan kampung sahaja.


Pada kengkawan klu nak rasa mcmana lemang tepung datang la beraya ke daerah Baling atau mana-mana tempat ada dibuat lemang tepung. Gulai batang pisang plak selalunya dibuat semasa kenduri kahwin sahaja. Berkunjunglah ke kampung rakan-rakan anda untuk mengetahui keunikan tempat tersebut. Sekian :-)

Related Posts with Thumbnails

Catatan Popular